November 19, 2025

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat satu lagi sejarah apabila Lee Woon Chong, mahasiswa Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG), muncul sebagai graduan SULUNG pertama yang berjaya menamatkan pengajian.

Lebih manis lagi, beliau menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) cemerlang 3.89, sekaligus mengukuhkan keberkesanan program SULUNG dalam mengubah destini keluarga B40.

Lee Woon Chong, graduan SULUNG pertama UTM menamatkan pengajian dengan PNGK 3.89.

Anak sulung daripada empat beradik dan berasal dari Kluang, Johor, Woon Chong dibesarkan dalam sebuah keluarga serba sederhana. Namun, latar belakang keluarganya tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menjejakkan kaki ke universiti.

“Saya sangat terkejut dan amat gembira apabila ditawarkan tempat di UTM. Sebagai anak pertama berjaya masuk universiti, ia satu detik yang sangat bermakna untuk keluarga kami,” katanya ketika ditemui selepas sesi penganugerahan.

Woon Chong mengetahui mengenai Program SULUNG selepas rumahnya dikunjungi oleh Pengurusan UTM daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) untuk sesi temuduga pemilihan.

Lee Woon Chong dan ibu bapanya ketika terpilih sebagai salah seorang penerima Program SULUNG.

Beliau kemudiannya terpilih sebagai penerima bantuan yang merangkumi pengecualian yuran pengajian, subsidi bulanan, penginapan serta peralatan teknologi termasuk komputer riba.

Program ini benar-benar meringankan beban kewangan keluarga. Saya tidak lagi risau soal yuran atau perbelanjaan harian dan dapat fokus sepenuhnya kepada pembelajaran,” jelasnya.

Walaupun sibuk dengan tugasan akademik, Woon Chong tetap aktif mengikuti program berimpak tinggi Universiti seperti Global Exposure Program Bersama Pelajar SULUNG 2.0 UTM di Surabaya, Indonesia.

Ketika mengimbau perjalanan pengajiannya, Woon Chong mengakui bahawa mengejar sasaran untuk memperoleh keputusan kelas pertama adalah cabaran paling besar.

“Cabaran utama saya adalah mengekalkan prestasi akademik yang tinggi untuk mencapai kelas pertama. Namun, sokongan pensyarah, rakan-rakan dan keluarga benar-benar menjadi kekuatan saya,” katanya.

Woon Chong menyifatkan Program SULUNG sebagai inisiatif yang telah mengubah hidupnya dan keluarga.

“Impaknya sangat besar. Program ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi memberi peluang kehidupan yang lebih baik. Kejayaan ini amat membanggakan bagi saya dan keluarga,” katanya.

Bersama KDYMM Raja Permaisuri Agong dalam Majlis Santapan Petang Bersama Pelajar UTM di Dewan Bandaraya Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Beliau berharap program tersebut akan terus diperluas kepada lebih ramai pelajar keluarga B40 yang memerlukan sokongan untuk mengubah masa depan.

“Ramai lagi anak-anak B40 yang mempunyai potensi besar. Harapnya program seperti ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada mereka,” ujarnya.

Ketika ditanya nasihat kepada pelajar lain, Woon Chong menekankan disiplin dan keberkatan doa keluarga.

“Dengar nasihat pensyarah, bekerjasama dengan rakan-rakan, dan paling penting minta restu keluarga. Itu kunci yang membantu saya mencapai kejayaan,” katanya.

Kejayaan Lee Woon Chong membuktikan bahawa apabila peluang diberikan, pelajar daripada golongan B40 mampu mencipta kecemerlangan akademik yang membanggakan, sekaligus membuktikan keberkesanan Program SULUNG dalam melahirkan generasi masa depan yang lebih berdaya saing dan berpotensi tinggi.

Explore More

UTM Open Day