📝 Ringkasan
Berikut adalah ringkasan artikel tersebut dalam 2-3 ayat dalam Bahasa Melayu:
Artikel ini mengaitkan simbolik matematik pi (π) dengan konsep harapan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Lingkaran di kampus dan logo UTM yang berbentuk bulatan melambangkan kesinambungan ilmu yang tidak berpenghujung, di mana setiap perubahan membawa aturan dan keyakinan untuk masa depan. Seperti π yang konsisten walaupun tidak berulang, ilmu di universiti kekal menjadi pemalar yang memberi harapan kepada setiap generasi mahasiswa.
Dalam peta Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bulatan besar yang mengelilingi Jalan Amal boleh ditafsirkan sebagai lambang matematik yang hidup. Lingkaran itu bukan sekadar elemen geometri pada pelan kampus, tetapi simbol yang boleh dikaitkan dengan nilai π (pi) serta tema Hari Pi (π) 2026 yang disambut pada 14-3-2026, Mathematics and Hope atau dalam bahasa Melayu, Matematik dan Harapan.
Setiap bulatan, sama ada sekecil syiling atau sebesar lingkaran Jalan Amal di kampus induk UTM, berkongsi satu sifat yang tidak berubah, iaitu nisbah antara lilitan dan diameternya tetap 3.14159…, iaitu nilai π. Nilai ini tidak pernah berakhir dan digitnya tidak berulang, namun tetap konsisten. Di sinilah tersiratnya makna harapan. Walaupun dunia sentiasa berubah dan laluan hidup mahasiswa berbeza-beza yang mana ada yang turun di BUS A, ada yang menuju ke Fakulti Kejuruteraan Elektrik, ada yang melangkah ke Balai Cerap, ada juga yang mencari makan tengah hari di Arked Meranti, tetap wujud satu pemalar dalam perjalanan itu, iaitu ilmu.
Seperti π, ilmu sentiasa ada untuk dipegang, dikongsi, diaplikasikan dan disebarkan. Ia sentiasa berkembang dan bertambah dari semasa ke semasa, namun asasnya tetap kukuh. Ilmu membantu membuat keputusan, memberi keyakinan ketika ragu, dan menjadi panduan apabila arah kelihatan samar. Matematik mengajar bahawa dalam perubahan sentiasa ada aturan, dan daripada aturan itu lahir keyakinan bahawa masa depan boleh dirancang serta dibina dengan usaha, pengetahuan, adab dan amalan.

Lingkaran yang mengelilingi pusat kampus menempatkan masjid, padang, perpustakaan dan pelbagai fakulti, menjadi pusat pergerakan bas dan mahasiswa setiap hari. Bulatan ini melambangkan kesatuan dan kitaran kehidupan yang tidak mempunyai titik hujung mutlak. Sama seperti π yang tidak berpenghujung, proses pembelajaran juga tidak pernah benar-benar selesai. Mahasiswa memasuki kampus melalui Jalan Universiti, mengelilingi Lingkaran Ilmu, melalui Jalan Amal, dan akhirnya keluar membawa harapan untuk masa depan. Dalam matematik, setiap bulatan mempunyai pusat yang memastikan keseluruhan bentuk kekal stabil. Dalam konteks pendidikan, pusat itu ialah nilai, integriti dan tujuan hidup yang memandu perjalanan menuntut ilmu.
Tema Mathematics and Hope dapat difahami melalui sifat π itu sendiri. Walaupun π tidak berpenghujung, ia tetap mempunyai ketetapan yang boleh dipercayai. Digitnya berterusan tanpa henti, namun nilainya konsisten dan stabil. Daripada sinilah muncul makna harapan iaitu dunia bukan sesuatu yang rawak sepenuhnya. Dalam kehidupan, ada struktur dan hukum yang boleh difahami. Walaupun manusia belum mengetahui semua digit π, mereka tetap mampu menggunakannya untuk membina jambatan, mengira orbit planet, membangunkan teknologi dan merancang masa depan. Harapan dalam matematik bukan kerana semuanya telah diketahui, tetapi kerana wujud prinsip yang boleh dijadikan sandaran ketika berhadapan dengan ketidakpastian.
Logo Universiti Teknologi Malaysia yang berbentuk bulatan juga memperkukuh simbolisme ini. Dalam matematik, bulatan ialah bentuk yang paling simetri kerana semua titik pada lilitannya berada pada jarak yang sama daripada pusat. Setiap pengiraan lilitan dan luas bergantung pada π. Tanpa π, bulatan tidak dapat dihitung dengan tepat, dan tanpa pusat, ia tidak akan stabil. Hal ini amat simbolik dalam dunia pendidikan. Moto UTM, “Kerana Tuhan untuk Manusia”, boleh diibaratkan sebagai pusat kepada bulatan tersebut. Nilai dan pegangan inilah yang menjadi asas, manakala komuniti ilmu yang terdiri daripada mahasiswa, pensyarah dan warga kampus ibarat lilitan yang mengelilinginya, bergerak bersama dalam sistem yang tersusun dan bermakna.

π mempunyai sifat yang unik iaitu tidak berpenghujung, tidak berulang, namun tetap konsisten. Begitu juga universiti. Setiap kohort mahasiswa datang dan pergi, dan setiap generasi membawa latar belakang dan pengalaman yang berbeza-beza, tetapi universiti kekal sebagai pemalar. Dalam konteks Mathematics and Hope, bulatan melambangkan kesinambungan, π melambangkan ketekalan dalam sesuatu yang tidak berpenghujung, dan pendidikan melambangkan harapan yang berterusan dari satu generasi ke generasi yang lain. Harapan bukan sesuatu yang statik atau berhenti pada satu titik. Sebaliknya, ia bergerak dalam kitaran, berkembang dan bertambah, seperti digit π yang terus memanjang tanpa henti.

Lingkaran Ilmu dan logo UTM yang berbentuk bulatan akhirnya menjadi metafora yang indah tentang matematik dan kehidupan. Dalam setiap bulatan terkandung nilai π, pemalar yang tidak pernah tamat tetapi sentiasa stabil. Begitu juga perjalanan ilmu di universiti ini yang tidak pernah benar-benar selesai. Setiap graduan yang melangkah keluar membawa bersama ilmu dan harapan, dan proses itu bersambung dari satu generasi ke generasi seterusnya. Matematik mengingatkan kita bahawa walaupun masa depan belum diketahui sepenuhnya, ia tetap boleh difahami, dirancang dan dibentuk melalui ilmu, usaha dan nilai yang kukuh.
Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia