📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Karnival STEM “STEM Inspire Starsek x UTM 2026” di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Johor. Program ini bertujuan memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai aktiviti interaktif dan pembelajaran secara amali. SK Tasek Utara telah ditetapkan sebagai Sekolah Angkat STEM Fakulti Sains UTM, seterusnya meningkatkan minat murid terhadap bidang STEM.
JOHOR BAHRU, 16 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda pendidikan sains apabila menganjurkan Program Karnival STEM “STEM Inspire Starsek x UTM 2026” di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, sekali gus menandakan pelancaran rasmi Sekolah Angkat STEM Fakulti Sains UTM.
Program ini bertujuan memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai aktiviti interaktif dan pembelajaran secara amali sejak peringkat awal persekolahan. SK Tasek Utara yang merupakan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) turut menjadi Sekolah Angkat STEM Fakulti Sains yang kedua selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tebrau pada tahun lalu.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SK Tasek Utara, Haziani Jasmani, mewakili pihak pengurusan sekolah, diikuti ucapan rasmi oleh Dekan Fakulti Sains UTM, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir. Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan pentadbir fakulti termasuk Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek, Prof. Madya ChM. Dr. Mohd Firdaus Abdul Wahab, Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim, serta ChM. Dr. Muhammad Amirul Aizat Mohd Abdah selaku pengarah program, bersama wakil-wakil ketua jabatan.
Dalam ucapannya, Haziani menyatakan rasa bangga kerana SK Tasek Utara dipilih sebagai sekolah angkat STEM dan berharap kolaborasi ini dapat memperkaya pengalaman pembelajaran murid. Sementara itu, Prof. Shafinaz menegaskan bahawa pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan kreatif merupakan kunci untuk mencetuskan rasa ingin tahu saintifik dalam kalangan generasi muda.

Selepas sesi pelancaran, para murid dibawa melawat lima reruai pameran yang dikendalikan oleh jabatan-jabatan di Fakulti Sains UTM serta Unit STEM RBTK, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE). Reruai Jabatan Biosains memperkenalkan konsep vermikompos menggunakan cacing African Night Crawler serta alat EcoGold berasaskan Internet Benda (IoT) bagi memantau suhu dan kelembapan kotak vermikompos. Aktiviti “Kotak Cacing Misteri” turut diadakan bagi menguji kefahaman murid secara interaktif.
Reruai Jabatan Fizik pula menawarkan pelbagai aktiviti seperti Buzz Wire, pembinaan teleskop sendiri, hologram, Total Internal Reflection dan Basic Lenses yang menguji kemahiran motor serta pemahaman konsep cahaya dan litar. Pendekatan ini memberi peluang kepada murid untuk mengalami sendiri konsep fizik secara praktikal dan menyeronokkan.
Di reruai Jabatan Kimia, murid didedahkan kepada empat aktiviti utama iaitu pengenalpastian cap jari menggunakan teknik forensik asas, demonstrasi Fire Bender menggunakan gelembung gas butana, ujian pH menggunakan larutan kubis merah, serta aktiviti dakwat rahsia yang menggabungkan elemen kreativiti dan sains.



Reruai Jabatan Sains Matematik menampilkan empat aktiviti yang mengasah kemahiran logik dan numerasi murid. Number Maze merupakan permainan puzzle yang menggabungkan matematik dan pemikiran logik, di mana pemain perlu mengikuti corak nombor untuk bergerak dalam grid ke destinasi yang betul. No Turn Left pula menuntut perancangan laluan secara teliti dengan mematuhi sekatan pergerakan. Permainan Mind Reader menggunakan konsep nombor asas dan pola digit seperti modulo untuk meneka nombor pilihan peserta dengan tepat. Selain itu, demonstrasi Mechanical Pulley System menunjukkan bagaimana sistem takal digunakan untuk mengangkat beban dengan daya yang lebih kecil, sekali gus memperkenalkan konsep nisbah, pecahan, keuntungan mekanikal serta pengiraan kerja dan daya.
Sementara itu, reruai Unit STEM RBTK, FKE yang dikendalikan oleh Kelab STEM-RBTK dan International Student Society Central (ISS) menganjurkan simulasi misi “Lautan Bersih”. Dalam aktiviti ini, murid mengawal robot penyelam untuk mengutip tong minyak yang bertebaran di laut. Teknologi yang digunakan membolehkan robot bergerak secara automatik dengan mengesan gerakan fizikal murid menggunakan elemen kecerdasan buatan (AI), selain kawalan motor robot melalui peranti mudah alih. Melalui set TinkerBot dan sistem Tinkercode, murid didedahkan kepada dunia pengaturcaraan moden dengan cara yang menyeronokkan dan kompetitif.


Secara keseluruhannya, penganjuran karnival ini bukan sahaja berjaya memperkenalkan konsep STEM secara lebih dekat kepada murid, malah berperanan sebagai platform awal dalam membentuk generasi yang berfikiran kritis, kreatif dan inovatif. Inisiatif Sekolah Angkat STEM oleh UTM ini diharapkan dapat terus menyemarakkan minat terhadap bidang sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda, seterusnya menyumbang kepada pembangunan bakat masa hadapan negara.
Penulis bersama ChM. Dr. Muhammad Amirul Aizat Mohd Abdah, Pengarah, Karnival STEM “STEM Inspire Starsek x  UTM 2026” Fakulti Sains