Mahasiswa UTM kongsi ilmu pertanian lestari bersama penduduk Kampung Parit Gantong

SDGSDG2SDG12SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan program Kembara Razak ke Desa 2026 (KERAKED’26) Fasa 1 di Kampung Parit Gantong, Batu Pahat. Program ini bertujuan meningkatkan pembangunan komuniti luar bandar melalui aplikasi teknologi dan inovasi pertanian pintar. Mahasiswa UTM telah memperkenalkan teknik penghasilan baja kompos menggunakan bahan sisa organik kepada penduduk kampung. Program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan kelestarian pertanian.

RENGIT, 9 Mei – Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Razak (KTR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama penduduk Kampung Parit Gantong, Batu Pahat telah berjaya menganjurkan program Kembara Razak ke Desa 2026 (KERAKED’26) Fasa 1 yang bertujuan memperkukuhkan pembangunan komuniti luar bandar melalui aplikasi teknologi dan inovasi pertanian pintar.

Program ini memberi fokus kepada pemindahan ilmu berkaitan pengurusan sisa organik dan amalan pertanian lestari dalam kalangan penduduk kampung. Melalui aktiviti tersebut, para peserta didedahkan kepada teknik penghasilan baja kompos menggunakan bahan sisa organik seperti sisa makanan, daun kering dan tinja ayam yang kaya dengan nitrogen serta nutrien untuk tanaman dan mudah diperoleh di kawasan sekitar.

Para peserta berkumpul di tapak aktiviti yang disediakan

Mahasiswa UTM menunjukkan langkah demi langkah proses menghasilkan baja kompos, bermula daripada pengasingan bahan organik hinggalah teknik campuran bahan yang sesuai. Seterusnya, penduduk kampung diberi peluang untuk terlibat secara praktikal dalam penyediaan tapak kompos dan proses pencampuran bahan organik. Aktiviti ini membantu meningkatkan kefahaman peserta mengenai teknik penghasilan baja kompos yang betul serta memberi pengalaman baharu kepada mereka tentang amalan pertanian lestari yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian.

Proses pengasingan sisa makanan melibatkan mahasiswa UTM bersama penduduk kampung

Program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan kelestarian pertanian. Para peserta didedahkan kepada kaedah pengurusan sisa yang lebih sistematik dan mesra alam bagi mengurangkan pembaziran serta pencemaran persekitaran. Penduduk kampung turut diberi penerangan mengenai kepentingan baja kompos sebagai alternatif mesra alam bagi mengurangkan pergantungan kepada baja kimia yang boleh memberi kesan negatif terhadap tanah dan alam sekitar jika digunakan secara berlebihan, di samping membantu mengurangkan pencemaran sisa domestik.

Aktiviti pencangkulan tanah yang berlangsung
Proses pencampuran bahan kompos melibatkan mahasiswa UTM bersama penduduk kampung

Selain memberi manfaat kepada komuniti, program ini turut menjadi platform kepada mahasiswa UTM untuk mengaplikasikan ilmu serta kemahiran melalui penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan. Mahasiswa UTM bersama penduduk kampung bekerjasama dalam proses penyediaan tapak, pencampuran bahan kompos serta demonstrasi kaedah pengurusan baja kompos yang betul. Kerjasama erat antara mereka sepanjang program berjaya mewujudkan suasana harmoni dan semangat gotong-royong dalam menjayakan aktiviti pembuatan baja kompos tersebut.

Keadaan tapak selepas pelaksanaan program menunjukkan penggunaan yang lebih efektif dan terurus

Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sahaja mampu membantu komuniti menghasilkan baja organik secara kos rendah, malah berpotensi menjadikan aktiviti pertanian lebih mampan dan produktif pada masa hadapan. Program tersebut secara tidak langsung memperkukuh hubungan antara mahasiswa UTM dan masyarakat luar bandar melalui perkongsian ilmu serta aktiviti khidmat komuniti yang memberi impak positif kepada penduduk setempat.

Explore More

UTM Open Day