📝 Ringkasan
Kecerdasan buatan (AI) telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian manusia, dari pembantu maya hingga analisis data berskala besar. Namun, kemunculan model bahasa besar seperti ChatGPT, Claude dan Gemini telah mengubah perbualan tentang kecerdasan buatan dengan lebih ketara. Kebimbangan terhadap AI mempunyai asas yang kukuh, dengan laporan Future of Jobs Report 2025 menganggarkan bahawa 92 juta pekerjaan akan tergantikan menjelang tahun 2030 akibat automasi, pendigitalan dan penggunaan AI.
Walaupun begitu, laporan yang sama turut meramalkan bahawa 170 juta pekerjaan baharu akan tercipta dalam tempoh yang sama, memberikan pertumbuhan bersih sebanyak 78 juta pekerjaan. Namun, angka positif ini tidak bermakna peralihan tersebut mudah, dengan 22 peratus pekerjaan dijangka mengalami perubahan besar dan 39 peratus kemahiran utama dalam kerjaya diramal tidak lagi relevan menjelang tahun 2030.
Kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) bukan lagi sekadar konsep dalam filem fiksyen sains. Ia kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian manusia, daripada pembantu maya dalam telefon pintar, sistem cadangan di platform digital, perkhidmatan pelanggan automatik, hinggalah kepada kenderaan autonomi dan analisis data berskala besar. Namun, kemunculan model bahasa besar seperti ChatGPT, Claude dan Gemini sejak tahun 2022 telah mengubah perbualan tentang kecerdasan buatan dengan lebih ketara. Persoalannya bukan lagi sekadar sama ada kecerdasan buatan boleh melakukan kerja manusia, tetapi bilakah, sejauh mana dan dalam bentuk apakah ia akan mengubah pekerjaan kita.
Kebimbangan terhadap AI mempunyai asas yang kukuh. Laporan Future of Jobs Report 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) menganggarkan bahawa 92 juta pekerjaan akan tergantikan menjelang tahun 2030 akibat automasi, pendigitalan dan penggunaan AI. Walaupun begitu, laporan yang sama turut meramalkan bahawa 170 juta pekerjaan baharu akan tercipta dalam tempoh yang sama, sekali gus memberikan pertumbuhan bersih sebanyak 78 juta pekerjaan atau sekitar tujuh peratus daripada jumlah pekerjaan global.
Namun, angka positif ini tidak bermakna peralihan tersebut mudah. Sebanyak 22 peratus pekerjaan dijangka mengalami perubahan besar, manakala 39 peratus kemahiran utama dalam kerjaya diramal tidak lagi relevan menjelang tahun 2030. Isu sebenar bukan hanya kehilangan pekerjaan, tetapi ketidaksediaan pekerja untuk bergerak seiring dengan perubahan.
Apa yang membezakan gelombang automasi hari ini ialah skop dan kelajuannya. Jika dahulu mesin mengambil alih kerja fizikal yang berulang, kini AI mampu menulis laporan, menganalisis dokumen, mereka bentuk imej, menterjemah bahasa, menyediakan draf undang-undang, malah menulis kod pengaturcaraan.
Keadaan ini menyebabkan pekerjaan kolar putih yang dahulunya dianggap lebih stabil mula berdepan tekanan serta persaingan daripada teknologi. Golongan profesional tidak lagi boleh bergantung semata-mata pada kelayakan akademik atau pengalaman lama, sebaliknya perlu membuktikan nilai tambah yang tidak mudah ditiru oleh mesin.
Di Malaysia, kesan ini sudah mula dibincangkan secara serius. Kajian impak oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mendapati 620,000 pekerjaan, atau kira-kira 18 peratus daripada 3.5 juta pekerja dalam 10 sektor utama, berisiko tinggi terjejas dalam tempoh tiga hingga lima tahun. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula menganggarkan sehingga 48 peratus pekerja Malaysia mempunyai pendedahan tinggi terhadap automasi AI.
Antara sektor yang paling terdedah termasuk perdagangan runcit, pembuatan makanan, perkhidmatan perniagaan global, elektrik dan elektronik, serta teknologi maklumat dan komunikasi. Dapatan ini wajar menjadi amaran awal kepada kerajaan, industri, institusi pendidikan dan pekerja agar tidak menunggu sehingga perubahan berlaku terlalu pantas untuk ditangani.
Walau bagaimanapun, sejarah mengajar kita bahawa setiap revolusi teknologi besar pada awalnya sering ditakuti. Kemunculan mesin stim, elektrik, komputer dan Internet pernah menimbulkan kebimbangan bahawa manusia akan kehilangan peranan dalam dunia pekerjaan. Namun, dalam jangka panjang, teknologi-teknologi tersebut bukan sahaja menghapuskan sebahagian pekerjaan lama, malah mencipta pekerjaan baharu yang sebelumnya tidak pernah wujud.
AI juga sedang melahirkan peranan baharu seperti jurutera prompt, pakar etika AI, juruaudit algoritma, penganalisis data, pembangun automasi, pakar keselamatan siber dan perunding transformasi digital. Di Malaysia, kajian TalentCorp mengenal pasti 60 peranan baharu termasuk Arkitek AI, Saintis Data, Pegawai ESG, Pengurus Bateri Kenderaan Elektrik dan Juruteknik Kenderaan Autonomi, dengan 73 peratus daripadanya tertumpu dalam bidang AI dan teknologi digital.
Selain mencipta pekerjaan baharu, AI juga berupaya meningkatkan produktiviti pekerjaan sedia ada. Dalam bidang perubatan, AI boleh membantu doktor mengesan penyakit dengan lebih cepat melalui analisis imej dan rekod pesakit. Dalam bidang guaman, peguam boleh menyemak dokumen dan mencari rujukan kes dalam tempoh yang jauh lebih singkat. Dalam bidang pendidikan, pensyarah dan guru boleh menggunakan AI untuk menyediakan bahan pembelajaran, soalan latihan dan maklum balas awal kepada pelajar. Bagi pengaturcara, AI boleh mempercepat proses menulis, menguji dan membaiki kod, manakala bagi usahawan kecil pula, teknologi ini membolehkan mereka membina laman web, menghasilkan kandungan pemasaran, menganalisis pelanggan dan mengurus komunikasi dengan kos yang lebih rendah.
Namun, manfaat AI tidak akan dirasai secara sama rata jika jurang kemahiran terus melebar. Pekerja yang mempunyai akses kepada latihan, teknologi dan sokongan organisasi akan lebih mudah menyesuaikan diri. Sebaliknya, pekerja yang kurang pendedahan digital berisiko tertinggal, walaupun mempunyai pengalaman kerja yang panjang.
Oleh itu, tanggungjawab menghadapi perubahan ini tidak boleh diletakkan di bahu individu semata-mata. Kerajaan perlu menyediakan dasar latihan semula dan peningkatan kemahiran yang lebih tersusun. Majikan pula perlu melihat AI bukan sebagai alasan untuk mengecilkan tenaga kerja semata-mata, tetapi sebagai peluang untuk meningkatkan keupayaan pekerja. Institusi pendidikan perlu mengemas kini kurikulum supaya pelajar bukan sahaja tahu menggunakan teknologi, tetapi memahami batasan, risiko dan etika penggunaannya.
Jika pekerjaan sedang berubah, kemahiran yang diperlukan juga perlu berubah. Kemahiran teknikal seperti celik AI, analisis data, pengaturcaraan asas, keselamatan siber dan keupayaan menggunakan alat digital semakin menjadi keperluan asas, bukan lagi kelebihan tambahan.
Namun, kemahiran insani juga semakin bernilai. Pemikiran kritis, kreativiti, empati, kepimpinan, komunikasi berkesan dan kecerdasan emosi sukar digantikan oleh mesin. Ironinya, dalam dunia yang semakin didominasi oleh teknologi, kemanusiaan menjadi kelebihan daya saing yang paling unik. Kecerdasan buatan boleh menghasilkan jawapan, tetapi manusia masih diperlukan untuk menilai konteks, membuat pertimbangan moral, memahami emosi dan membina kepercayaan.
Pada masa yang sama, pekerjaan yang melibatkan interaksi manusia yang mendalam, kemahiran motor halus atau pertimbangan etika kompleks kekal lebih sukar digantikan sepenuhnya. Jururawat, guru, ahli terapi, tukang paip, juruteknik mahir, pekerja sosial dan pemimpin organisasi masih memerlukan sentuhan manusia yang tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada algoritma.
Walaupun AI boleh menjadi pembantu yang berguna, keputusan akhir dalam banyak keadaan masih memerlukan nilai, pengalaman dan kebijaksanaan manusia. Oleh itu, masa hadapan pekerjaan bukan semestinya manusia melawan mesin, tetapi manusia yang bijak menggunakan mesin akan mempunyai kelebihan berbanding mereka yang menolaknya.
Kebolehan untuk belajar secara berterusan juga menjadi kemahiran paling asas. Era seseorang mempelajari satu bidang, memasuki satu pekerjaan dan kekal melakukan tugas yang sama selama 40 tahun semakin hampir berakhir. Generasi hari ini mungkin menukar kerjaya beberapa kali sepanjang hayat mereka, dan setiap peralihan memerlukan pembelajaran semula. Sikap ingin tahu, keberanian mencuba alat baharu dan kesediaan menerima maklum balas akan menjadi ciri penting pekerja masa hadapan. Dalam konteks ini, AI boleh menjadi guru peribadi, pembantu penyelidikan dan rakan idea, asalkan digunakan dengan disiplin dan pemikiran kritis.
Persoalan sama ada AI merupakan peluang atau ancaman sebenarnya tidak mempunyai jawapan yang mudah. Hakikatnya, ia boleh menjadi kedua-duanya, bergantung pada cara manusia menerima, mengawal dan menggunakannya. AI hanyalah alat. Seperti kapak yang boleh digunakan untuk membina rumah atau memusnahkannya, nilainya bergantung pada tangan yang memegangnya dan minda yang mengarahkannya.
Bagi individu, syarikat atau negara yang masih berpegang pada cara lama dan enggan menyesuaikan diri, AI boleh menjadi ancaman yang menyebabkan mereka semakin ketinggalan. Namun, bagi mereka yang sanggup memahami, menyesuaikan diri dan memanfaatkan teknologi ini dengan bijaksana, AI mampu menjadi pemangkin kepada peluang baharu yang sebelum ini sukar dibayangkan.
Cabaran sebenar terletak pada sikap manusia sendiri terhadap perubahan. Jika AI digunakan tanpa kawalan, ia boleh menimbulkan isu seperti kehilangan pekerjaan, penyalahgunaan data, bias algoritma dan ketidaksamaan ekonomi. Tetapi jika dibangunkan dengan prinsip etika, tadbir urus yang baik dan latihan kemahiran yang inklusif, AI boleh membantu manusia bekerja dengan lebih cekap, kreatif dan bermakna.
Masa hadapan pekerjaan tidak ditentukan oleh teknologi semata-mata, tetapi oleh pilihan manusia hari ini. Oleh itu, kita bukan sekadar perlu bertanya sama ada kecerdasan buatan membawa peluang atau ancaman, sebaliknya perlu bertanya sejauh mana kita bersedia membentuk masa hadapan tersebut dengan ilmu, nilai dan keberanian untuk berubah.
Oleh Muhammad Mahfuz Zainuddin, Eksekutif Akademik, Jabatan Sains Komputer dan Perkhidmatan, Pusat Pengajian Diploma, SPACE UTM