Setelah dua tahun mengikuti pengajian secara dalam talian, bermula Semester 2 Sesi 2022/2023 bagi kohort pengambilan pertama dan Semester 1 Sesi 2023/2024 bagi kohort pengambilan kedua, kedua-dua kohort program Sarjana Pendidikan (Matematik) mod ODL (Open & Distance Learning), atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh, akhirnya bersemuka secara fizikal dengan pensyarah dan rakan-rakan mereka. Inilah detik istimewa graduan ODL yang selama ini hanya bertemu di alam maya sepanjang empat semester, dan kini bertentang mata dengan pensyarah serta rakan seprogram dalam satu majlis anjuran Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bertempat di Hotel Impiana Senai sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-69. Seramai tujuh dan lapan orang graduan, masing-masing dari Kohort 1 dan 2, berkumpul dalam majlis ini sebelum majlis konvokesyen mereka pada 17 November 2025. Majlis dirasmikan oleh Dekan FEST, Prof. Dr. Noraffandy Yahaya.
Menurut Penyelaras Program Sarjana Pendidikan (Matematik) mod ODL, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, majlis ini sememangnya merupakan detik bersejarah kerana setelah empat semester belajar bersama secara dalam talian, menyiapkan tugasan berkumpulan secara maya, serta melakukan pembentangan kumpulan sama ada secara rakaman mahupun segerak, akhirnya mereka bertemu bersemuka dalam majlis khas yang diadakan untuk meraikan mereka sebelum diraikan di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru. Lebih manis lagi, dua orang daripada mereka dianugerahkan sebagai pelajar pascasiswazah terbaik oleh Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), iaitu Norain Rahmat dan Nurbaiti Ahmad Zaki, dalam satu majlis anjuran SPS di Pulai Spring Resort pada 14 November 2025.
Pada majlis di Hotel Impiana, ucapan oleh wakil pelajar, Norain Rahmat, yang mewakili semua graduan, menzahirkan rasa penuh kesyukuran serta merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pensyarah, staf sokongan dan rakan seprogram. Menurut beliau, setiap ilmu, kritikan membina dan dorongan yang diberikan oleh para pensyarah telah membawa mereka ke tahap ini. Beliau menambah bahawa walaupun dirinya seorang guru matematik, beliau tetap memerlukan guru-guru lain untuk menjadikan dirinya lebih baik, bukan sahaja untuk peningkatan kerjaya, tetapi juga demi masyarakat khususnya murid-murid sekolah.

Noraini turut menzahirkan penghargaan atas pengorbanan keluarga, terutamanya ibu bapa, pasangan dan anak-anak yang memahami kesibukan mereka dalam mengimbangi urusan kerja, keluarga dan pengajian. Tanpa doa dan motivasi yang diberikan, mustahil mereka mampu mengharungi malam-malam berjaga untuk menyiapkan tugasan dan tesis. Jutaan penghargaan juga disampaikan kepada barisan pengurusan, khususnya mereka yang mengendalikan program pembelajaran terbuka dan jarak jauh ini, kerana memberikan fleksibiliti kepada pelajar yang bekerja pada siang hari namun masih berpeluang menyambung pengajian tanpa meninggalkan kerjaya masing-masing.
Sebagai kronologi, program pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) bagi Sarjana Pendidikan (Matematik) bermula pada Semester 2 Sesi 2022/2023, dan sehingga Semester 1 Sesi 2025/2026, program ini telah menerima pelajar sehingga Kohort 6. Untuk mengikuti program ini, pelajar perlu memperoleh CGPA ≥ 2.5 bagi ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan, atau ijazah sarjana muda daripada bidang pengkhususan lain dengan Diploma Pendidikan dan CGPA tidak kurang daripada 2.5; atau ijazah sarjana muda dengan CGPA < 2.5 tetapi mempunyai pengalaman mengajar atau pengalaman kerja yang relevan yang boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat dan prosedur Universiti; atau calon tanpa kelayakan profesional yang boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program ini tetapi mesti melengkapkan satu kursus tambahan pada semester pertama, iaitu Asas Pendidikan. Sepanjang pengajian, pelajar perlu menghabiskan sama ada 45 kredit atau 48 kredit bagi mereka yang perlu mengambil kursus Asas Pendidikan. Kursus-kursus ini merangkumi kursus teras, teras program, projek dan elektif. Bagi komponen projek, pelajar akan dibimbing oleh penyelia untuk menyiapkan kursus Research Study I dan Research Study II.
Program Sarjana Pendidikan (Matematik) mod pembelajaran terbuka dan jarak jauh ini merupakan program pertama seumpamanya di Malaysia. Mod ini membolehkan pelajar belajar mengikut kadar mereka sendiri dan pada masa yang sesuai dengan komitmen peribadi serta profesional. Fleksibiliti ini amat sesuai untuk golongan dewasa yang bekerja, ibu bapa dan individu yang mempunyai banyak komitmen namun tetap bertekad untuk menyambung pengajian. Bahan pembelajaran boleh diakses secara dalam talian, membolehkan pelajar belajar dari mana-mana lokasi tanpa perlu hadir secara fizikal di kampus, sekali gus mengurangkan masa dan kos perjalanan. Pelajar juga boleh menyemak semula kuliah, bacaan dan sesi rakaman pada bila-bila masa, membolehkan pemahaman yang lebih mendalam serta perkembangan pembelajaran yang lebih diperibadikan. ODL turut memanfaatkan platform digital seperti sistem pengurusan pembelajaran (LMS), bilik kuliah maya, forum perbincangan dan kandungan interaktif yang meningkatkan penglibatan serta kemahiran literasi digital. Pelajar juga boleh mengakses e-buku, kuliah rakaman, jurnal dalam talian dan perpustakaan digital yang menyediakan pelbagai bahan pembelajaran.
ODL turut menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat yang dapat memperkaya kemahiran atau memajukan kerjaya tanpa mengganggu tanggungjawab kerja atau keluarga sedia ada. Walaupun dijalankan secara jarak jauh, program ODL tetap menyediakan komunikasi aktif dengan pensyarah melalui e-mel, aplikasi pesanan, persidangan video dan sesi kuliah segerak yang berjadual.
Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM