Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar dilantik sebagai Profesor Madya Pelawat Universiti Brunei Darussalam

📝 Ringkasan

Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilantik sebagai Profesor Madya Pelawat di Universiti Brunei Darussalam (UBD) selama enam bulan. Pelantikan ini mengiktiraf kepakarannya dalam Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (ARPEL). Beliau akan melaksanakan pelbagai aktiviti akademik termasuk bengkel, mengajar modul, dan mengendalikan sesi konsultasi untuk memperkukuh perkongsian ilmu dan kolaborasi antara kedua-dua universiti.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi pelantikan Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat sebagai Profesor Madya Pelawat di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Pelantikan tersebut adalah bagi tempoh enam bulan, bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Julai 2026, dan beliau akan ditempatkan di Centre for Lifelong Learning (C3L). Pelantikan ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran beliau dalam bidang Pembelajaran Sepanjang Hayat serta Akreditasi dan Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu yang turut dikenali sebagai APEL atau ARPEL.

Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar bersama Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Dr. Hazri Kifle

Sepanjang tempoh mobiliti staf ini, beliau akan melaksanakan pelbagai aktiviti akademik dan profesional berimpak tinggi yang selaras dengan agenda pengantarabangsaan UTM serta aspirasi pendidikan fleksibel di peringkat serantau.

Antara aktiviti utama yang akan dilaksanakan termasuk penganjuran enam bengkel Popular Lifelong Learning (PoLL) dalam tempoh dua hari bagi setiap bengkel. Bengkel tersebut akan memfokuskan kepada penyelidikan dan dasar berkaitan Accreditation and Recognition of Prior Experiential Learning (ARPEL), merangkumi aspek pembangunan polisi, jaminan kualiti, penilaian kompetensi serta pelaksanaan sistem pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman kerja. Program ini dijangka memberi manfaat kepada pengamal akademik, pentadbir universiti, pembuat dasar dan pemain industri di Brunei Darussalam.

Selain itu, beliau turut akan mengajar dua modul bernilai empat kredit (4-MC) dengan jumlah keseluruhan 112 jam pengajaran. Modul berkenaan dijangka melibatkan satu kursus di bawah fakulti berkaitan dan satu lagi di C3L, dengan penekanan terhadap pendekatan Competency-Based Education (CBE), reka bentuk kurikulum fleksibel serta pelaksanaan Recognition of Prior Learning (RPL) dalam konteks pendidikan tinggi. Penglibatan ini bukan sahaja memperkukuh perkongsian ilmu antara UTM dan UBD, malah membuka ruang kolaborasi penyelidikan dan penerbitan bersama.

Sebagai sebahagian daripada sumbangan kepakaran beliau, Dr. Asnul Dahar juga akan mengendalikan ARPEL Clinics, iaitu sesi konsultasi berstruktur bagi membantu institusi dan individu memahami proses dokumentasi, pemetaan kompetensi serta pembangunan portfolio untuk tujuan pengiktirafan akademik. Di samping itu, beliau akan terlibat dalam pelaksanaan ARPEL-A Pilot, satu inisiatif perintis yang bertujuan menguji dan menambah baik model pelaksanaan ARPEL di UBD.

Program mobiliti ini sejajar dengan komitmen UTM dalam memperluas pengaruh global serta mempromosikan kepakaran universiti dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembelajaran dewasa dan pembelajaran sepanjang hayat. Kolaborasi ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG 4, yang menekankan akses kepada pendidikan berkualiti dan inklusif untuk semua.

Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar bersama Naib Canselor UBD serta Timbalan Pengarah, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat UBD, Nik Anni @ Nik Ani Afiqah Haji Mohamad Tuah, selepas sesi melapor diri

Pelantikan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara UTM dan UBD, khususnya dalam pembangunan ekosistem pendidikan fleksibel serta pengiktirafan pembelajaran tidak formal. Ia juga menjadi platform penting untuk pertukaran amalan terbaik, pembangunan kapasiti staf akademik serta pengembangan jaringan serantau dalam bidang pembelajaran sepanjang hayat.

Dengan pengalaman luas dalam bidang APEL dan pendidikan berasaskan kompetensi, kehadiran beliau di UBD diyakini akan memberi impak signifikan terhadap pembangunan dasar dan amalan pembelajaran sepanjang hayat di Brunei Darussalam serta rantau ini secara keseluruhan.

Explore More

UTM Open Day