December 9, 2025

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Bersempena Majlis Konvokesyen ke-69, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menganjurkan Festival Konvokesyen Ke-69 (FESKO’69) selama sepuluh hari bermula 14 hingga 23 November 2025 di Dataran UTM, UTM Johor Bahru.

Penganjuran festival tahunan ini sekali lagi menjanjikan pelbagai pengisian kreatif, aktiviti interaktif serta program kemasyarakatan bagi meraikan para graduan yang menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-69.

Sejak diperkenalkan puluhan tahun lalu, FESKO bukan sekadar sebuah festival biasa, tetapi platform latihan kepimpinan yang berfungsi sebagai medan pembangunan sahsiah pelajar.

FESKO’69 diterajui sepenuhnya oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama ratusan mahasiswa daripada pelbagai fakulti, mewakili latar kepimpinan yang berbeza.

Penganjuran ini menyerlahkan komitmen universiti dalam memperkasa pelajar secara holistik, melahirkan generasi berfikiran kritis, berdaya saing serta mampu membina jaringan profesional sejak di bangku pengajian.

Pengarah FESKO’69, Ong Hong Yao, berkata festival tahun ini dirangka dengan matlamat untuk memberi impak lebih signifikan kepada mahasiswa dan komuniti kampus.

Beliau menjelaskan bahawa FESKO berfungsi sebagai ruang pembelajaran sebenar bagi pelajar mengasah kemahiran pengurusan, komunikasi, perancangan strategik dan kepimpinan melalui pengendalian pelbagai unit seperti aktiviti, penajaan, protokol, logistik serta keselamatan.

Menurutnya, pengalaman mengurus festival berskala besar seperti FESKO membentuk keyakinan pelajar untuk menjadi pemimpin masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Ucapan oleh Pengarah FESKO’69, Ong Hong Yao

FESKO’69 telah dirasmikan oleh Pro-Canselor UTM, Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap kemampuan pelajar UTM yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah menyerlah dalam kepimpinan, keusahawanan dan komunikasi.

Beliau menegaskan bahawa aspirasi UTM sentiasa tertumpu kepada pembentukan graduan yang berilmu, berakhlak dan berempati, seterusnya mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga kemanusiaan sejagat.

Ucapan Perasmian oleh Pro-Canselor UTM

Penganjuran FESKO’69 merupakan hasil kerjasama strategik antara mahasiswa dan dua jabatan utama universiti, iaitu Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA) dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP).

JTNCHEPA bertanggungjawab menyelaras semua aspek operasi di Dataran UTM, termasuk pengurusan aktiviti, penajaan, tender penjualan khemah, serta koordinasi jawatankuasa pelaksana.

JTNCP pula mengetuai jawatankuasa induk bagi memastikan operasi keseluruhan festival berjalan lancar, teratur dan mengikut piawaian keselamatan universiti. Kesepaduan dua jabatan ini memperkukuh profesionalisme penganjuran serta meningkatkan keberkesanan penglibatan pelajar.

Ong turut memaklumkan bahawa FESKO’69 menampilkan pelbagai acara tumpuan seperti Pertunjukan Kebudayaan, Traffic Light Fun Run, Car Show “Park n’ Show”, program Cerita & Cipta Bersama Amin dan Abid, pertandingan memasak Adabi Chef Junior serta Jualan Rahmah yang memberi manfaat kepada pengunjung.

Pengunjung juga berpeluang menikmati aktiviti interaktif seperti Lensa FESKO (Photo Booth), Sandzone Experience, Drone Soccer, Totebag Painting, Arcade Fun Fair, Brick Your Own (Lego Figure) serta pelbagai pertandingan E-Sports yang dijangka menarik penyertaan pelajar dalam jumlah besar.

Beliau menekankan bahawa FESKO’69 bukan sekadar festival tahunan, tetapi platform pembangunan pelajar secara menyeluruh. Program ini selaras dengan aspirasi UTM melalui moto ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’ serta slogan ‘Menginovasi Penyelesaian Lestari’ yang menjadi identiti universiti dalam setiap inisiatifnya.

Ong turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan UTM, khususnya Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, atas sokongan penuh terhadap penganjuran FESKO’69.

Penghargaan itu juga ditujukan kepada seluruh krew, penasihat, penyelaras program, rakan strategik serta rakan media yang sentiasa membantu menyampaikan perkembangan universiti kepada masyarakat.

Dari kiri: Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, Ong Hong Yao dan Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad ketika gimik perasmian FESKO’69

Katanya lagi, kejayaan penganjuran festival ini adalah hasil dedikasi yang tidak berbelah bahagi daripada seluruh warga FESKO’69 yang telah memperuntukkan masa, tenaga dan komitmen tinggi sejak awal perancangan hingga ke hari pelaksanaan.

Beliau berharap FESKO akan terus menjadi identiti mahasiswa UTM serta wadah untuk menyemarakkan budaya kampus yang progresif dan inklusif.

FESKO’69 sekali lagi membuktikan kemampuan mahasiswa UTM dalam menggalas tanggungjawab besar melalui penganjuran program yang melibatkan ribuan pengunjung.

Festival ini mengukuhkan lagi peranan UTM sebagai institusi yang komited melahirkan graduan seimbang dari aspek intelektual, rohani dan sosial, seterusnya bersedia menjadi penyumbang penting kepada masyarakat dan negara.

Explore More

UTM Open Day