JOHOR BAHRU, 15 Nov. – Di sebalik kejayaan seorang graduan, sering tersimpan sebuah kisah yang tidak terlihat oleh mata kasar. Begitu juga dengan penerima Anugerah Canselor Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia kali ke-69.
Nur Khairunnisa Suhizan, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Fakulti Pengurusan, yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, namun juga menyerlah sebagai pemimpin, pemuzik berbakat dan sukarelawan yang aktif.
Kini beliau sedang berkhidmat sebagai Eksekutif di Group Finance Division , Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar. Beliau sebelum ini merupakan penerima biasiswa Prime Scholarship daripada Yayasan Tenaga Nasional, satu pengiktirafan awal terhadap potensi kepimpinan dan akademiknya.
Beliau menjadi saksi bahawa kejayaan bukan hanya tentang apa yang dipertontonkan di atas pentas, namun ia bermula daripada disiplin dan ketekunan yang tinggi bersama hati yang sentiasa mencari ruang untuk memberi manfaat.
Pelajar Minoriti yang Membangunkan Peluang Majoriti
Pada tahun ketiga pengajian, beliau diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Naib Presiden bagi UTM Accounting Club (UTMAC). Nur Khairunnisa mempunyai visi murni di mana beliau ingin membuka lebih banyak peluang pendedahan industri kepada para pelajar khususnya dari Fakulti Pengurusan.
Dengan visi ini, beliau menganjurkan program Virtual Career Talk (VCT) sebagai sebuah inisiatif yang pada awalnya hanya dirancang secara sederhana namun berkembang menjadi program berskala nasional.
Beliau berjaya menjemput organisasi ternama seperti Deloitte, TNB, Agoda dan SLB untuk berkongsi pandangan serta peluang kerjaya untuk mahasiswa Fakulti Pengurusan.
Program ini turut disertai pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam yang lain seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan banyak lagi, menjadikan program ini sebagai medium ilmu yang merentasi kampus.

Hasil idea bernas yang berlandaskan tekad yang murni ini, program ini berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta dengan maklum balas yang sangat positif.
Lebih bermakna bagi Khairunnisa, apabila beberapa pelajar yang menyertai program ini turut memperoleh peluang untuk menjalani latihan industri di syarikat gergasi ini melalui rangkaian industri yang dibina.
Bagi beliau, ini adalah makna sebenar kejayaan apabila ia mampu membuka pintu yang sebelum ini tidak wujud dan memberi manfaat kepada orang lain.
Selain itu, beliau turut memimpin banyak program yang serupa seperti lawatan akademik ke Agoda HQ serta menggerakkan bengkel persediaan kerjaya yang membantu ratusan pelajar menghasilkan resume yang lebih berkualiti dan menghadapi temuduga dengan lebih yakin.
Usaha-usaha ini menjadikan UTM Accounting Club lebih hidup, relevan dan memberi impak nyata kepada perkembangan profesional pelajar.
Muzik menjadi ruang nafas, disiplin dan identiti
Di luar bilik kuliah, tersimpan satu sisi dirinya yang sama hebatnya dibina melalui muzik. Sejak usia 10 tahun, biola bukan hanya sekadar hobi, tetapi menjadi jiwa yang menemai perjalanan hidupnya.
Khairunnisa bersama adik-beradiknya, bersama-sama membentuk kumpulan musik yang diberi nama Nada Akustika, yang aktif membuat persembahan di pelbagai jenis platform.

Bakat beliau dalam bidang muzik terserlah apabila beliau dianugerahkan sijil Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM) sehingga gred lima, satu tahap antarabangsa yang tidak mudah dicapai.
Hal ini kerana, ABRSM sangat menitikberatkan penilaian yang ketat merangkumi ketepatan nada dan intonasi, kematangan teknik permainan, kepekaan terhadap irama dan ekspresi, pemahaman teori musik serta kemampuan mempersembahkan karya klasik dengan interpretasi yang tepat.
Untuk lulus, seseorang perlu menjalani latihan berjam-jam setiap minggu, menduduki peperiksaan teori yang terperinci, dan menghadapi ujian praktikal yang menguji kemahiran secara langsung. Ia memerlukan disiplin, kesabaran, dan minda yang benar-benar tekal sama seperti prinsip yang beliau pegang sejak kecil.
Bakat beliau terus menyerlah apabila menyertai pelbagai pertandingan bakat di UTM, sering meraih tempat pertama atau kedua.
Pencapaian paling istimewa hadir pada tahun 2019, apabila beliau terpilih menyertai Orkestra Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia, sebuah peluang yang hanya diberikan kepada pemuzik yang mempunyai tahap kemahiran tinggi dan kemampuan bermain secara profesional.

Menurutnya, muzik bukan sekadar melatih jari dan pendengaran, tetapi membentuk dirinya sebagai seorang insan.
“Dalam orkestra, setiap orang ada bahagian masing masing,” jelasnya.
“Walaupun semua main nota yang berbeza, tapi pada akhirnya, tujuannya adalah kita perlu serasi untuk hasilkan satu harmoni.”
Daripada pengalaman itu, beliau belajar nilai yang kekal dibawa dalam kehidupannya hingga sekarang. Nilai inilah yang dibawa ke dalam pengajian, organisasi dan kepimpinannya. Muzik menjadikannya lebih sabar, lebih menghargai proses, dan lebih memahami bahawa kejayaan tidak pernah dicapai seorang diri tetapi melalui irama usaha yang bergerak seiring.
Mendidik Untuk Memberi
Walaupun jadualnya padat dengan akademik dan program kepimpinan, beliau tetap mengambil masa untuk mengajar. Minatnya terhadap pendidikan begitu mendalam sehingga beliau pernah menjadi guru muzik bebas untuk pelajar berumur 12–16 tahun.
Namun kini, kerana jadual yang padat setelah bekerjaya, beliau masih mengajar muzik sebagai sukarelawan di sekolah lamanya. Tidak hanya itu, jika mempunyai masa terluang beliau juga menjadi sukarelawan untuk mengajar subjek Perakaunan dan Perniagaan di masjid-masjid yang mengadakan kelas percuma untuk pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tiada bayaran, tiada publisiti namun hanya keinginan yang tulus untuk membantu pelajar yang memerlukan bimbingan.

Falsafah Hidup Seorang Graduan Cemerlang
Di akhir pengajiannya, beliau berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kelas Pertama. Namun baginya, kejayaan bukanlah tentang kedudukan atau anugerah semata-mata.
“Belajar itu penting, tetapi nikmati juga perjalanan. Cuba perkara baharu, jangan takut keluar dari zon selesa. Kalau kita betul-betul minat, kita akan jumpa keseimbangan. Pada akhirnya, memori itulah yang paling mahal.”
Penerima Anugerah Canselor ini menunjukkan bahawa kecemerlangan tidak diukur sekadar melalui keputusan akademik, tetapi juga melalui keupayaan memberi, berkongsi, dan memimpin dengan hati.
Beliau membuktikan bahawa seseorang boleh mengejar ilmu, minat, dan memberi manfaat kepada komuniti sekaligus dan beliau berjaya melakukannya dengan penuh kesungguhan.
Graduan ini meninggalkan jejak yang tidak mudah dilupakan iaitu legasi, inspirasi, dan harapan yang terus hidup dalam setiap langkah mahasiswa UTM yang datang selepasnya.