February 7, 2026

Setahun Memimpin Universiti, Melonjak Kecemerlangan Institusi

🎧 Audio Shortcast

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melangkah ke hadapan dengan penuh kesyukuran dan rasa tawaduk atas segala kejayaan yang dikurniakan sepanjang setahun yang lalu. Tahun 2025 menyaksikan UTM berdiri sebagai sebuah institusi ilmu yang bukan sahaja ampuh dalam bidang akademik dan penyelidikan, tetapi juga teguh memikul amanah besar, menginovasikan penyelesaian lestari, demi manfaat insan dan kesejahteraan sejagat. Semua ini berpaksikan falsafah yang kita pegang teguh: “Kerana Tuhan Untuk Manusia.”

Salah satu pencapaian besar yang wajar kita syukuri ialah kejayaan graduan UTM. Dengan 100% kadar kebolehpasaran dan kebolehkerjaan graduan serta 21.6% kadar gaji premium, graduan kita terus membuktikan bahawa pendidikan UTM melahirkan insan yang bersedia menyumbang kepada negara dan dunia. Lebih membanggakan, dua alumni kita tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia, mengukuhkan lagi reputasi UTM sebagai medan lahirnya teknokrat global yang berdaya cipta dan berdaya saing.

Di peringkat antarabangsa, kedudukan UTM dalam QS World University Rankings meningkat secara signifikan daripada 188 (2024) dan 181 (2025) kepada 153 (2026), sekali gus meletakkan kita dalam kelompok 10% universiti terbaik dunia. Peningkatan ini bukan datang bergolek; ia terhasil daripada reputasi akademik yang semakin kukuh, peningkatan hasil penyelidikan, dan kemasukan pelajar antarabangsa yang semakin memberangsangkan. Ini adalah hasil kerja berpasukan, daripada ahli akademik, pentadbir, penyelidik, pelajar, alumni dan rakan industri yang sentiasa mempercayai UTM.

Keberhasilan UTM tidak terhenti pada kedudukan ranking semata-mata. Kita terus memperkukuh agenda “Translational Research” iaitu penyelidikan yang hidup dalam realiti masyarakat. Melalui produk spin-off dan penyelidikan, UTM melahirkan pelbagai inovasi seperti DERMAGs Skin Solution, Natural Kiss, IHBS, iBreath, Oil2Wang, ROV Pleco, Inspecto, JAGA Drone dan banyak lagi yang bukan sahaja mendekatkan universiti dengan komuniti, malah membina ekosistem inovasi yang lestari. Kita juga memperhebatkan program kemasyarakatan seperti Projek Bangsa Johor Bahagia yang berteraskan ihsan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam usaha melahirkan graduan yang seimbang, kita memperkukuh pembangunan sahsiah dan kompetensi mahasiswa melalui pembelajaran yang lebih global, autentik, dan berteraskan nilai adab. Atribut graduan UTM iaitu pemikiran global, kewargaan konstruktif, bakat inovatif, minda keusahawanan, kesarjanaan, dan rasa tanggungjawab, diterjemahkan dalam kurikulum, latihan industri, mobiliti antarabangsa, dan program komuniti. Kita mahu graduan bukan sahaja menjadi teknokrat yang hebat, tetapi juga manusia yang baik akhlaknya, tinggi budinya, dan besar baktinya.

Tahun ini juga menyaksikan UTM terus menjadi peneraju kecerdasan buatan (AI) melalui Fakulti AI serta pelbagai inisiatif seperti Malaysia AI Consortium (MAIC), kerjasama dengan Huawei, Alibaba, dan Zhejiang University, pembangunan standard program AI yang diluluskan MQA, serta program pembangunan bakat AI untuk industri dan sektor awam. Melalui ekosistem AI ini, kita memastikan UTM terus menyumbang kepada agenda digital negara dan membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk meningkatkan produktiviti melalui adaptasi teknologi secara bertanggungjawab dan beretika.

Kesemua kejayaan ini tidak bermakna jika UTM tidak terus memandang ke hadapan. Justeru, melalui UTM ASCEND 2030, kita akan memperteguhkan komitmen untuk menzahirkan impak global UTM dengan empat teras utama, lonjakan kebitaraan, bakat global, kelestarian dan kemampanan, serta kemanusiaan dan kesejahteraan. Antara sasaran besar yang ditetapkan ialah Top 100 QS, 300,000 pelajar sepanjang hayat, 30% pengurangan jejak karbon, serta 70 projek penyelidikan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat. Ini bukan sekadar angka; ini adalah tanggungjawab dan amanah kita pikul untuk negara dan dunia.

Akhirnya, marilah kita mensyukuri nikmat kejayaan ini dengan penuh rendah hati. Apa yang telah kita capai hari ini adalah hasil kerja berpasukan yang ikhlas, sinergi yang tulus, dan keyakinan bahawa ilmu adalah amanah yang mesti diabdikan untuk kemanusiaan. Saya menyeru seluruh warga UTM untuk terus memperkukuh budaya ilmu, inovasi dan ihsan. Kita lintasi tahun-tahun mendatang dengan tekad membina universiti yang bukan sahaja cemerlang pada nama, tetapi juga memberi makna kepada kehidupan manusia sejagat.

Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Naib Canselor

Explore More

UTM Open Day