November 16, 2025

JOHOR BAHRU, 1 Nov – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) meneruskan langkah proaktif meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cukai harta melalui kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi melaksanakan Program Hebahan Cukai Harta MBJB 2025.

Kerjasama ini dijalankan dengan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM, yang diselaras oleh Dr. Norhidayah Md. Yunus, Dr. Nur Berahim, dan Dr. Azizah Ismail. Program tersebut bertujuan memperluas penyebaran maklumat berkaitan cukai harta kepada warga bandar raya Johor Bahru menerusi pendekatan kreatif dan mesra masyarakat.

Antara aktiviti utama ialah penghasilan iklan radio oleh pelajar Tahun Tiga dan Tahun Empat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, serta pelajar Ijazah Doktor Falsafah di FABU, UTM. Rakaman iklan tersebut diketuai oleh Dr. Norhidayah Md. Yunus dan menampilkan lima pelajar iaitu Anis Syahirah Ahmad Nassrudin, Vekneswaran Rajunaidu A/L S Palani Raju Naidu, Tan Wei Jie, Cheng Siew Qing, dan Nur Anis Aqila Zulkifli.

Melalui inisiatif ini, pelajar bukan sahaja berpeluang meneroka dunia penyiaran, malah turut memperkukuh kefahaman mereka terhadap isu cukai harta. Program ini juga menjadi wadah penting dalam mendidik masyarakat dengan cara yang lebih santai, menyeronokkan, dan mudah difahami, di samping mencungkil potensi pelajar dalam bidang komunikasi awam.

Pelajar UTM bersama kru RTM semasa proses rakaman iklan hebahan cukai harta
Barisan pelajar yang terlibat dalam rakaman iklan radio RTM di Johor Bahru
Wakil MBJB dan RTM bersama pelajar UTM semasa sesi rakaman

Iklan radio tersebut disiarkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil  melalui empat saluran radio RTM iaitu Johor FM, TraXX FM, Minnal FM dan Ai FM, bagi memastikan capaian hebahan meliputi pelbagai lapisan masyarakat di negeri Johor.

Selain itu, MBJB turut berperanan sebagai panel penilai bagi tugasan video kumpulan yang dihasilkan oleh pelajar UTM berkaitan hebahan cukai harta di media sosial seperti Instagram, Facebook dan TikTok. Langkah ini memberi peluang kepada pelajar menerima maklum balas autentik daripada pihak industri serta meningkatkan kualiti tugasan akademik mereka.

Menurut pihak penyelaras, penglibatan MBJB sebagai panel penilai bukan sahaja memperkukuh hubungan universiti-industri, tetapi turut membantu pelajar membina kemahiran profesional, keyakinan diri dan kesiapsiagaan menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.

Sesi perbincangan bersama Sr. Hj. Azmi Hj. Miswan, Pengarah Jabatan Penilaian MBJB, mengenai pelaksanaan semakan data penilaian semula

Dalam masa yang sama, MBJB juga telah melantik UTM sebagai perunding bagi kerja-kerja semakan data penilaian semula, yang diketuai oleh Dr. Azizah Ismail. Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara MBJB dan UTM dalam membekalkan penyelesaian inovatif untuk mengekalkan daya saing bandar raya Johor Bahru di peringkat global, di samping menangani isu setempat secara berkesan.

Explore More

UTM Open Day