Wacana Intelektual MADANI kupas strategi AI perkukuh sektor pembuatan Malaysia

📝 Ringkasan

Wacana Intelektual MADANI yang dianjurkan oleh UTM telah membincangkan strategi penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk memperkukuh sektor pembuatan Malaysia menjelang tahun 2030. Perbincangan menekankan kepentingan kesiapsiagaan menyeluruh, pengurusan data yang mantap, dan infrastruktur digital yang kukuh sebagai pemangkin transformasi. Kerjasama strategik antara kerajaan, universiti, dan industri serta pembangunan bakat tempatan adalah kunci untuk menjadikan Malaysia bukan sahaja pengguna tetapi juga pencipta penyelesaian AI yang berdaya saing global.

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Profesor telah menganjurkan Wacana Intelektual Madani 2026 Siri 2 bertajuk “Persiapan ke Arah Negara AI 2030: Sektor Pembuatan sebagai Pemangkin” di Menara Razak, UTM Cawangan Kuala Lumpur.

Wacana ini memberi tumpuan kepada peranan sektor pembuatan sebagai medan strategik bagi transformasi kecerdasan buatan (AI). Perbincangan menekankan kepentingan proses operasi yang tersusun, pengurusan data yang bersepadu serta infrastruktur digital yang kukuh bagi menyokong kelestarian, produktiviti dan inovasi sektor tersebut.

Dalam ucapan alu aluan, Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin menegaskan bahawa pembangunan AI dalam sektor pembuatan perlu selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Menurut beliau, pembangunan ini penting bagi membina tenaga kerja berkemahiran tinggi, memperkukuh integrasi teknologi dalam operasi industri serta meningkatkan daya saing sektor pembuatan tempatan di peringkat global.

Prof. Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Wacana Intelektual MADANI 2026 Siri 2

Forum wacana ini menampilkan barisan panel yang berpengalaman dalam bidang masing masing. Antara panel yang terlibat ialah Prof. Emeritus Dr. Awaluddin Mohamed Shaharoun, Profesor Emeritus UTM; Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Profesor Fakulti Kecerdasan Buatan UTM; YBhg. Datuk Haji Khan Mohd Akram Khan, alumni UTM merangkap Pengerusi AGA Group; serta Koo Siang Wooi, pelajar doktor falsafah dalam bidang Kejuruteraan dalam Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan UTM. Forum ini dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nor Zairah Ab. Rahim, Pengurus Pemasaran dan Visibiliti Fakulti Kecerdasan Buatan UTM sebagai moderator.

Barisan panel berkongsi pandangan di Menara Razak, UTM Cawangan Kuala Lumpur

Dalam sesi perbincangan, Prof. Emeritus Dr. Awaluddin menekankan bahawa peralihan sektor pembuatan daripada automasi tradisional kepada ekosistem AI memerlukan tahap kesiapsiagaan yang menyeluruh. Hal ini merangkumi pelaburan yang strategik, pembangunan kompetensi tenaga kerja serta kepimpinan organisasi yang berwawasan. Tanpa kesiapsiagaan tersebut, pelaksanaan AI berisiko menjadi sekadar inisiatif teknologi tanpa memberikan impak produktiviti yang signifikan.

Sementara itu, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin menegaskan bahawa kekuatan data dan infrastruktur digital merupakan asas kritikal bagi pelaksanaan AI dalam sektor pembuatan. Data operasi, log mesin serta aliran proses perlu distrukturkan dan diintegrasikan merentasi pelbagai sistem. Pendekatan ini membolehkan analitik pintar serta pembuatan keputusan masa nyata yang dapat meningkatkan kecekapan dan ketahanan sektor pembuatan.

Prof. Emeritus Dr. Awaluddin Mohamed Shaharoun dan Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin berkongsi pandangan mengenai pembangunan AI dalam sektor pembuatan

Dalam pada itu, Datuk Haji Khan menekankan kepentingan kerangka pengurusan data yang jelas serta kerjasama erat antara kerajaan, universiti dan industri. Bagi sektor pembuatan Malaysia, pembangunan keupayaan domestik dan bakat tempatan amat penting supaya negara tidak hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya turut berperanan sebagai pencipta penyelesaian AI yang relevan dan berdaya saing di peringkat global.

Datuk Haji Khan Mohd Akram Khan berkongsi perspektif industri mengenai pembangunan ekosistem AI dalam sektor pembuatan

Koo Siang Wooi pula menjelaskan bahawa kejayaan pelaksanaan AI dalam sektor pembuatan sangat bergantung kepada kematangan proses dalaman organisasi. Menurut beliau, AI hanya mampu menjadi pemangkin transformasi sekiranya aliran kerja, disiplin pengurusan data dan budaya organisasi menyokong perubahan secara berperingkat. Proses yang mantap, disiplin pengurusan yang konsisten serta kesediaan organisasi untuk berubah merupakan asas penting kepada penggunaan AI yang berkesan dan mampan.

Koo Siang Wooi menjelaskan kepentingan kematangan proses dalaman organisasi dalam menjayakan transformasi AI

Secara keseluruhan, forum ini menegaskan bahawa transformasi AI dalam sektor pembuatan memerlukan pendekatan ekosistem yang menyeluruh. Usaha ini melibatkan pemantapan proses operasi, integrasi data, pengukuhan infrastruktur digital, pembangunan bakat serta kolaborasi strategik antara universiti, industri dan kerajaan. Pendekatan ini diyakini dapat mempercepat integrasi AI dan meningkatkan daya saing sektor pembuatan Malaysia menjelang tahun 2030.

Explore More

UTM Open Day