Membentuk disiplin ruang ke arah budaya kerja bertaraf global menerusi Issei Seisou Day

📝 Ringkasan

Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) menganjurkan Hari Issei Seisou untuk membentuk disiplin ruang dan budaya kerja bertaraf global. Konsep Jepun ini menekankan pembersihan ruang secara menyeluruh sebagai latihan disiplin kendiri, membentuk karakter, dan memupuk semangat kerjasama serta tanggungjawab bersama. Aktiviti ini menunjukkan bahawa kebersihan dan keteraturan fizikal mencerminkan disiplin intelektual dan menyumbang kepada tadbir urus institusi yang berintegriti, profesional, dan berdaya saing di peringkat global.

Dalam landskap pendidikan tinggi global yang semakin kompetitif, perbincangan tentang kecemerlangan lazimnya tertumpu kepada ranking universiti, penerbitan berimpak tinggi, dana penyelidikan, atau kebolehpasaran graduan. Namun, jarang sekali dibincangkan bahawa asas kepada semua pencapaian tersebut bermula daripada budaya kerja harian yang kelihatan kecil tetapi membentuk rutin disiplin secara kolektif bagi sesebuah organisasi.

Pada 13 Februari 2026, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) menganjurkan Genki Charge 2026 – Issei Seisou Day. Dari luar, ia mungkin kelihatan seperti aktiviti gotong-royong biasa. Namun, dari perspektif falsafah pengurusan Jepun, program ini membawa makna yang jauh lebih mendalam.

Konsep Issei Seisou berasal daripada budaya Jepun yang menekankan amalan membersihkan ruang secara serentak dan menyeluruh sebagai latihan disiplin kendiri. Ia bukan sekadar gotong-royong, tetapi latihan pembentukan karakter dan sahsiah individu yang terlibat. Dalam falsafah pengurusan Jepun, kebersihan di pejabat bukan hanya tanggungjawab pekerja tertentu seperti kakitangan pembersihan, tetapi tanggungjawab bersama. Masyarakat Jepun percaya bahawa persekitaran yang bersih dan selesa akan melahirkan pemikiran yang teratur dan jelas. Ruang yang bersih juga membina budaya hormat terhadap tempat kerja, memupuk semangat bertimbang rasa dan prihatin terhadap rakan sekerja, serta mengambil kira keselesaan dan kepentingan orang lain sebelum bertindak.

Aktiviti sebegini bukan sahaja menjadikan kebersihan sebagai rutin bermusim, tetapi sebagai ritual organisasi yang turut membina identiti diri. Semangat “genki”, yang bermaksud bertenaga dan bersemangat, diterjemahkan dalam tindakan kolektif, di mana setiap ruang, dari pejabat, bilik mesyuarat, ruang simpanan sehingga sudut yang sering terlepas pandang, diberi perhatian.

Namun, nilai sebenar Issei Seisou bukan terletak pada hasil fizikal semata-mata. Ia membawa mesej simbolik bahawa tiada siapa terlalu tinggi kedudukannya untuk menggunakan penyapu dan mengelap habuk, dan tiada tugas terlalu kecil untuk dilakukan bersama. Dalam konteks MJIIT yang menggabungkan identiti Malaysia–Japan, pendekatan ini selari dengan prinsip kaizen, iaitu penambahbaikan berterusan melalui tindakan kecil yang konsisten.

Setiap organisasi menekankan nilai ketepatan, budaya kerja yang bersistematik, dan profesionalisme dalam pengajaran serta penyelidikan. Namun, budaya organisasi yang cemerlang tidak terbina sekadar melalui perancangan strategik semata-mata. Ia terbentuk melalui amalan harian yang dipupuk secara sedar dan konsisten, di mana Issei Seisou mengingatkan bahawa disiplin ruang fizikal adalah refleksi disiplin intelektual.

Persekitaran yang bersih dan tersusun membantu meminimumkan risiko kesilapan, meningkatkan kecekapan operasi, serta menggalakkan pemikiran yang lebih teratur. Dalam konteks UTM yang beraspirasi global, aspek ini bukan sekadar simbolik tetapi menyumbang kepada tadbir urus institusi yang lebih berintegriti.

Program ini juga menggalakkan interaksi antara unit dan semangat kebersamaan dalam kalangan staf akademik dan Staf Pengurusan Profesional dan Pelaksana (PPP). Dalam kesibukan rutin akademik dan pentadbiran, program sebegini membuka ruang untuk memperkukuh hubungan profesional dan membina rasa memiliki terhadap universiti secara keseluruhan.

Di peringkat strategik, program ini menyampaikan mesej kepimpinan, di mana organisasi yang ingin melahirkan staf bertaraf global mesti terlebih dahulu menunjukkan contoh kepimpinan melalui budaya kerja yang teratur, berstruktur, dan berintegriti. Kebersihan dan keteraturan bukan sekadar isu kosmetik kerana ia asas kepada pengurusan risiko, keselamatan, dan kecekapan operasi.

Budaya seumpama ini tidak dibina melalui slogan atau perancangan strategik sahaja, tetapi melalui tindakan yang diulang secara konsisten. Dalam dunia yang semakin kompleks, keupayaan membina disiplin, saling menghormati, dan tanggungjawab bersama merupakan kelebihan strategik yang tidak dapat diukur melalui angka Penunjuk Prestasi Utama (KPI) semata-mata.

Aktiviti yang bermula dengan satu penyapu dan kain lap mencerminkan prinsip lebih besar bahawa kejuruteraan bukan hanya tentang sistem dan struktur, tetapi juga tentang manusia yang membentuk budaya kerja bertaraf global.

Lebih daripada itu, Genki Charge 2026 – Issei Seisou Day menunjukkan bahawa pembinaan budaya organisasi yang cemerlang adalah proses berterusan yang memerlukan penglibatan setiap ahli komuniti. Ia mengingatkan bahawa pencapaian akademik, penyelidikan berimpak tinggi, dan keunggulan universiti tidak boleh dipisahkan daripada disiplin harian dan nilai-nilai yang dipupuk secara konsisten. Program sebegini bukan sahaja memperkukuh disiplin individu, tetapi juga menyemai semangat kolektif yang membentuk identiti institusi yang kukuh, profesional, dan berdaya saing di peringkat global.

Ia turut menghubungkan tindakan harian yang sederhana dengan visi strategik yang lebih besar, menekankan bahawa kejayaan sejati organisasi bergantung kepada gabungan budaya kerja yang positif, kesedaran terhadap persekitaran, dan tanggungjawab bersama dalam setiap aspek operasi. Melalui pengamalan prinsip ini, MJIIT dan UTM menunjukkan bahawa transformasi organisasi bukan sekadar tentang sistem dan struktur, tetapi juga tentang pembangunan manusia yang membentuk budaya kerja berimpak tinggi dan lestari.

Oleh Prof. Madya EUR. ING. Ts. Ir. Dr. Syuhaida Ismaildan Siti Nor Yusma Mohd Yusof

Explore More

UTM Open Day