November 27, 2025

Seminar ISS 2025 UTM bincang pelbagai isu utama kelestarian global

JOHOR BAHRU, 5 Nov –  Penganjuran International Sustainability Summit (ISS) 2025 di Hotel Sunway Big Box, Kota Iskandar anjuran Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS) dengan kerjasama Pejabat Pelestarian Kampus (SCO) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyentuh pelbagai isu utama kelestarian di peringkat global.

Pengerusi ISS 2025 merangkap Timbalan Pengarah UTMCCS, LAr. Dr. Zanariah Jasmani berkata para peserta telah berada di Hotel Sunway Big Box, Iskandar Puteri selama tiga hari untuk membincangkan pelbagai isu utama yang berkaitan dengan kelestarian dan pembangunan mampan sepanjang ISS 2025.

“Antara topik utama yang dibincangkan termasuk pengurusan air dan tenaga yang berkesan, penyelesaian inovatif terhadap masalah pengangkutan lestari serta usaha pengurangan sisa dan amalan kitar semula yang mampu memperbaiki kualiti kehidupan dan melindungi alam sekitar.

“Di samping itu, sesi perbincangan turut menumpukan kepada kesihatan planet, biodiversiti, dan pengurusan tanah yang mapan yang semuanya adalah elemen penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem dunia,” katanya yang ditemui selepas majlis perasmian yang disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim ketika memberikan ucapan perasmian program ISS 2025 di Hotel Sunway Big Box, Iskandar Puteri

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 3 hingga 5 November 2025 itu terdiri daripada pembentangan isu-isu terkini bidang kelestarian oleh panel dan pakar yang dijemput disusuli oleh pertandingan pembentangan poster dan persembahan secara oral yang dinilai oleh panel profesional.

ISS 2025 telah berjaya menarik penyertaan seramai 30 orang peserta dari Universiti Awam (UA) serta beberpa agensi lain.

Hadir sama dalam majlis perasmian ialah Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Prof. Emerita Datuk Dr. Asmah Ismail; Pengarah UTMCCS, Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md. Din dan Pengarah SCO UTHM, Prof. Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir yang turut memberi sokongan penuh terhadap penganjuran acara ini.

Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Prof. Emerita Datuk Dr. Asmah Ismail menyampaikan syarahan bertajuk ‘ The Role of Higher Education in Delivering ESG Comitment’

Selain itu, aspek kebolehcapaian dan kemampuan dalam menyediakan perkhidmatan penting kepada komuniti turut menjadi tumpuan utama termasuk penglibatan dan pemberdayaan masyarakat setempat dalam usaha pembangunan lestari.

Isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga diambil kira sebagai faktor utama dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan program dan projek-projek kelestarian.

Dalam aspek pengurusan organisasi, tumpuan diberikan kepada integriti, tatalaku beretika serta strategi pengurusan risiko yang mampu memperkukuh keberlanjutan organisasi dan projek-projek yang dijalankan.

“Fokus turut diberikan kepada topik seperti pengurusan sumber manusia dan pembangunan kewangan yang mampan bagi memastikan keberlangsungan jangka panjang inisiatif-inisiatif kelestarian ini.

“Sesi terakhir dalam persidangan ini menekankan tentang pentingnya membina perkongsian strategik yang kukuh di antara pelbagai pihak bagi mempercepatkan usaha pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada masyarakat global secara keseluruhan,” katanya.

Keseluruhan acara ini berjaya mencapai matlamat utamanya dalam membina kesedaran, memperkukuh kerjasama dan memupuk inovasi dalam bidang kelestarian.

“Dengan penganjuran ISS 2025 ini, adalah diharapkan akan mampu untuk melahirkan lebih ramai pakar kelestarian yang berkeupayaan untuk memandu  lebih banyak inisiatif dan projek yang mampu memberi impak positif kepada kelestarian alam sekitar serta pembangunan sosial ekonomi di masa hadapan,” katanya lagi.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ahli LPU, Prof. Emerita Datuk Dr. Asmah Ismail

Explore More

UTM Open Day