February 7, 2026

Festival Desa Lestari UTM kukuhkan kerjasama universiti dan komuniti

SIMPANG RENGGAM, 21 Dis – Program Festival Desa Lestari UTM @ Kampung Dato’ Ibrahim Majid yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember 2025 telah berjaya mencapai objektif utamanya dalam memperkukuh jalinan ukhuwah antara warga universiti dan komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif lestari. Program anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Fatimah (JKP KTF) dengan kerjasama Kelab Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (LADS) bertujuan menyemai nilai pemeliharaan alam sekitar dan memperkasakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam kalangan mahasiswa melalui penglibatan sosial yang berimpak tinggi.

Aspek pembangunan intelek dan komuniti turut diberi penekanan menerusi Program Pemindahan Ilmu melalui slot Bual Bicara Tanah. Sesi ini menampilkan barisan panel pakar yang terdiri daripada Pegawai Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Abdul Rahman Musliman; Pentadbir Tanah Daerah Batu Pahat, Hj. Nur Faiz Jamil; serta Peguam Bela dan Peguam Cara, Nur Fatin Rosle.

Perkongsian ini bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman mendalam kepada penduduk kampung mengenai selok-belok pengurusan tanah serta hak-hak perundangan yang berkaitan. Inisiatif ini membuktikan peranan universiti sebagai hab penyebaran ilmu yang praktikal dan bermanfaat terus kepada masyarakat setempat.

Sudut Cakna Ilmu Tanah untuk rujukan komuniti

Sejajar dengan tema kelestarian, Program Laman Lestari telah dilaksanakan melalui kolaborasi strategik bersama Arjja Arjuna Resources yang berkongsi kepakaran dalam bidang pertanian. Sebanyak 65 anak pokok herba telah berjaya ditanam oleh para pelajar bersama penduduk kampung bagi mengubah kawasan terbiar menjadi laman yang produktif.

Bimbingan teknikal daripada Arjja Arjuna Resources memastikan pemilihan spesies pokok dan teknik penanaman bersesuaian dengan keadaan tanah. Laman ini menjadi simbolik kepada kepentingan pemeliharaan tanah dan pemerkasaan sumber hijau demi kegunaan komuniti pada masa hadapan.

Penyiraman anak pokok oleh Pegawai Daerah

Semangat kelestarian diteruskan melalui aktiviti jalan pantas (brisk walk) sejauh tiga kilometer (3km) yang melibatkan penyertaan aktif mahasiswa dan penduduk kampung. Selain menjaga kesihatan fizikal, para peserta turut menjalankan aktiviti mengutip sampah di sepanjang laluan bagi memastikan kebersihan persekitaran kampung terpelihara.

Hasil kerjasama dan keprihatinan peserta terhadap ekosistem, sebanyak 36 kilogram sampah berjaya dikumpulkan sepanjang laluan. Aktiviti ini membuktikan bahawa kesedaran sivik dapat dipupuk secara berkesan melalui aktiviti santai yang memberikan impak nyata.

Sampah yang dikutip di sekitar kampung

Program ini turut memberi penekanan serius terhadap pengurusan sisa domestik melalui aktiviti kitar semula minyak masak terpakai. Sambutan penduduk kampung amat menggalakkan apabila sebanyak 376.13 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh festival berlangsung.

Inisiatif ini merupakan langkah proaktif dalam mengurangkan pencemaran sisa minyak di saluran longkang utama desa, selain mendidik masyarakat mengenai potensi nilai ekonomi sisa dapur sekiranya diuruskan secara betul dan sistemik.

Kutipan minyak masak terpakai

Majlis perasmian festival telah disempurnakan oleh Hjh. Azurawati Wahid, manakala sokongan padu daripada Pengetua Kolej Tun Fatimah, Dr. Aminah Mohsin, menjadi tunjang utama kejayaan penganjuran ini.

Kejayaan program ini turut mendapat perhatian Pegawai Daerah yang menyifatkan inisiatif UTM sebagai satu anjakan paradigma dalam memperkasakan pembangunan luar bandar. Beliau menzahirkan rasa kagum terhadap komitmen mahasiswa yang turun padang membawa impak nyata kepada komuniti dan berharap agar program sebegini dapat diteruskan serta diperluaskan ke kampung lain di seluruh daerah pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, model kolaborasi antara universiti, komuniti dan industri ini merupakan kunci utama dalam melahirkan masyarakat celik kelestarian secara holistik, selain menghasilkan impak besar dalam memacu agenda pembangunan mampan selaras dengan visi Universiti Teknologi Malaysia.

Explore More

UTM Open Day