📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menggunakan amalan HEMAH sebagai strategi utama dalam menghadapi cabaran ekonomi global. Amalan ini melibatkan pengurusan perbelanjaan yang strategik, telus dan berimpak tinggi. Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menekankan bahawa prinsip HEMAH perlu dijadikan budaya kerja warga universiti. Pencapaian UTM dalam QS World University Rankings by Subject 2026 juga membuktikan universiti berada di landasan tepat untuk merealisasikan aspirasi UTM ASCEND 2030.
KUALA LUMPUR, 8 April – Amalan HEMAH bakal menjadi strategi utama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam mendepani cabaran ekonomi global yang semakin tidak menentu, termasuk krisis tenaga dan ketegangan geopolitik antarabangsa.
Demikian idea yang dilontarkan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam amanatnya sempena Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) Edisi April 2026 yang berlangsung di UTM Kuala Lumpur, hari ini, melibatkan hampir 4,000 warga kerjanya di ketiga-tiga kampus termasuk Johor Bahru, dan Pagoh.

Beliau menekankan bahawa prinsip HEMAH perlu dijadikan budaya kerja warga universiti dengan memberi fokus kepada pengurusan perbelanjaan secara strategik, telus dan berimpak tinggi.

“Warga universiti perlu sentiasa menghadkan keinginan dengan memberi tumpuan kepada agenda utama serta mengelakkan pembaziran melalui pengoptimuman sumber sedia ada. Setiap tindakan perlu dinilai dari aspek harga dan kualiti bagi memastikan pulangan terbaik kepada organisasi, selain agihan sumber dilaksanakan secara strategik dan terancang,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan ini bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan kewangan universiti, malah memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat maksimum kepada pemegang taruh, selaras dengan tanggungjawab membina legasi institusi yang mampan.

Dalam perkembangan lain, kecemerlangan UTM di pentas akademik global terus diperkukuh apabila tujuh bidang pengajian berjaya menempatkan diri dalam kelompok 100 terbaik dunia menerusi QS World University Rankings by Subject 2026.
Bidang Kejuruteraan Petroleum mencatat lonjakan ke kedudukan ke-36 dunia, manakala Senibina serta Alam Bina berada di tangga ke-50, sekali gus mencerminkan keberkesanan strategi pengurusan sumber yang memberi fokus kepada bidang berimpak tinggi.
Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry berkata pencapaian tersebut membuktikan universiti berada di landasan tepat untuk merealisasikan aspirasi UTM ASCEND 2030, iaitu meletakkan sekurang-kurangnya 10 bidang pengajian dalam kelompok 100 terbaik dunia menjelang 2030.
Dalam masa sama, UTM Kuala Lumpur menjadi hab inovasi global yang menumpukan pembangunan bakat bertaraf dunia serta pengukuhan kerjasama industri-akademia menerusi konsep kampus pintar. Transformasi ini turut melibatkan perubahan minda ke arah pemikiran bertaraf global dan budaya kerja yang lebih inovatif serta dinamik, di samping merapatkan jurang generasi dalam kalangan staf.
Sebagai sebahagian daripada pengoptimuman aset, bangunan Scholar’s Inn di kampus berkenaan akan distruktur semula fungsinya menjadi ruang pensyarah melaksanakan proses penyeliaan pelajar bagi menyokong ekosistem akademik yang lebih kondusif.
Kemuncak majlis menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif strategik warga UTM termasuk ekosistem penyelidikan pintar NexScholar, inovasi tenaga bersih GreenVolt serta Biasiswa ASCEND bernilai RM6 juta untuk 40 pelajar PhD. Turut dilancarkan ialah UTM Carbon Footprint Dashboard yang menjadi inisiatif dalam mengurangkan 30 peratus jejak karbon universiti, selari dengan komitmen terhadap agenda kelestarian.




Selain itu, hampir 20 inovasi kecerdasan buatan (AI) berimpak tinggi dipamerkan merangkumi sektor keselamatan, perubatan dan pertanian, sekali gus memperlihatkan keupayaan UTM dalam menghasilkan penyelesaian yang responsif terhadap keperluan semasa.
Mengulas perkara tersebut, beliau menegaskan pembangunan teknologi di UTM perlu sentiasa berpaksikan nilai adab dan jati diri bagi memastikan manfaatnya bersifat inklusif.
“Kecerdasan buatan bukan sekadar teknologi masa depan, sebaliknya keupayaan masa kini untuk menyelesaikan cabaran sebenar. UTM bukan hanya membangunkan teknologi, tetapi menghasilkan penyelesaian lestari yang memberi nilai kepada manusia, industri dan negara,” katanya.
Pendekatan holistik itu diyakini mampu terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap teknologi global melalui inovasi yang berimpak tinggi dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Pameran inovasi ini menghimpunkan kepakaran penyelidik, pensyarah serta pelajar daripada Pusat Robotik dan Kecerdasan Buatan (CAIRO), Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) dan Fakulti Komputeran UTM, sekali gus memperkukuh ekosistem inovasi universiti yang berteraskan kolaborasi rentas disiplin dan pemindahan teknologi berimpak tinggi.
Antara inovasi yang dipamerkan termasuk Light Weight Deep Learning Model for Indoor Healthcare Monitoring by Mobile Robot, SCADA-i (Supervisory Control and Data Acquisition-Intelligence System), Coral Reef AI Detection from Side Scan Sonar Images, Citizen Sentiment and Public Opinion Perception System (CSPOPS), Plant Disease Detection Using Computer Vision Aided Drone serta Explainable AI Palm Oil Fresh Fruit Bunch (FFB) Ripeness Detection.




