Bengkel Psikologi Positif perkasa kompetensi Guru bimbingan dan Kaunseling Johor

SDGSDG3SDG4

📝 Ringkasan

Bengkel Psikologi Positif diadakan di SMK Tasek Utara, Johor Bahru, bagi meningkatkan kompetensi guru bimbingan dan kaunseling. Bengkel ini membincangkan konsep psikologi positif dan model PERMA, serta bagaimana intervensi dapat diaplikasikan untuk membantu kesejahteraan murid. Peserta menghasilkan 21 idea papan permainan intervensi yang menampilkan pendekatan unik untuk meningkatkan kesejahteraan murid. Hasil ujian pasca menunjukkan peningkatan pengetahuan peserta dan majoriti menyatakan bahawa bengkel tersebut memberi pendedahan baharu berkaitan pendekatan intervensi yang lebih kreatif.

JOHOR BAHRU, 11 Mei — Seramai 21 orang guru bimbingan dan kaunseling daripada sembilan buah sekolah di daerah Johor Bahru serta 11 buah sekolah di daerah Pasir Gudang telah menyertai Bengkel Psikologi Positif yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, Johor Bahru. Program ini merupakan salah satu projek di bawah Program PRO360°, iaitu Pembangunan Kompetensi Psikologi Positif, Kajian Tindakan, Intervensi Digital dan Pemasaran Komuniti Guru Bimbingan dan Kaunseling Negeri Johor yang dilaksanakan menerusi Geran Inovasi Penyelidikan – Program Pemindahan Ilmu (KTP-RIG), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bengkel ini bertujuan meningkatkan penguasaan guru bimbingan dan kaunseling berkaitan konsep psikologi positif serta bagaimana pendekatan tersebut dapat diaplikasikan sebagai intervensi dalam membantu kesejahteraan dan pembangunan murid di sekolah. Program ini juga menjadi platform perkongsian ilmu dan pembangunan idea intervensi kreatif yang boleh digunakan secara praktikal dalam sesi bimbingan dan kaunseling.

Sesi penyampaian bengkel berkaitan konsep Psikologi Positif oleh Prof. Madya Dr. Mohd Rustam Mohd Rameli

Bengkel telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Rustam Mohd Rameli yang berkongsi pengetahuan berkaitan konsep psikologi positif, khususnya kesejahteraan subjektif berdasarkan model PERMA yang diperkenalkan oleh Martin Seligman. Model PERMA merangkumi lima elemen utama iaitu Positive Emotion (Emosi Positif), Engagement (Keterlibatan), Relationship (Hubungan), Meaning (Makna) dan 4(Pencapaian) yang dilihat mampu membantu meningkatkan kesejahteraan individu secara menyeluruh.

Dalam sesi perkongsian tersebut, peserta didedahkan dengan pelbagai contoh aplikasi intervensi psikologi positif yang sesuai digunakan di sekolah. Antara fokus utama yang diketengahkan ialah bagaimana guru bimbingan dan kaunseling boleh membantu murid meningkatkan emosi positif, membina hubungan sosial yang sihat, meningkatkan penglibatan dalam pembelajaran serta membantu murid mencari makna dan tujuan dalam kehidupan mereka.

Selain sesi penerangan teori, peserta turut terlibat secara aktif dalam sesi sumbangsaran berkaitan pembangunan intervensi berasaskan model PERMA sama ada dalam bentuk digital mahupun bukan digital. Pelbagai idea kreatif telah diketengahkan oleh peserta termasuk penggunaan permainan interaktif, kad aktiviti emosi, aplikasi mudah alih, jurnal refleksi dan modul permainan berasaskan kesejahteraan psikologi.

Sesi perkongsian idea peserta berkaitan pembangunan intervensi Psikologi Positif

Kemuncak bengkel ialah aktiviti penghasilan deraf papan permainan berasaskan model PERMA yang dijalankan secara individu. Aktiviti ini bertujuan membantu peserta menghasilkan bahan intervensi yang lebih menarik, kreatif dan mesra murid. Melalui aktiviti tersebut, peserta berjaya menghasilkan sebanyak 21 idea papan permainan yang menampilkan pelbagai pendekatan unik untuk meningkatkan kesejahteraan murid sekolah.

Papan permainan yang dihasilkan itu akan digunakan sebagai salah satu bahan intervensi dalam projek susulan iaitu Bengkel Penulisan Kajian Tindakan. Dalam projek tersebut, peserta akan dibimbing untuk melaksanakan intervensi di sekolah masing-masing serta menulis kajian tindakan berdasarkan keberkesanan penggunaan papan permainan yang telah dibangunkan.

Hasil ujian pasca yang dijalankan menunjukkan peningkatan pengetahuan peserta berkaitan konsep psikologi positif dan model PERMA. Majoriti peserta menyatakan bahawa bengkel tersebut memberi pendedahan baharu berkaitan pendekatan intervensi yang lebih kreatif dan sesuai dengan keperluan murid masa kini.

Idea awal papan permainan intervensi Psikologi Positif yang dihasilkan oleh peserta bengkel

Menurut salah seorang peserta, “Bengkel ini sangat membantu kami memahami bagaimana konsep psikologi positif boleh diaplikasikan secara praktikal dalam membantu kesejahteraan murid. Aktiviti menghasilkan papan permainan juga membuka ruang kepada guru untuk lebih kreatif dalam melaksanakan intervensi di sekolah.”

Seorang lagi peserta turut menyatakan bahawa pendekatan bengkel yang bersifat interaktif dan berasaskan aktiviti kumpulan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan mudah difahami. “Kami bukan sahaja belajar teori, tetapi terus menghasilkan bahan intervensi yang boleh digunakan di sekolah. Ini memberi keyakinan kepada kami untuk melaksanakan intervensi yang lebih berkesan kepada murid,” katanya.

Pelaksanaan bengkel ini diharapkan dapat memperkukuh kompetensi guru bimbingan dan kaunseling dalam mengaplikasikan pendekatan psikologi positif secara lebih sistematik dan kreatif di sekolah. Program seperti ini juga selaras dengan usaha UTM dalam memperkasakan komuniti pendidikan melalui pemindahan ilmu dan pembangunan intervensi yang memberi impak kepada kesejahteraan masyarakat, khususnya dalam konteks pendidikan sekolah.

Explore More

UTM Open Day