📝 Ringkasan
Lapan mahasiswa UTM dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) berjaya menerbitkan empat makalah matematik peringkat kebangsaan. Makalah-makalah ini membincangkan aplikasi elemen merentas kurikulum dalam matematik, sumbangan tokoh matematik seperti Al-Khawarizmi dan Newton, serta evolusi sistem koordinat. Pencapaian ini menunjukkan keupayaan mahasiswa dalam mengolah idea matematik dan mengaitkannya dengan konteks semasa.
Semester I Sesi 2025/2026 meninggalkan kenangan manis buat lapan orang mahasiswa tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila kesemua mereka berjaya menerbitkan empat makalah dalam majalah akademik peringkat kebangsaan.
Lapan mahasiswa tersebut ialah Ahmad Mustaqim Mohd Nazar, Yap Yi En, Syazana Najlaa Mohamad Sharip, Dayana Batrisya Amriza, Lam Ken Ping, Perlalina Tipong Anak Ubang, Lim Jia Ying dan Nur Syafiqah Mohd Hafizulrahman. Makalah yang dihasilkan merupakan tugasan bagi kursus SHPM2312 – Kaedah Pengajaran Dalam Matematik (Teaching Methods in Mathematics). Dalam tugasan tersebut, pelajar dikehendaki membincangkan aspek matematik yang boleh diterapkan sebagai Elemen Merentas Kurikulum (EMK) dalam kelas matematik.
Antara tema yang diberikan ialah teorem, konsep atau formula matematik yang mengubah dunia hingga kini serta sumbangan tokoh matematik terdahulu terhadap perkembangan pendidikan matematik. Bagi tugasan ini, penulis selaku pensyarah kursus menetapkan supaya pelajar menggunakan hanya dua arahan (prompt) daripada mana-mana teknologi kecerdasan buatan (AI), yang perlu disertakan dalam bentuk tangkap layar, serta menjelaskan bagaimana output janaan tersebut dimanfaatkan dalam penulisan artikel. Pelajar juga dikehendaki merujuk artikel jurnal dan menghuraikan bagaimana maklumat daripada artikel tersebut memperkaya kandungan penulisan. Jika perlu, sumber data yang digunakan hendaklah disenaraikan pada bahagian bibliografi.
Artikel pertama dihasilkan oleh Ahmad Mustaqim Mohd Nazar dan Yap Yi En bertajuk Teorem Pythagoras: Lebih Dari Sekadar a² + b² = c² yang disiarkan dalam Majalah Sains pada November 2025. Artikel tersebut membincangkan Teorem Pythagoras yang sering dikenali melalui persamaan a² + b² = c², namun menegaskan bahawa kepentingannya jauh melangkaui sekadar formula matematik dalam buku teks. Penulisan tersebut menghuraikan bagaimana teorem ini menjadi asas dalam memahami hubungan antara sisi-sisi segi tiga bersudut tepat serta membentuk landasan kepada perkembangan konsep geometri dan pengukuran jarak. Selain menjelaskan latar sejarah dan sumbangan Pythagoras dalam tradisi matematik Yunani, artikel itu turut menunjukkan bahawa idea yang terkandung dalam teorem ini telah digunakan oleh tamadun awal sebelum beliau. Hal ini memperlihatkan bahawa matematik berkembang secara kumulatif melalui pelbagai peradaban manusia. Artikel tersebut juga menerangkan aplikasi Teorem Pythagoras dalam kehidupan sebenar.
Artikel kedua ditulis oleh Syazana Najlaa Mohamad Sharip dan Dayana Batrisya Amriza bertajuk Warisan Abadi Al-Khawarizmi Dalam Dunia Matematik yang diterbitkan dalam Dewan Kosmik (Dewan Bahasa dan Pustaka) edisi Februari 2026. Artikel tersebut membincangkan sumbangan besar Muhammad ibn Musa al-Khawarizmi dalam membentuk asas matematik moden serta pengaruhnya terhadap sistem pendidikan masa kini. Penulisan ini menonjolkan peranan Al-Khawarizmi sebagai tokoh utama Zaman Keemasan Islam yang bukan sahaja mengembangkan ilmu matematik, malah mengaitkannya dengan aplikasi kehidupan sebenar. Artikel tersebut menjelaskan bagaimana karya agung beliau, Al-Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal-Muqabala, menjadi titik permulaan kepada perkembangan algebra sebagai cabang ilmu yang tersusun dan sistematik. Melalui pendekatan pengimbangan dalam penyelesaian persamaan linear dan kuadratik, beliau memperkenalkan kaedah yang lebih teratur berbanding amalan aritmetik sebelumnya. Prinsip ini kemudiannya menjadi asas kepada pengajaran algebra dalam kurikulum sekolah menengah hari ini. Selain itu, artikel berkenaan turut menghuraikan peranan Al-Khawarizmi dalam memperkenalkan sistem nombor Hindu-Arab termasuk konsep sifar dan sistem perpuluhan. Sistem ini menggantikan sistem nombor Rom yang kurang efisien serta memudahkan operasi pengiraan, perdagangan dan pembangunan teknologi moden.
Artikel ketiga ditulis oleh Lam Ken Ping dan Perlalina Tipong Anak Ubang bertajuk Kalkulus Newton Mengubah Dunia Pendidikan Matematik yang diterbitkan dalam Dewan Kosmik (Dewan Bahasa dan Pustaka) edisi Mac 2026. Artikel tersebut membincangkan kehidupan dan sumbangan Sir Isaac Newton, khususnya dalam bidang kalkulus, serta bagaimana penemuannya mengubah landskap pendidikan matematik hingga ke hari ini. Makalah ini menelusuri latar belakang Newton sejak kecil, perjalanan pendidikannya di Trinity College, serta pengaruh pembacaan dan penerokaan intelektual yang membentuk pemikiran saintifiknya. Selain menyentuh sumbangan dalam bidang optik dan mekanik seperti teleskop pemantul, teori cahaya, tiga hukum gerakan dan hukum kegravitian semesta, penulisan ini memberi penekanan khusus kepada kalkulus sebagai pencapaian terbesarnya. Newton memperkenalkan konsep pembezaan dan pengamiran melalui kaedah fluxions dan fluents, yang kemudiannya dikenali sebagai Teorem Asas Kalkulus. Konsep ini membolehkan manusia memahami kadar perubahan, gerakan, luas dan pelbagai fenomena fizikal secara sistematik. Aplikasi kalkulus kini meluas dalam bidang kejuruteraan, ekonomi, sains komputer, perubatan dan teknologi moden. Artikel ini turut menjelaskan bagaimana pendekatan inkuiri, ketekunan dan rasa ingin tahu Newton menjadi inspirasi kepada pendidikan matematik moden.
Artikel keempat ditulis oleh Lim Jia Ying dan Nur Syafiqah Mohd Hafizulrahman bertajuk Evolusi Sistem Koordinat yang Mengubah Dunia yang diterbitkan dalam Dewan Kosmik (Dewan Bahasa dan Pustaka) edisi Mac 2026. Artikel tersebut membincangkan evolusi sistem koordinat daripada konsep geometri yang diperkenalkan oleh René Descartes kepada asas penting dalam dunia digital dan teknologi moden masa kini. Penulisan ini menjelaskan bagaimana sistem koordinat pada asalnya berfungsi sebagai jambatan antara algebra dan geometri sebelum berkembang menjadi kerangka utama dalam pemetaan, perancangan bandar dan pembangunan infrastruktur. Konsep paksi-x, paksi-y serta titik asal dihuraikan bersama formula jarak dan titik tengah yang menjadi asas pembelajaran matematik di sekolah. Artikel ini turut menerangkan peranan sistem koordinat dalam teknologi moden seperti GPS yang menggunakan prinsip trilaterasi untuk menentukan lokasi melalui lintang dan bujur. Selain itu, aplikasi dalam bidang kejuruteraan, seni bina dan reka bentuk digital seperti AutoCAD, SketchUp, Photoshop dan Illustrator menunjukkan bagaimana setiap titik dan objek ditentukan melalui nilai koordinat dua dan tiga dimensi.
Kesimpulannya, pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan mereka menulis secara akademik, malah memperlihatkan kematangan dalam mengolah idea matematik, mengaitkannya dengan konteks semasa serta menyampaikannya kepada masyarakat yang lebih luas. Setiap makalah yang diterbitkan menjadi jejak awal perjalanan mereka sebagai bakal pendidik dan ilmuwan, yang bukan sekadar mengajarkan formula, tetapi menyebarkan kefahaman dan inspirasi.
Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia