Program Telaah Novel Phensi semarak aspirasi memanusiakan teknologi

SDGSDG4SDG5SDG16

📝 Ringkasan

Program Telaah Novel Phensi diadakan di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Program ini menampilkan novel Phensi karya Prasert Eh Chai yang mengisahkan kehidupan seorang gadis buta bernama Phensi yang meminati seni tarian Menora. Novel ini memaparkan kehidupan masyarakat Siam yang dekat dengan seni persembahan Menora dan membawa nilai budaya, kepercayaan dan identiti masyarakat Siam.

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan Program Telaah Novel Phensi sebagai satu inisiatif ilmiah bagi memperkukuh budaya membaca serta menggalakkan apresiasi terhadap karya sastera tempatan. Program yang julung kali diadakan ini berlangsung dengan jayanya di Event Space, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, hasil kerjasama bersama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Program tersebut diserikan dengan kehadiran Tokoh Sastera Negara, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin, selaku penelaah jemputan, manakala sesi pengendalian program dipimpin oleh Dr. Wan Farah Wani Wan Fakhruddin sebagai moderator. Turut hadir memeriahkan program ialah Prof. Fauziah Sh Ahmad, Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur, Khairulbahiyah Yaakub, Ketua Pustakawan UTM, wakil Persatuan Siam Malaysia, penduduk PPR Sri Semarak serta guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak.

Panel jemputan YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin bersama moderator serta tetamu dari pihak pengurusan

Novel Phensi karya Prasert Eh Chai mengisahkan kehidupan seorang gadis buta bernama Phensi yang amat meminati seni tarian Menora dan berhasrat untuk mendalaminya. Walaupun menghadapi keterbatasan penglihatan, Phensi tetap berusaha memahami dan menghayati seni tersebut sehingga berjaya menampilkan gerak tari yang memukau. Keupayaannya menari dengan begitu baik menimbulkan pelbagai persoalan apabila Phensi mendakwa bahawa dia mempelajari tarian tersebut daripada seorang wanita misteri bernama Mae Sri Mala.

Selain mengetengahkan kisah perjuangan seorang insan istimewa, novel ini turut memaparkan kehidupan masyarakat Siam yang sangat dekat dengan seni persembahan Menora. Tarian tersebut bukan sahaja dijadikan elemen hiburan, malah membawa nilai budaya, kepercayaan dan identiti masyarakat Siam yang diwarisi turun-temurun.

Sesi Telaah panel bersama moderator, Dr Wan Farah Wani Wan Fakhruddin

Menurut Datuk Dr. Lim Swee Tin, novel Phensi ditulis dengan gaya penceritaan yang penuh suspens dan berjaya menimbulkan pelbagai persoalan dalam pemikiran pembaca. Jawapan kepada persoalan yang dibina diselitkan secara berperingkat dalam penceritaan sehingga memberikan kepuasan kepada pembaca untuk terus menelusuri novel ini.

Keunikan program ini turut terserlah apabila Datuk Dr. Lim Swee Tin sendiri membawa beberapa prop berkaitan seni persembahan Menora bagi memberikan gambaran yang lebih jelas kepada peserta mengenai budaya masyarakat Siam yang diketengahkan dalam novel tersebut. Antaranya ialah Kecopong, iaitu mahkota runcing tinggi yang dipakai oleh penari utama dalam tarian tradisional Menora. Demonstrasi dan penerangan tersebut berjaya menarik perhatian hadirin serta membantu mereka memahami elemen budaya yang menjadi teras penceritaan novel ini.

Kecopong ialah mahkota runcing tinggi yang dipakai oleh penari utama dalam tarian tradisional Menora

Selain itu, sebuah bunting poster turut dipamerkan yang menggambarkan Datuk Dr. Lim Swee Tin mengenakan pakaian lengkap tarian Menora. Busana tradisional yang dihiasi manik-manik halus itu mempunyai berat hampir 12.5 kilogram dan menjadi simbol kehalusan seni serta keunikan warisan budaya masyarakat Siam. Perkongsian tersebut memberikan pengalaman yang lebih dekat dan bermakna kepada para hadirin sepanjang sesi telaah berlangsung.

Bunting gambaran lengkap busana tradisi tarian Menora

Datuk Dr. Lim Swee Tin turut menyimpulkan bahawa Phensi merupakan sebuah novel berbentuk motivasi yang sarat dengan pelbagai percaturan hidup, tindak-tanduk manusia serta pemikiran yang perlu diselami secara mendalam. Karya ini bukan sekadar mengangkat kisah perjuangan seorang gadis buta, malah mengajak pembaca memahami emosi, konflik dan nilai kemanusiaan yang terkandung dalam setiap watak.

Penceritaannya diperkukuh melalui kewujudan 85 watak yang menggambarkan kehidupan masyarakat Siam secara menyeluruh, sementara tarian Menora menjadi elemen penting dalam membentuk jati diri dan perkembangan emosi watak-watak dalam novel tersebut.

Program ini turut membuka ruang kepada peserta untuk memahami karya sastera daripada sudut yang lebih luas, selari dengan aspirasi Humanizing Technology yang menekankan nilai kemanusiaan dalam pembangunan ilmu dan masyarakat. Selain sesi kupasan novel, program ini turut dimeriahkan dengan sesi soal jawab yang berlangsung secara interaktif dan mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta.

Pelbagai pandangan dan persoalan telah dikemukakan, termasuk daripada pelajar sekolah serta wakil Persatuan Siam Malaysia yang menunjukkan minat mendalam terhadap kandungan novel Phensi dan seni budaya Menora yang diketengahkan. Kehadiran peserta secara fizikal dan dalam talian jelas menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan terhadap program berbentuk apresiasi sastera ini.

Sesi soal jawab bersama peserta dari SMK Padang Tembak

Salah seorang wakil Persatuan Siam Malaysia turut menzahirkan penghargaan serta pengiktirafan terhadap bakat dan usaha Datuk Dr. Lim Swee Tin dalam mengangkat seni dan budaya masyarakat Siam melalui penghayatan karya sastera. Penghargaan tersebut jelas memperlihatkan ketokohan beliau bukan sahaja dalam bidang kesusasteraan, malah sebagai individu yang turut membantu memperkenalkan warisan budaya kepada masyarakat secara lebih dekat dan bermakna.

Perpustakaan UTM Kuala Lumpur merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta para peserta yang hadir dalam menjayakan program ini. Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyemarakkan budaya membaca dan memperkasa dunia kesusasteraan dalam kalangan masyarakat.

Explore More

UTM Open Day