November 21, 2025

UTM Raikan Graduan Kerjasama Strategik UTM-BRIN di Majlis Konvokesyen Ke-69

JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan kerjasama strategik dengan Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Indonesia apabila dua pelajar tajaan BRIN daripada kohort pertama serta seorang pelajar daripada kohort kedua berjaya menamatkan pengajian pada Majlis Konvokesyen Ke-69 UTM.

Graduan berkenaan ialah Saudara Dadin Mahmudin (Sarjana Falsafah, Fakulti Kejuruteraan Elektrik), Dr. Hendri Maja Saputra (Doktor Falsafah, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal) dan Dr. Rendy Muhammad Iqbal (Doktor Falsafah, Fakulti Sains).

Kerjasama UTM–BRIN ini diterajui oleh Prof. Ir. Dr. Sevia Mahdaliza binti Idrus Sutan Nameh sejak tahun 2021 yang memainkan peranan penting dalam membangunkan rangka kerja kolaborasi akademik, penyelidikan serta pembangunan kapasiti penyelidik untuk BRIN di UTM. Di bawah kepimpinan beliau, UTM menjadi destinasi pilihan penyelidik Indonesia untuk melaksanakan projek penyelidikan lanjutan dalam ekosistem penyelidikan bertaraf global.

Pengurusan rasmi program pascasiswazah UTM–BRIN berada di bawah Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), UTM, yang memastikan kelancaran proses akademik, penyeliaan, pemantauan kemajuan pelajar serta penyediaan sokongan profesional sepanjang tempoh pengajian.

Setakat ini, program pascasiswazah mod penyelidikan UTM–BRIN telah memasuki kohort kelima, melibatkan 60 pelajar Sarjana Falsafah dan Doktor Falsafah. Program ini turut dibuka kepada penyelidik dan pensyarah dari Indonesia yang berminat melanjutkan pengajian penyelidikan di UTM.

Turut membanggakan, Dr. Rendy Muhammad Iqbal, pelajar BRIN dari kohort kedua, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Pascasiswazah (BPGSA) sempena Majlis Konvokesyen Ke-69 UTM, anugerah berprestij anjuran SPS pada 14 November 2025 bagi menghargai kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

Rendy turut menerima Anugerah Canselor, salah satu pengiktirafan tertinggi UTM yang diberikan kepada graduan cemerlang berasaskan pencapaian akademik, integriti dan sumbangan kepada komuniti penyelidikan. Penganugerahan tersebut disampaikan pada 15 November 2025, menjadikan Rendy antara graduan antarabangsa paling cemerlang pada sidang konvokesyen kali ini.

Kejayaan graduan BRIN ini membuktikan keberkesanan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Pencapaian ini dijangka membuka laluan kepada lebih ramai penyelidik BRIN untuk mengikuti program pascasiswazah di UTM dalam bidang kejuruteraan, sains, teknologi dan inovasi.

Ucapan daripada Dr. Rendy Muhammad Iqbal mewakili pelajar antarabangsa yang menerima Anugerah Canselor

 

Dr. Rendy Muhammad Iqbal menerima Anugerah Pelajar Terbaik Pascasiswazah

 

Explore More

UTM Open Day