KUALA LUMPUR, 15 April – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Kuala Lumpur melalui Seksyen Strategi & Hubungan Luar serta Green Committee terus komited mengukuhkan kedudukan sebagai pelopor agenda kelestarian kampus melalui penganjuran program Green Pep-Talk bertajuk “EV & SDG 13: Memandu Tanpa Asap, Bernafas Tanpa Karbon.” Program yang berlangsung di Bengkel Elektrik, Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) Kuala Lumpur ini berjaya menarik minat warga universiti serta penonton dalam talian.

Penceramah Sr. Gs. Dr. Nur Fadzlina Aini Mohmad Lehan dan moderator Mohd Norazrin Zahrin menyampaikan perkongsiannya

Program ini menampilkan pakar akademik jemputan, Sr. Gs. Dr. Nur Fadzlina Aini Mohmad Lehan, Pensyarah Kanan dari Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Alam Bina, Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), dan dikendalikan oleh moderator Mohd Norazrin Zahrin dari UTM. Kehadiran penceramah bukan sekadar memenuhi slot perkongsian ilmu, malah melambangkan kerjasama strategik antara dua institusi pengajian tinggi dalam berkongsi kepakaran bagi menangani isu perubahan iklim global.

Sinergi antara UTM dan TAR UMT memfokuskan kepada pertukaran ilmu mengenai teknologi kenderaan elektrik (EV) sebagai solusi dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di kawasan bandar. Kerjasama rentas universiti ini dilihat sebagai pemangkin dalam memacu penyelidikan dan kesedaran berkaitan mobiliti hijau, yang merupakan komponen penting dalam mencapai aspirasi negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih.

Dalam sesi perkongsian, Dr. Nur Fadzlina menekankan hubung kait antara penggunaan EV dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 13, Tindakan Iklim. Beliau menjelaskan bahawa peralihan daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV merupakan langkah penting dalam mengurangkan pencemaran udara dan kesan pemanasan global. Selain itu, perbincangan turut menyentuh SDG 7, Tenaga Bersih dan Berpatutan serta SDG 11, Bandar dan Komuniti Mampan yang menekankan keperluan kepada sistem pengangkutan yang lebih bersih dan efisien.

Para peserta yang hadir secara fizikal mendengar perkongsian

Program yang berlangsung secara hibrid ini dihadiri oleh 25 peserta fizikal yang terdiri daripada kakitangan teknikal, penyelidik dan pelajar, khususnya dalam bidang kejuruteraan elektrik. Pada masa yang sama, sebahagian besar audiens mengikuti siaran langsung melalui saluran YouTube Diari Hijau. Sesi dialog berlangsung secara dinamik apabila peserta mengemukakan pelbagai soalan berkaitan kos pemilikan kenderaan elektrik, ketersediaan stesen pengecasan di kampus serta impak kitaran hayat bateri terhadap alam sekitar. Minat tinggi yang ditunjukkan mencerminkan kesediaan warga kampus untuk mengadaptasi teknologi hijau dalam kehidupan seharian.

Turut hadir ialah Ts. Mohd Hazri Ishak, Pengurus Seksyen Strategi & Hubungan Luar dan Norlaili Abdul Jalal, Timbalan Pengurus Hijau, kedua-duanya dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Kuala Lumpur, serta Ahmad Fadhli Mohd Suhaimi, Ketua Unit Kejuruteraan Elektrik PPMU. Kehadiran barisan pengurusan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan setiap inisiatif hijau mendapat sokongan teknikal dan strategik yang sewajarnya.

Program turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube rasmi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Kuala Lumpur iaitu Diari Hijau

Pemilihan lokasi Bengkel Elektrik PPMU Kuala Lumpur memberikan nilai tambah kepada program ini apabila peserta dapat merasai sendiri persekitaran teknikal berkaitan sistem elektrikal, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas mengenai keperluan infrastruktur kenderaan elektrik pada masa hadapan.

Melalui penganjuran program ini, UTM melalui Green Committee Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Kuala Lumpur membuktikan bahawa pendidikan kelestarian tidak terhad kepada dewan kuliah, sebaliknya perlu diperkasa melalui dialog terbuka dan kerjasama strategik dengan rakan industri serta ahli akademik luar seperti TAR UMT. Kejayaan program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif mobiliti hijau yang praktikal di kampus, demi memastikan usaha hari ini mampu membentuk masa depan yang lebih lestari.

Explore More

UTM Open Day