📝 Ringkasan
Forum Buku “40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar” telah berjaya diadakan di Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur. Forum ilmiah ini menampilkan panel jemputan yang membincangkan penghayatan 40 hadis berkaitan pelestarian alam sekitar dan penerapan nilai-nilai Islam. Mereka membincangkan konsep Ekosofi Islam, Maqasid Syariah, dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah dalam memelihara bumi. Mereka juga menekankan kepentingan setiap individu memainkan peranan dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam.
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Program Forum Buku “40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar” telah berjaya dilaksanakan di Event Space, Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, dalam usaha menyemarakkan semangat kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
Program berbentuk forum ilmiah ini menampilkan panel jemputan, iaitu Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) juga merupakan mantan Naib Canselor UTM, bersama Ustaz Wan Ali Wan Jusoh, mantan pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM.
Forum ini dikendalikan oleh moderator, Prof. Madya Dr. Norhayati Abdullah daripada Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM. Turut hadir ialah Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad, dan Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM Cawangan Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Mohd Al-Ikhsan Ghazali.
Perbincangan forum memberi fokus kepada penghayatan 40 hadis berkaitan pelestarian alam sekitar serta penerapan nilai-nilai Islam seperti Ekosofi Islam, maqasid syariah, konsep mizan atau keseimbangan, dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah dalam memelihara bumi.

Dalam sesi tersebut, Datuk Seri Zaini Ujang berkongsi inspirasi di sebalik penghasilan buku ini, yang bukan sahaja membincangkan isu alam sekitar, malah menekankan tanggungjawab manusia sebagai penjaga bumi. Menurut beliau, idea penulisan buku tersebut diilhamkan daripada pendekatan karya 40 Hadis oleh Imam Nawawi yang menghimpunkan hadis-hadis penting sebagai panduan kehidupan umat Islam.
Idea tersebut mula tercetus ketika beliau bersama rakan penulis menunaikan ibadah haji pada tahun 2018. Pengalaman menyaksikan masalah kebersihan di Mina dan Arafah, seperti pembuangan sampah merata-rata dan tandas yang tidak terjaga, telah membuka ruang refleksi tentang pentingnya kebersihan sebagai sebahagian daripada iman dan ibadah.

Panel turut membincangkan konsep Ekosofi Islam berbanding pendekatan Barat dan Jepun dalam menjaga alam sekitar. Datuk Seri Zaini menjelaskan bahawa negara Barat banyak menumpukan usaha pengurangan jejak karbon, manakala masyarakat Jepun dipengaruhi budaya disiplin, undang-undang dan konsep penambahbaikan berterusan atau Kaizen.
Bagi umat Islam pula, penjagaan alam perlu didasari prinsip Halalan Tayyiban, ihsan serta niat ibadah kerana Allah SWT. Beliau turut menekankan amalan gaya hidup sihat dan penggunaan sumber secara berhemah, termasuk mengelakkan pembaziran air ketika berwuduk dan mandi. Menurut beliau, wuduk hanya memerlukan sekitar satu hingga dua liter air, manakala mandi memadai dilakukan dalam tempoh sekitar tiga minit.
Sementara itu, Ustaz Wan Ali Wan Jusoh menegaskan bahawa pemeliharaan alam sekitar sangat berkait rapat dengan Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek penjagaan nyawa. Beliau memberi contoh bagaimana daun-daun yang gugur berfungsi menyeimbangkan karbon dioksida dan oksigen sebagai sebahagian daripada tadbir urus Allah SWT demi memastikan kelangsungan kehidupan manusia dan haiwan. Justeru, beliau menjelaskan bahawa amalan menanam pokok bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah dianggap sebagai satu bentuk sedekah berterusan kerana membekalkan oksigen kepada makhluk lain.

Beliau turut menekankan kepentingan setiap individu memainkan peranan dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam, selari dengan mesej, “anda adalah orang terakhir yang melihat sampah”, di mana setiap orang patut menyelesaikan masalah kebersihan yang ditemui sendiri tanpa menuding jari atau menunggu pihak lain bertindak. Menurut beliau, “ilmu yang tidak diamalkan hanya menjadi sekadar maklumat”, justeru kesedaran terhadap penjagaan alam perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan harian.
Forum turut berlangsung secara interaktif apabila beberapa soalan dan pandangan diajukan oleh para peserta berkaitan amalan kelestarian dalam kehidupan seharian, peranan masyarakat dalam menjaga alam sekitar serta pendekatan Islam dalam menangani isu pencemaran dan pembaziran sumber. Kehadiran para peserta jemputan daripada Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah (MTDI) serta wakil Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak turut memeriahkan program dan mencerminkan sokongan masyarakat luas terhadap agenda kelestarian alam sekitar berteraskan nilai Islam.

Selain forum, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur turut mengadakan pameran berkaitan kelestarian alam sekitar dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi meningkatkan kesedaran warga kampus dan masyarakat tentang kepentingan pembangunan lestari. Selepas tamat program, sesi tandatangan buku bersama penulis turut diadakan, dengan buku tersebut dijual melalui kerjasama Unit Endowmen UTM. Ini sekali gus memberi peluang kepada para peserta untuk mendapatkan naskhah buku serta berinteraksi secara lebih dekat dengan penulis.
