📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Communication University of China (CUC) menandatangani Surat Hasrat (LoI) untuk memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua institusi. Kerjasama ini merangkumi bidang akademik, penyelidikan dan pertukaran institusi. Ia membuka ruang baharu kepada UTM dalam bidang media dan komunikasi dan akan memberi tumpuan kepada pendekatan berasaskan kepakaran dan penyelidikan. Kerjasama ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan bakat masa hadapan melalui pendekatan pembelajaran rentas disiplin dan memperkukuh ekosistem inovasi universiti dalam bidang teknologi digital dan industri kreatif.
BEIJING, 14 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi apabila menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama Communication University of China (CUC), sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Majlis pemeteraian tersebut menandakan komitmen awal dalam membangunkan kerjasama merangkumi bidang akademik, penyelidikan serta pertukaran institusi. LoI ini turut menjadi asas kepada pembangunan Memorandum Persefahaman (MoU) yang lebih komprehensif pada masa hadapan, selaras dengan keperluan tadbir urus dan perancangan jangka panjang universiti.
Pemeteraian itu disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bersama Presiden CUC, Prof. Zhang Shuting, serta disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus dan barisan pengurusan kanan kedua-dua institusi.


Dalam ucapannya, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry menegaskan bahawa kerjasama ini merupakan langkah strategik dalam memperluas jaringan global universiti serta meningkatkan kualiti pendidikan melalui perkongsian kepakaran antarabangsa. Menurut beliau, pendedahan kepada persekitaran global akan membantu melahirkan graduan yang lebih kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Menariknya, kolaborasi ini membuka ruang baharu kepada UTM dalam bidang media dan komunikasi, memandangkan universiti ini belum menawarkan program khusus dalam bidang tersebut. Kerjasama bersama CUC akan memberi tumpuan kepada pendekatan berasaskan kepakaran dan penyelidikan, termasuk pembangunan platform pakar bersama (joint experts), pelaksanaan program felo penyelidikan (research fellowship) serta penubuhan pusat penyelidikan yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dengan media dan industri kreatif.


Selain itu, kedua-dua institusi turut merancang pembangunan pusat inovasi digital dan permainan (gaming and digital innovation centre) yang berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif berteknologi tinggi. Pendekatan ini dilihat mampu memanfaatkan kekuatan UTM dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, sekali gus menggabungkan elemen media secara rentas disiplin.
Kerjasama ini juga merangkumi pertukaran staf akademik dan pelajar, perkongsian bahan akademik serta penganjuran bersama persidangan dan seminar antarabangsa. Kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Secara keseluruhannya, kerjasama ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan bakat masa hadapan melalui pendekatan pembelajaran rentas disiplin, di samping memperkukuh ekosistem inovasi universiti dalam bidang teknologi digital dan industri kreatif. Usaha ini selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 dalam memperkasa jaringan global, meningkatkan penyelidikan rentas disiplin serta memperkukuh kebolehpasaran graduan melalui pendedahan antarabangsa.