February 9, 2026

📝 Ringkasan

Mahasiswa UTM dianjurkan untuk tidak lupa dari mana mereka bermula dan sentiasa berusaha mencari ilmu yang tidak pernah habis. Kampus UTM adalah tempat yang indah dengan kepelbagaian fakulti yang saling bergantung, memberikan peluang kepada mahasiswa mengembangkan kepakaran disiplin, cara berfikir, dan identiti profesional masing-masing.

Duhai mahasiswa, andai kamu lelah dan gusar, pandanglah sekeliling kampus yang indah dan terbentang luas ini. Lihatlah ketenangan Tasik Ilmu yang tenang lagi menenangkan setiap insan yang datang menjengah. Namun, setenang-tenang permukaannya, di dasarnya wujud kehidupan yang saling bergantung sebagai satu kitaran. Maka jadilah insan yang tenang, namun kental jasadnya, tebal ilmunya, dan berakar adab serta pekerti mulia dalam diri. Berbuat baiklah sesama insan dan saling menguatkan dalam kebaikan. Permukaan tasik yang tenang sering memantulkan bayangan. Ilmu bukan sekadar mengisi minda, tetapi mengubah cara anda membuat refleksi untuk melihat diri. Tasik juga akan melimpah andai hujan turun tanpa henti. Ia tidak meminta hujan berhenti, tapi ia hanya memerlukan saluran. Seperti kalian juga. Kamu perlukan masa untuk berehat dan menenangkan minda. Itu bukan tanda mengurangkan ilmu dan adab, tetapi ruang untuk bernafas, berkongsi, dan bermuhasabah diri.

Di puncak sana berdiri teguh sang balai cerap, titik tertinggi di kampus induk UTM. Andai lelah, berjalanlah menuju ke puncaknya. Kata orang, universiti itu ibarat menara gading. Benarlah bidalan itu, kerana untuk sampai ke puncak balai cerap, jalannya bukan jalan pintas, sebaliknya berliku dan mencabar. Itulah pengorbanan seorang mahasiswa dalam perjalanan menuju destinasi. Terkadang terserempak dengan sekawan monyet, usah panik. Biarkan sahaja selagi tidak mengganggu. Kehidupan sebagai mahasiswa sememangnya tidak terlepas daripada cabaran. Yang penting, kekal tenang dan tempuhilah dengan sabar. Sesungguhnya, di situlah terbina ketahanan dan identiti yang berpanjangan, melangkaui tempoh pengajian di universiti. Dari balai cerap, lihatlah kampus yang indah ini. Walaupun kedudukan balai cerap yang terpencil, ia tetap teguh di situ. Itulah simbol kerendahan hati seorang ilmuan. Semakin kamu jauh seseorang memerhati alam, semakin jelas betapa kecilnya diri. Ilmu yang benar tidak menjadikan kamu angkuh, tetapi lebih sedar tentang apa yang belum diketahui. Siapalah kita yang ilmunya hanyalah setitik air di tengah lautan yang besar, berbanding ilmu Allah SWT yang seluas lautan yang tidak bertepian.

Dari puncak balai cerap, terbentang luas kampus UTM dengan keindahan warna rasminya, merah pulasan (maroon) yang indah, gabungan dua warna utama. Kehidupan mahasiswa ibarat fasa peralihan kematangan, iaitu tempoh bergerak daripada kebergantungan kepada keupayaan membuat keputusan sendiri. Nikmatilah fasa ini dan simpanlah dalam kotak memori untuk diceritakan kepada anak-anak dan cucu cicit tentang kehebatan universiti sanjungan bangsa ini. Ia melambangkan fasa kematangan yang sarat dengan tanggungjawab, tekanan, dan aspirasi, serta mencerminkan usaha menyeimbangkan tuntutan akademik dengan pembangunan kendiri. Merah pulasan tidak seterang warna primer. Ia terbentuk daripada campuran dan lapisan. Ia ibarat identiti kamu yang dibina melalui pengalaman, kegagalan, kejayaan, pertemuan disiplin, dan refleksi diri. Identiti intelektual tidak diberikan seawal pada hari pendaftaran, tetapi dibentuk sepanjang pengajian. Ingatlah ayat al-Quran di pintu gerbang kampus yang sentiasa mengalu-alukan warganya: “Dan katakanlah, Ya Allah, tambahkanlah ilmuku” (Taha 20:114). Sematkanlah di dada dan tanamkan azam yang kukuh, seteguh pintu gerbang yang berdiri megah merentas generasi.

Andai anda sudah sampai di puncak, jangan sesekali lupa dari mana anda bermula. Sesekali turunlah ke bawah, mengelilingi kampus yang terbentang luas. Namun, tiada makna keluasan andai tiada isi. Ibarat jasad yang kaku tanpa ilmu, kemahiran, dan adab. Seperti kehidupan yang penuh warna-warni, ada suka dan duka, ada saat di puncak dan ada kala terjatuh ke dasar. Kampus nan luas ini diserikan dengan bangunan-bangunan fakulti yang indah. Setiap fakulti merupakan medan untuk anda mengembangkan kepakaran disiplin, cara berfikir, dan identiti profesional masing-masing, sebagaimana ekosistem kehidupan yang saling bergantung. Kepelbagaian fakulti ini ibarat rimbu ilmu dengan spesies berbeza. Ada yang tumbuh tinggi seperti sains, teknologi dan kejuruteraan, ada yang berakar kuat seperti sains sosial, kemanusiaan, dan ada yang berbunga makna seperti pendidikan dan bahasa. Rimba ini tidak hidup dengan satu jenis pokok sahaja. Kekuatan universiti terletak pada kepelbagaian yang saling bergantung. Andai kamu menelusuri fakulti, hormatilah setiap sosok yang berada di dalamnya. Walaupun mereka bukan kamu kenali, merekalah yang menjadikan kampus ini terus lestari dan tersohor di peta global dalam melahirkan modal insan yang boleh kembali berbakti kepada masyarakat dan negara.

Setiap bangunan fakulti, perpustakaan, masjid, dan bangunan lain merupakan komponen dalam ekosistem pembelajaran universiti yang menyediakan sumber, sokongan, dan persekitaran khusus demi kejayaan anda semua. Simbiosisnya melahirkan graduan yang holistik, yang bukan sahaja cemerlang akademiknya, namun indah adab dan pekertinya, hebat kemahirannya, demi memenuhi pasaran kerja. Fakulti ialah medan perjuangan yang dititiskan keringat, perpustakaan ibarat perigi ilmu yang airnya sudah ada, tinggal kamu yang menarik airnya yang segar dengan gayung akalmu, masjid tempat menyuntik jiwa dan rohani dengan Sang Pencipta, dan kolej kediaman untuk anda melepaskan lelah dan berkawan dengan para penghuninya.

Akhirnya, tatkala anda melangkah meninggalkan kampus ini, hayatilah ayat “Darjat seseorang adalah menurut usahanya” yang terpapar di pintu gerbang keluar. Ibarat masuk ke kampus dahaga ilmu, dan keluar walapun dahaga sudah hilang, teruskanlah berusaha mencari ilmu yang tidak pernah habis. Hakikatnya, kehidupan di kampus ini hanyalah satu bab dalam buku cerita hidup anda. Selebihnya, teruskan berusaha dan jadilah insan yang hidupnya ibarat resmi padi, makin tunduk makin berisi. Jadilah hamba-Nya yang memberi manfaat kepada semua, seiring moto keramat, Kerana Tuhan untuk Manusia, kerana dunia ini adalah ladang untuk kita semai benih-benih kebaikan, untuk dituai di alam sana yang kekal abadi.

 

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia

Explore More

UTM Open Day