📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Bahan Makanan kepada Pelajar Berkeluarga UTM sempena bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya. Naib Canselor UTM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Mohd. Shafry bin Mohd. Rahim telah menyempurnakan penyerahan sumbangan secara simbolik kepada 10 wakil pelajar berkeluarga. Seramai 100 orang pelajar berkeluarga telah menerima sumbangan berbentuk beras, minyak masak, gula dan tepung. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan melalui penyediaan barangan keperluan asas dan meningkatkan motivasi dan keyakinan pelajar dalam meneruskan pengajian.
JOHOR BAHRU, 17 Mac – Prihatin terhadap cabaran kos sara hidup yang dihadapi pelajar berkeluarga, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmennya dalam menjaga kebajikan mahasiswa melalui penganjuran Majlis Penyerahan Sumbangan Bahan Makanan kepada Pelajar Berkeluarga UTM yang berlangsung di Kolej Perdana, UTM Johor Bahru, sempena bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim, yang turut menyempurnakan penyerahan sumbangan secara simbolik kepada 10 wakil pelajar berkeluarga.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa UTM sentiasa komited memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara dan tiada yang tercicir daripada menerima sokongan sewajarnya.
“Universiti bukan sahaja bertanggungjawab menyediakan pendidikan berkualiti, malah turut memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan pelajar, termasuk pelajar berkeluarga dan pelajar antarabangsa, sentiasa diberi perhatian.” – Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBrs. Profesor Ts. Dr. Ali Selamat, bersama barisan Pengarah, Pengetua Kolej Kediaman, Pegawai Kanan Universiti dan para pelajar. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh ChM. Dr. Mohd. Akmali Mokhter, diikuti ucapan oleh Timbalan Naib Canselor yang menekankan peranan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) sebagai pemacu utama dalam memastikan kesejahteraan pelajar sentiasa diutamakan, di samping menyediakan sokongan berterusan kepada pelajar berkeluarga dan pelajar antarabangsa.

Program ini merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2022, sebagai manifestasi keprihatinan universiti terhadap pelajar berkeluarga yang berhadapan dengan cabaran ekonomi semasa. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan melalui penyediaan barangan keperluan asas, malah turut menjadi suntikan semangat kepada pelajar untuk terus fokus dalam pengajian.

Seramai 100 orang pelajar berkeluarga telah menerima sumbangan berbentuk 5 kilogram beras, minyak masak, gula dan tepung, yang diharap dapat membantu menampung keperluan harian keluarga mereka. Sumbangan ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi material, malah turut meningkatkan motivasi dan keyakinan pelajar dalam meneruskan pengajian dengan lebih tenang dan terancang.
Inisiatif ini selaras dengan agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menekankan aspek kesejahteraan pelajar sebagai keutamaan dalam ekosistem pendidikan tinggi. Pendekatan yang inklusif ini memastikan tiada golongan yang terpinggir, termasuk pelajar berkeluarga dan pelajar antarabangsa, sejajar dengan aspirasi untuk membina persekitaran pembelajaran yang sejahtera, inklusif dan kondusif.
Diharapkan usaha berterusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ini akan terus memperkukuh ekosistem sokongan di UTM, seterusnya memberi impak positif kepada kesejahteraan pelajar secara menyeluruh, selari dengan agenda nasional dalam memperkasa pendidikan tinggi negara. Inisiatif ini turut mencerminkan penghayatan moto UTM, “Kerana Tuhan untuk Manusia”, dalam menyantuni dan menjaga kebajikan seluruh warga kampus tanpa mengira latar belakang.