📝 Ringkasan
Alumni dan akademia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memainkan peranan penting dalam landskap pendidikan negeri Johor. Mereka terlibat dalam kepimpinan pendidikan, pembangunan bakat, reformasi sekolah dan pemberdayaan komuniti. Alumni UTM seperti Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM, dan Prof. Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), terlibat dalam memperkasa pendidikan teknikal dan kejuruteraan. Tuan Zulkurnain Abdul Rahman, Pengarah Pendidikan Johor, juga merupakan alumni UTM. Mereka bekerja sama untuk memperluas inisiatif pendidikan, pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat Johor.
“Ilmu harus menjadi jalan untuk mengabdi kepada Tuhan dan memberi manfaat kepada manusia.”
– Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin Abdul Wahid
Naib Canselor Pertama UTM
Hikmah tersebut terus diterjemahkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bukan sahaja melalui usaha melahirkan graduan cemerlang dalam pelbagai bidang profesional dan akademik, malah menerusi sumbangan alumni dan akademianya yang kini aktif memperkukuh landskap pendidikan negara dan juga  negeri Johor. Daripada kepimpinan pendidikan, pembangunan bakat, reformasi sekolah hinggalah kepada pemberdayaan komuniti, warga UTM terus berada di barisan hadapan dalam mencorak masa depan pendidikan negeri.
Hari ini, terdapat beberapa alumni UTM menggalas amanah penting dalam ekosistem pendidikan Johor, merangkumi kepimpinan universiti, pentadbiran pendidikan negeri, pembangunan modal insan serta pelaksanaan pelbagai program komuniti berteraskan pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Antara figura yang mencerminkan kesinambungan kecemerlangan alumni UTM ialah Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim (Diploma Sains Komputer, 1997; Sarjana Muda Sains (Komputer), 1999; Sarjana Sains (Sains Komputer), 2003) yang kini menerajui UTM sebagai Naib Canselor. Sebagai alumni UTM sendiri, beliau mengetengahkan pendekatan pendidikan yang memberi fokus kepada inovasi, kecerdasan buatan (AI), pembangunan bakat global serta kerjasama strategik universiti-industri dalam mempersiapkan generasi masa depan.

Turut memainkan peranan penting dalam landskap pengajian tinggi negeri ialah Prof. Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali (Sarjana Kejuruteraan Mekanikal, 2007) sebagai Naib Canselor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Kepimpinan beliau dalam memperkasa pendidikan teknikal dan kejuruteraan terus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai antara hab pendidikan dan pembangunan teknologi negara.

Di peringkat pentadbiran pendidikan negeri pula, Tuan Zulkurnain Abdul Rahman (Sarjana Muda Teknologi Serta Pendidikan (Kejuruteraan Mekanikal), 1998) kini menggalas amanah sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor. Pelantikan beliau mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan graduan UTM dalam menerajui sistem pendidikan negeri serta memperkasa pembangunan sekolah, guru dan pelajar di seluruh Johor.

Turut menjadi antara alumni UTM yang aktif menyumbang kepada pembangunan pendidikan negeri ialah Tuan Hishamuddin Abdul Rahim (Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran), 2005) selaku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZS).Â

Yayasan yang dinaungi oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan Canselor UTM, memainkan peranan penting dalam memperluas inisiatif pendidikan, pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat Johor melalui pelbagai program strategik yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
Sebagai contoh, Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) yang diilhamkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda pada tahun 2019 bermula sebagai projek perintis di Flat Kenari (BJB 1.0). Kejayaan model pembangunan komuniti tersebut kemudiannya mendorong Kerajaan Negeri Johor memperluaskan pelaksanaannya ke Flat Plentong Utama (BJB 2.0) dan kawasan perumahan flat di Kulai (BJB 3.0), sekali gus memperluaskan manfaatnya kepada lebih ramai komuniti di seluruh negeri.

Kehadiran alumni dan akademia UTM dalam pelbagai lapisan kepimpinan pendidikan negeri turut memperlihatkan hubungan erat antara universiti dan agenda pembangunan Johor.
Selain itu, UTM turut memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang diilhamkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor.
Antara yang terlibat secara langsung dalam inisiatif tersebut ialah Prof. Dr. Fatin Aliah Phang (Ijazah Sarjana Muda Sains dan Komputer Serta Pendidikan (Fizik), 2003), Profesor di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM. Beliau bersama pasukan FEST terlibat dalam pembangunan dan pemantauan pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor sejak peringkat awal, khususnya dalam aspek pembelajaran masa depan, pembangunan karakter serta pendidikan berteraskan kompetensi dan teknologi.


Inisiatif tersebut merupakan antara usaha transformasi pendidikan negeri yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, penguasaan teknologi, pengukuhan sahsiah serta pembentukan generasi muda Johor yang lebih kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Hakikat bahawa ramai alumni dan akademia UTM kini berada dalam kedudukan strategik dalam ekosistem pendidikan Johor membuktikan bahawa peranan universiti tidak terhenti di bilik kuliah atau makmal penyelidikan semata-mata. Sebaliknya, graduan dan ilmuwan yang dilahirkan terus menjadi penggerak perubahan yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan modal insan, kemajuan negeri dan kesejahteraan masyarakat.
Selari dengan falsafah “Kerana Tuhan Untuk Manusia” dan tagline “Menginovasi Penyelesaian Lestari”, warga UTM terus membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar soal akademik, tetapi amanah besar dalam membentuk masa depan Johor, negara dan generasi akan datang.