Laluan Kemasukan ke Universiti Awam Memperkukuh Akses, Memelihara Dasar Kebangsaan

SDGSDG4SDG10

📝 Ringkasan

Kemasukan pelajar ke universiti awam di Malaysia masih berteraskan prinsip kualiti, merit dan dasar pendidikan kebangsaan. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih menjadi laluan utama dalam sistem kemasukan pendidikan tinggi negara. Syarat mendapat kepujian Bahasa Melayu dan lulus Sejarah di peringkat SPM penting untuk memelihara dasar kebangsaan dan kefahaman terhadap pembentukan negara.

Kemasukan pelajar ke universiti awam di Malaysia terus berteraskan prinsip kualiti, merit dan pematuhan kepada dasar pendidikan kebangsaan, dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal sebagai laluan utama dalam sistem kemasukan pendidikan tinggi negara.

Pelajar Teknohafiz UTM

Pada masa yang sama, kita harus mengakui bahawa Malaysia mempunyai pelbagai latar pendidikan, termasuk sekolah menengah tahfiz, pondok, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekolah antarabangsa dan sistem pendidikan lain. Oleh itu, ruang akses yang bersifat terhad dan bersyarat merupakan satu pendekatan yang wajar, selagi prinsip asas kenegaraan terus dipelihara.

Dalam hal ini, syarat mendapat kepujian Bahasa Melayu dan lulus Sejarah di peringkat SPM adalah amat penting. Bahasa Melayu bukan sekadar mata pelajaran, tetapi bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan negara. Sejarah pula membina kefahaman terhadap pembentukan negara, Perlembagaan Persekutuan, masyarakat majmuk dan tanggungjawab kewarganegaraan.

Pendekatan ini bukan bermaksud mengurangkan kepentingan SPM, sebaliknya memperkukuh sistem pendidikan tinggi yang inklusif, berpandukan kualiti dan tetap menghormati teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Ia membuka ruang kepada bakat tempatan daripada pelbagai latar pendidikan untuk menyumbang kepada pembangunan negara, tanpa mengabaikan asas bahasa, sejarah dan identiti kebangsaan.

Universiti awam, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sentiasa mendukung usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti. Namun, akses tersebut perlu hadir bersama tanggungjawab, kesediaan akademik dan penghayatan terhadap nilai kebangsaan. Dengan pendekatan yang seimbang, Malaysia dapat membangunkan lebih ramai bakat tempatan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga memahami jati diri, sejarah dan amanah mereka kepada negara.

Kerana Tuhan untuk Manusia
Menginovasi Penyelesaian Lestari

 

Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim merupakan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Naib Canselor

Explore More

UTM Open Day