KUALA LUMPUR, 9 Dis – Majlis Penutup Projek Komuniti Penanaman Azolla sebagai Makanan Penternakan Lestari dan Kos Mampan berlangsung dengan jayanya di Dewan SK Taman Kepong, hasil kerjasama strategik bersama pelbagai pihak. Projek ini dilaksanakan oleh pasukan penyelidik Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad dengan sokongan dana Kementerian Kewangan Malaysia melalui geran Dana Komuniti @ UniMADANI. Inisiatif ini mencerminkan komitmen negara memperkukuh agenda Malaysia MADANI, khususnya dalam memperkasa komuniti melalui pendidikan, kelestarian dan inovasi.
Majlis dimulakan dengan persembahan sketsa oleh murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang menyerikan suasana dengan kreativiti serta keberanian pelajar istimewa sekolah berkenaan. Guru Besar SK Taman Kepong, Hajah Nor Asmaruzie Mohd Zain, dalam ucapannya menekankan manfaat projek ini terhadap pendedahan pelajar kepada pembelajaran berasaskan pengalaman. Seterusnya, Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad berkongsi impak projek serta potensi Azolla sebagai sumber makanan penternakan yang lebih murah, berprotein tinggi dan mesra alam.

Ucapan perasmian penutup disampaikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah Sentul, Hajah Anita Isa, yang menzahirkan penghargaan terhadap usaha kolaboratif antara universiti, sekolah dan komuniti dalam menjayakan program yang bersifat praktikal serta bermanfaat ini. Tayangan montaj dan gimik perasmian kemudiannya menjadi simbolik kepada penutupan rasmi program.

Sebagai sebahagian daripada komponen dalam rangka Kerajaan, Universiti, Komuniti dan Industri (GUCI), modul dan sistem penanaman Azolla diserahkan kepada sekolah sebagai panduan bagi pelaksanaan berterusan. Guru-guru, murid PPKI dan ibu bapa turut diraikan sebagai penerima manfaat langsung yang akan meneruskan amalan pertanian mini itu di sekolah. Majlis turut diserikan dengan persembahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) dengan melibatkan elemen seni dan demonstrasi teknologi dron, sebelum tetamu dibawa melawat tapak penternakan ikan dan penanaman Azolla yang dibangunkan sepanjang projek.

Dalam majlis sama, sebahagian ikan tilapia yang telah mencapai saiz matang diserahkan kepada komuniti untuk dinikmati bersama sebagai hasil nyata daripada projek penternakan tersebut. Penyerahan ini membuktikan bahawa projek berkenaan bukan sekadar inisiatif pembelajaran, malah memberikan pulangan langsung kepada masyarakat.

Kerjasama dengan Ecolife Agrofarm Sdn. Bhd. melengkapkan komponen GUCI bagi industri, di mana syarikat tersebut sejak awal pelaksanaan projek telah menyediakan strain Azolla berkualiti serta memberi tunjuk ajar berkaitan kaedah pengkulturan yang betul. Kolaborasi ini mewujudkan pendekatan pembelajaran yang lebih holistik dengan menggabungkan elemen sains, teknologi dan aplikasi lapangan.
Selain manfaat pendidikan, projek ini turut membuka peluang keusahawanan kecil kepada murid-murid PPKI melalui aktiviti penjagaan Azolla, pembiakan benih serta pemprosesan ringkas untuk makanan ikan. Pendekatan ini membantu meningkatkan potensi diri pelajar istimewa, membina kemahiran asas keusahawanan dan menambah nilai tambah ekonomi kecil kepada mereka, selaras dengan usaha memperkasakan golongan berkeperluan khas.
Projek komuniti ini menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 2 (Kelaparan Sifar), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti). Selaras dengan kerangka Malaysia MADANI, projek ini menzahirkan nilai keterlibatan dan ihsan melalui usaha bersama kerajaan, universiti, komuniti dan industri dalam memperkenalkan amalan pertanian yang lebih mampan, mudah diurus dan relevan dengan keperluan semasa.
Majlis menutup tirai dalam suasana mesra dan sederhana. Diharapkan usaha yang telah dirintis ini dapat diteruskan komuniti sekolah mengikut kemampuan serta keperluan setempat, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang lebih berfokus pada pembangunan pertanian kecil skala, ekonomi komuniti dan pendidikan lestari pada masa hadapan.
