📝 Ringkasan
Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus membuktikan bahawa profesion perguruan bukan sekadar kerjaya, tetapi amanah besar dalam membentuk pemikiran, nilai dan masa depan generasi negara. Mereka telah dinobatkan sebagai penerima anugerah dan pengiktirafan atas sumbangan besar dalam memupuk kecemerlangan pelajar dan membentuk pelajar yang lebih yakin dan berpotensi.
“Kerana Tuhan Untuk Manusia” bukan sekadar moto keramat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tetapi merupakan nilai yang terus diterjemahkan oleh ramai alumninya melalui khidmat dan pengorbanan dalam dunia pendidikan.
Sempena sambutan Hari Guru 2026 yang bertemakan “Guru Bitara Nadi Negara” hari ini, alumni UTM terus membuktikan bahawa profesion perguruan bukan sekadar kerjaya, tetapi amanah besar dalam membentuk pemikiran, nilai dan masa depan generasi negara.
Walaupun alumni UTM lahir daripada pelbagai bidang pengajian termasuk kejuruteraan, sains, teknologi, pengurusan dan sains komputer, ramai yang memilih untuk menyumbang dalam dunia pendidikan sebagai guru, pendidik, pensyarah dan pembimbing masyarakat.
Dalam pada masa yang sama, UTM turut mempunyai fakulti yang secara khusus melahirkan bakal pendidik menerusi program-program pendidikan dan latihan perguruan iaitu Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), fakulti ini merupakani pusat pengajian yang memfokuskan kepada inovasi pendidikan, penyelidikan serta latihan vokasional dalam melahirkan pendidik berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa negara.
Kehadapan, antara alumni yang mengharumkan nama universiti ialah Dr. Tan Yong Chee, alumni Fakulti Sains yang merupakan graduan Sarjana dan PhD daripada Jabatan Kimia UTM. Beliau telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Berwibawa (Guru Sekolah Swasta Berwibawa) sempena Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 atas sumbangan besar beliau dalam memupuk kecemerlangan pelajar dalam bidang STEM.

Turut mencipta kebanggaan ialah Cikgu Goh Kok Ming, alumni Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) yang mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai pemenang serantau bagi 2023 Cambridge Dedicated Teacher Awards melibatkan rantau Australia, New Zealand dan Asia Tenggara. Pengiktirafan tersebut diberikan atas dedikasi luar biasa beliau dalam dunia pendidikan serta usaha berterusan membentuk pelajar yang lebih yakin dan berpotensi.

Selain itu, Cikgu Saifulnizan Che Ismail, alumni Sains Komputer UTM yang pernah merangkul gelaran Tokoh Alumni UTM 2007 (Majlis PraGraduan), turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald, Guru Adiwira PPD serta Ikon Guru TMK Peringkat Kebangsaan hasil usaha beliau memperkasakan pendidikan digital dan teknologi dalam kalangan pelajar.

Nama Datin Seri Panglima Datuk Dr. Hjh. Nuinda Hj. Alias juga tidak asing dalam dunia pendidikan negara. Beliau merupakan penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023 dan Tokoh Guru Peringkat Negeri Sabah 2022, selain aktif menyumbang bersama Persatuan Alumni UTM dalam memperkukuh jaringan alumni dan pembangunan pendidikan.

Dalam pengiktirafan berasingan, Dr. Khasturi Ramalingam turut menerima Anugerah Khas Pendidikan: Kesukarelawanan sempena Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 Tahun 2024 atas komitmen beliau dalam aktiviti pendidikan dan kesukarelawanan yang memberi impak besar kepada komuniti.

Ini hanyalah sebahagian darI kejayaan alumni UTM yang telah memilih kerjaya sebagai “guru”. Kejayaan mereka dan ramai lagi alumni di dalam dan luar negara membuktikan bahawa alumni institusi ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang profesional dan industri, malah memainkan peranan besar dalam membina masyarakat berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi. Mereka ialah wajah sebenar “Guru Bitara Nadi Negara” yang terus menyemai ilmu, inspirasi dan harapan demi masa depan negara.
Sebagai universiti yang lahir daripada semangat membina bangsa melalui ilmu dan teknologi, UTM akan terus menghargai dan meraikan alumni yang membawa impak besar kepada masyarakat melalui dunia pendidikan. Dedikasi para guru ini bukan sahaja membentuk kejayaan individu pelajar, malah menjadi asas kepada kemajuan negara pada masa hadapan.
Selamat Hari Guru kepada seluruh pendidik yang terus menabur bakti tanpa jemu demi anak bangsa dan negara, Kerana Tuhan untuk Manusia.