UTM & PKAIJB perkasa inklusiviti komuniti neurodiversiti melalui i-NICE 2025

JOHOR BAHRU, 7 Dis – Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Persatuan Kanak-kanak Autistik Islam Johor Bahru (PKAIJB) sebagai penganjur utama, telah melakar sejarah tersendiri melalui penganjuran program Inclusive Neurodiversity Innovation & Community Engagement (i-NICE 2025). Program yang berlangsung meriah di Toppen Shopping Centre ini menjadi platform strategik yang menggabungkan kepakaran akademik, pengalaman pertubuhan bukan kerajaan, dan keupayaan industri dalam menyantuni komuniti neurodiversiti di Johor.

Sesi forum ilmiah menampilkan barisan panel pakar daripada universiti dan industri perubatan sedang mengupas isu kritikal berkaitan perkembangan kanak-kanak istimewa di pentas utama

Sebagai mukadimah kepada program, satu sesi podcast ilmiah Luar Kotak turut diadakan menampilkan gandingan pakar akademik FEST UTM, Prof. Madya Dr. Zakiah Mohamad Ashari, bersama pengamal industri dalam terapi cara kerja, Syikin Jazuli, dan disertai Dr. Mohd Izyan Zuhaili sebagai moderator. Podcast ini mengupas isu kritikal mengenai kepentingan pengesanan awal atau Golden Period serta usaha membetulkan stigma masyarakat terhadap neurokepelbagaian. Sesi podcast ini boleh diakses melalui laman Facebook FEST UTM.

Reruai pameran rakan industri seperti Nurich OT & Rehab Centre memeriahkan program dengan menyediakan sesi konsultasi dan pendedahan mengenai terapi autisme kepada pengunjung di Toppen Shopping Centre

Kejayaan i-NICE 2025 didorong oleh kerjasama erat antara UTM dan PKAIJB sebagai tunjang utama. Sinergi ini diperkukuh dengan sokongan penaja utama, Waqaf An-Nur dan Yayasan Johor Corporation (JCorp), yang prihatin terhadap pembangunan anak-anak istimewa. Tarikan utama program, Stesen Sensori, dijayakan hasil gabungan tenaga rakan industri dan sukarelawan. Antara rakan strategik yang terlibat ialah IndeBrain, Ohsem Kiddie, Tadika Khalifah Elit (TKE), dan Mutiara Special Needs Kindergarten. Kelancaran aktiviti di stesen-stesen ini turut dibantu oleh sukarelawan pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dan mahasiswa UTM.

Aktiviti interaktif di Stesen Sensori dikendalikan sukarelawan mahasiswa UTM dan rakan kolaborasi, memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka rangsangan sensori melalui permainan menyeronokkan

Apa yang paling mencuri tumpuan adalah suasana inklusif yang berjaya diwujudkan. i-NICE 2025 memecahkan tembok pemisah apabila kanak-kanak neurodivergent, termasuk Autisme dan Gangguan Kurang Daya Tumpuan serta Hiperaktif (ADHD), selesa melakukan aktiviti bersama kanak-kanak tipikal.

Suasana harmoni dan inklusif jelas kelihatan di zon Pertandingan Mewarna apabila kanak-kanak neurodivergent dan tipikal duduk bersama melakukan aktiviti seni dengan sokongan ibu bapa

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Pembangunan) FEST UTM, Prof. Madya Dr. Aede Hatib Musta’amal, yang mewakili Dekan FEST, Prof. Dr. Noraffandy Yahaya. Beliau menyifatkan i-NICE 2025 sebagai manifestasi kejayaan model Quadruple Helix, di mana universiti, NGO, industri, dan komuniti bergerak seiring. Prof. Madya Dr. Aede Hatib menekankan bahawa UTM komited membawa hasil penyelidikan dan inovasi pendidikan keluar dari kampus untuk manfaat langsung masyarakat.

Pemandangan harmoni ini jelas kelihatan di zon Pertandingan Mewarna dan Stesen Sensori, di mana kanak-kanak berinteraksi dan bermain tanpa jurang perbezaan. Situasi ini menepati objektif program untuk memupuk penerimaan dan empati dalam kalangan generasi muda sejak awal lagi. Penganjuran i-NICE 2025 membuktikan bahawa dengan sokongan padu pelbagai pihak, usaha membina masyarakat Bangsa Johor yang inklusif dan penyayang mampu direalisasikan.

Explore More

UTM Open Day