📝 Ringkasan
Falsafah “Be Water, My Friend” yang dikemukakan oleh Bruce Lee telah menjadi panduan kepimpinan adaptif dalam mendepani cabaran. Falsafah ini menekankan kepentingan fleksibiliti, ketahanan emosi, keterbukaan pemikiran dan tindakan yang mempunyai tujuan yang jelas. Dalam konteks kepimpinan, pemimpin yang berkesan bukanlah pemimpin yang terlalu keras atau terlalu mengawal, tetapi pemimpin yang mampu menyesuaikan pendekatan mengikut situasi dan keperluan organisasi. Pemimpin yang fleksibel lebih mudah mengurus perubahan, menyelesaikan konflik dan membina hubungan yang baik dengan ahli organisasi.
Dalam era globalisasi dan transformasi digital yang semakin pesat, dunia kepimpinan berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu yang kompleks dan tidak menentu. Pemimpin hari ini bukan sahaja perlu mengurus organisasi dan sumber manusia, malah perlu berdepan dengan tekanan perubahan teknologi, ketidaktentuan ekonomi, tuntutan prestasi tinggi serta cabaran kesejahteraan mental dalam organisasi. Dalam keadaan sedemikian, gaya kepimpinan tradisional yang terlalu rigid dan berorientasikan kawalan semata-mata mungkin tidak lagi sesuai untuk memastikan kelangsungan dan keberkesanan organisasi. Sebaliknya, organisasi memerlukan pemimpin yang fleksibel, adaptif, berfikiran terbuka dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan secara bijaksana.
Salah satu falsafah yang semakin relevan dalam konteks kepimpinan moden ialah konsep “Be Water, My Friend” yang diperkenalkan oleh legenda seni mempertahankan diri dunia, Bruce Lee. Melalui buku Be Water, My Friend yang ditulis oleh anak beliau, Shannon Lee, pembaca didedahkan kepada falsafah kehidupan yang menekankan fleksibiliti, ketahanan emosi, keterbukaan pemikiran dan tindakan yang mempunyai tujuan yang jelas. Walaupun falsafah ini berasal daripada seni mempertahankan diri, prinsip yang diketengahkan sebenarnya sangat berkait rapat dengan kepimpinan berkesan dalam dunia moden.
Konsep utama dalam buku ini ialah menjadi seperti air. Air tidak mempunyai bentuk yang tetap, tetapi mampu menyesuaikan dirinya mengikut keadaan dan persekitaran. Air boleh mengalir perlahan dan tenang, namun dalam keadaan tertentu ia juga mampu menjadi sangat kuat sehingga dapat menghakis batu. Dalam konteks kepimpinan, falsafah ini menggambarkan bahawa pemimpin yang berkesan bukanlah pemimpin yang terlalu keras atau terlalu mengawal, tetapi pemimpin yang mampu menyesuaikan pendekatan mengikut situasi dan keperluan organisasi. Pemimpin yang fleksibel lebih mudah mengurus perubahan, menyelesaikan konflik dan membina hubungan yang baik dengan ahli organisasi.
Dalam dunia pendidikan misalnya, pemimpin institusi pendidikan hari ini perlu berdepan dengan perubahan sistem pembelajaran, penggunaan teknologi digital, cabaran kecerdasan buatan (AI) dan keperluan memenuhi pelbagai jangkaan pihak berkepentingan. Jika pemimpin terlalu rigid dan enggan berubah, organisasi akan sukar berkembang dan berisiko ketinggalan. Sebaliknya, pemimpin yang memiliki sifat adaptif mampu melihat perubahan sebagai peluang untuk penambahbaikan dan inovasi. Mereka lebih terbuka kepada idea baharu, sanggup mencuba pendekatan berbeza, dan mampu membuat penyesuaian secara strategik demi memastikan organisasi terus relevan dan kompetitif.
Selain fleksibiliti, buku ini turut menekankan konsep “empty your cup”, iaitu dengan cara mengosongkan fikiran daripada ego, prasangka dan pemikiran sempit sebelum dapat menerima ilmu dan pengalaman baharu. Bruce Lee percaya bahawa seseorang perlu mengosongkan fikirannya terlebih dahulu sebelum dapat benar-benar belajar dan berkembang. Dalam konteks kepimpinan, konsep ini sangat penting kerana pemimpin yang terlalu yakin dengan diri sendiri dan enggan menerima pandangan orang lain akan menghadapi kesukaran untuk berkembang. Pemimpin yang efektif ialah mereka yang sentiasa bersedia belajar, menerima kritikan secara positif dan terbuka terhadap pandangan berbeza daripada ahli organisasi.
Kepimpinan masa kini memerlukan budaya pembelajaran berterusan. Pemimpin perlu sentiasa memperbaharui ilmu, memahami perkembangan semasa dan menyesuaikan strategi kepimpinan dengan perubahan persekitaran. Sikap rendah diri dalam menerima ilmu baharu bukan menunjukkan kelemahan, tetapi merupakan kekuatan yang membantu organisasi berkembang secara lebih progresif. Pemimpin yang bersedia mendengar pandangan staf dan menghargai idea ahli organisasi juga lebih mudah membina budaya kerja yang inklusif dan kolaboratif.
Buku ini juga menekankan kepentingan mengenali diri sendiri. Bruce Lee percaya bahawa kejayaan sebenar berlaku apabila seseorang memahami identiti, nilai dan tujuan hidupnya sendiri. Dalam konteks kepimpinan, pemimpin yang mengenali kekuatan dan kelemahan diri lebih mudah membina keyakinan serta membuat keputusan secara lebih jelas dan berintegriti. Pemimpin yang autentik tidak berpura-pura menjadi orang lain semata-mata untuk mendapatkan pengaruh atau pengiktirafan, sebaliknya memimpin berdasarkan prinsip, nilai dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab.
Pemimpin yang autentik juga lebih mudah mendapat kepercayaan daripada ahli organisasi. Dalam persekitaran kerja hari ini, pekerja bukan sahaja memerlukan pemimpin yang bijak membuat keputusan, tetapi juga pemimpin yang mempunyai empati, integriti dan kemampuan memahami keperluan manusia. Hubungan yang positif antara pemimpin dan ahli organisasi sangat penting dalam membentuk budaya kerja yang sihat dan produktif. Oleh itu, pemimpin perlu membina keseimbangan antara pencapaian organisasi dan kesejahteraan manusia dalam organisasi tersebut.
Di samping itu, buku ini turut menekankan konsep “strike with intent”, memberi pengajaran penting bahawa fleksibiliti tidak bermaksud seseorang itu pasif atau tidak mempunyai pendirian. Sebaliknya, selepas memahami situasi dan membuat pertimbangan secara teliti, pemimpin perlu bertindak dengan penuh keyakinan dan tujuan yang jelas. Dalam organisasi, terlalu banyak keraguan dan penangguhan keputusan boleh menyebabkan kelemahan pengurusan serta kehilangan peluang penting. Oleh itu, pemimpin perlu mempunyai keberanian untuk membuat keputusan dan bertindak secara strategik demi kepentingan organisasi.
Dalam dunia kepimpinan moden yang penuh ketidakpastian, keseimbangan antara fleksibiliti dan ketegasan amat penting. Pemimpin yang terlalu keras mungkin sukar menerima perubahan, manakala pemimpin yang terlalu longgar pula berisiko kehilangan arah dan kawalan organisasi. Falsafah air mengajar bahawa pemimpin perlu tahu bila untuk bersikap lembut dan mendengar, serta bila perlu bertindak tegas dan membuat keputusan yang sukar. Keupayaan menyesuaikan pendekatan mengikut situasi inilah yang membezakan pemimpin biasa dengan pemimpin yang benar-benar berkesan.
Falsafah ini juga berkait rapat dengan aspek kesejahteraan mental dan emosi dalam kepimpinan. Pemimpin yang terlalu tertekan dan gagal mengurus emosi akan mempengaruhi budaya organisasi secara negatif. Sebaliknya, pemimpin yang tenang, stabil dan fleksibel mampu menjadi sumber motivasi serta kestabilan kepada ahli organisasi. Dalam situasi krisis misalnya, ahli organisasi akan lebih yakin kepada pemimpin yang mampu mengawal emosi dan membuat keputusan secara rasional.
Kesimpulannya, falsafah “Be Water, My Friend” memberikan pengajaran yang sangat bernilai dalam membentuk kepimpinan masa hadapan. Dalam dunia yang sentiasa berubah, pemimpin perlu memiliki keupayaan untuk menyesuaikan diri, berfikiran terbuka, mengenali diri sendiri dan bertindak dengan tujuan yang jelas. Kekuatan sebenar seorang pemimpin bukan terletak pada kuasa atau kawalan semata-mata, tetapi pada kebijaksanaan untuk mengurus perubahan dengan tenang dan fleksibel tanpa kehilangan prinsip dan nilai diri. Melalui pendekatan ini, organisasi bukan sahaja mampu mencapai kecemerlangan, malah dapat membina budaya kerja yang lebih harmoni, progresif dan lestari.
Penulis bersama Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari dan Prof. Madya Dr. Sharifah Osman