📝 Ringkasan
27 mahasiswa dan dua pegawai Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Program Pontianak Odyssey Voyage 2026 (POV’26) di Pontianak, Indonesia. Program itu melibatkan perkongsian penyelidikan, inovasi dan keusahawanan antara mahasiswa UTM dan Universitas Tanjungpura (UNTAN). Mereka juga mengikuti sesi perkongsian mengenai Sustainable Business Model Canvas (SBMC) dan membentangkan idea perniagaan menggunakan kerangka SBMC. Program itu membuka ruang kepada mahasiswa Malaysia dan Indonesia untuk bertukar idea, mengembangkan kemahiran pemikiran kritis, komunikasi dan kerja berpasukan dalam persekitaran antarabangsa.
PONTIANAK, 6 Mei – Seramai 27 mahasiswa dan dua pegawai pengiring Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Program Pontianak Odyssey Voyage 2026 (POV’26) anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), sebagai inisiatif mobiliti antarabangsa yang memberi pendedahan kepada pembelajaran rentas budaya, jaringan akademik serantau dan penglibatan komuniti di Pontianak, Indonesia.
Program yang berlangsung dari 30 April hingga 6 Mei 2026 itu dilaksanakan dengan kerjasama Universitas Tanjungpura (UNTAN), serta mendapat sokongan dan tajaan Bank Indonesia dan Sudee.
Antara pengisian utama POV’26 ialah Cross-Border International Leaders Summit yang menjadi wadah perbincangan berkaitan kepimpinan, akademik dan budaya antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia.
Sidang berkenaan turut menampilkan perkongsian penyelidikan oleh wakil UTM dan UNTAN yang mengetengahkan inovasi serta hasil penyelidikan dalam bidang sains dan kelestarian. Perkongsian itu membuka ruang kepada pertukaran ilmu dan pandangan, di samping menggalakkan jaringan kerjasama akademik antara kedua-dua institusi.
Selain itu, peserta turut mengikuti sesi perkongsian mengenai Sustainable Business Model Canvas (SBMC) yang disampaikan oleh usahawan Indonesia bagi memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai pembangunan model perniagaan yang mengambil kira aspek kelestarian.
Berdasarkan pengetahuan yang diperoleh, mahasiswa UTM dan UNTAN kemudiannya membangunkan idea perniagaan secara berkumpulan menggunakan kerangka SBMC sebelum membentangkannya kepada panel yang terdiri daripada pensyarah dan dekan kedua-dua universiti.
Aktiviti tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada mahasiswa Malaysia dan Indonesia untuk bertukar idea, malah membantu mengembangkan kemahiran pemikiran kritis, komunikasi dan kerja berpasukan dalam persekitaran antarabangsa.

Di samping pengisian akademik, POV’26 turut memberi penekanan kepada pertukaran budaya melalui persembahan Dikir Barat oleh mahasiswa UTM sempena majlis pembukaan program di Bank Indonesia serta program Rasa Nusantara yang memperkenalkan makanan tradisional Malaysia dan Indonesia.
Menerusi program berkenaan, mahasiswa UTM memperkenalkan Mi Bandung Muar, manakala wakil UNTAN mengetengahkan Mi Panjang Umur sebagai antara warisan kulinari Kalimantan Barat.
Pengisian tersebut menjadi ruang untuk peserta mengenali kepelbagaian budaya serumpun, selain mengeratkan hubungan antara mahasiswa melalui perkongsian seni dan warisan makanan kedua-dua negara.

Pengetua KTDI, ChM. Dr. Mohd Akmali Mokhter, berkata program berkenaan selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai kecemerlangan akademik, malah dilengkapi kemahiran kepimpinan, komunikasi rentas budaya dan semangat kesukarelawanan.
Beliau berkata, pengisian akademik yang merangkumi perkongsian penyelidikan, inovasi dan keusahawanan sepanjang program turut memberi nilai tambah kepada mahasiswa dengan memperluas perspektif global serta membuka ruang kepada pembinaan jaringan kerjasama dengan rakan strategik di Indonesia.

Sementara itu, Pengarah Program POV’26, Nur Atikah Jamili, berkata program tersebut turut memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang dipelajari melalui kelas Arduino bersama mahasiswa UNTAN dan pelajar Sekolah Menengah Atas (SMA) Muhammadiyah 1 Kota Pontianak.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), malah membantu mahasiswa UTM mengembangkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan penyampaian ilmu melalui interaksi secara langsung dengan pelajar serta rakan mahasiswa dari Indonesia.
Dalam masa yang sama, mahasiswa UTM turut berperanan sebagai duta universiti menerusi sesi perkongsian akademik yang memperkenalkan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi kepada pelajar sekolah di Pontianak.
Menerusi program Arduino Explorers: Coding & Innovation, peserta turut membimbing pelajar SMA Muhammadiyah 1 dalam meneroka asas teknologi Arduino, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal yang menggalakkan interaksi antara mahasiswa UTM, mahasiswa UNTAN dan komuniti sekolah.

Secara keseluruhannya, POV’26 menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan pengalaman akademik, kepimpinan dan komunikasi rentas budaya melalui interaksi bersama rakan sebaya serta komuniti pendidikan di Pontianak.
Pelaksanaan program itu turut menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam aspek pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman mahasiswa, di samping menyokong agenda pengantarabangsaan UTM dalam membentuk graduan yang berfikiran global dan mampu berinteraksi dalam persekitaran masyarakat yang pelbagai.