TOKYO, 28 Nov – Program Mobiliti Global ASUNA 4.0: Tokyo Here We Go! anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sekali lagi membuktikan komitmen universiti dalam memperkasa pendidikan berimpak tinggi melalui pengantarabangsaan, keterlibatan komuniti global dan jaringan strategik bersama institusi pendidikan terkemuka dunia. Program ini disertai 16 pelajar prasiswazah dan diketuai Felo Penasihat, Siti Rahmah Abdullah, bersama pembantu felo, Muhammad Syahir Redwan Mazlin.
Lawatan akademik ke University of Tokyo (UoT) menjadi sorotan utama apabila delegasi diberikan pendedahan menyeluruh terhadap ekosistem penyelidikan bertaraf dunia. Delegasi mengikuti sesi ilmiah berkaitan penyelidikan di Tanaka Lab, konsep kitaran ekonomi serta penerokaan teknologi agrikultur moden. Kehadiran Prof. Amy Poh Ai Ling, bekas pensyarah UTM yang kini berkhidmat di UoT, turut memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua institusi. Beliau berperanan sebagai fasilitator utama dalam menghubungkan agenda kolaborasi UTM dan UoT.


Program turut menekankan peranan diplomasi dalam pembentukan komuniti global apabila delegasi menghadiri sesi khas bersama wakil Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Zainal Azlan Mohd Nadzir. Taklimat tersebut mengupas operasi diplomatik, hubungan dua hala Malaysia–Jepun serta peluang kerjasama strategik dalam pendidikan dan teknologi. Melalui sesi ini, pelajar dapat memahami peranan mereka sebagai belia global yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara menerusi jaringan antarabangsa.

Delegasi turut melawat pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Tokyo yang disambut oleh Zuaziezie Zulkefli. Taklimat yang diberikan menekankan strategi perdagangan antarabangsa serta kepentingan inovasi dalam meningkatkan daya saing pasaran Malaysia di peringkat global. Pendedahan ini membantu pelajar menghubungkan ilmu akademik dengan realiti keperluan industri, selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan profesional yang berdaya saing di pasaran dunia.

Lawatan ke Shibaura Institute of Technology (SIT) seterusnya mengukuhkan hubungan pendidikan antara UTM dan salah satu institusi teknologi terbaik di Jepun. Delegasi berpeluang meninjau makmal berteknologi tinggi merangkumi robotik, teknologi bahan, automasi dan reka bentuk inovatif. Interaksi bersama pelajar tempatan SIT pula membuka ruang pertukaran budaya dan wacana akademik, sekali gus memperkukuh jaringan komuniti global mahasiswa.
Dalam masa yang sama, pelajar UTM turut menyampaikan ilmu kepimpinan secara formal melalui sesi perkongsian yang terancang. Dalam sesi tersebut, mereka menghuraikan prinsip asas kepimpinan, pengalaman mengurus organisasi pelajar serta strategi pengurusan acara yang telah membantu mereka mencapai pelbagai kejayaan di peringkat universiti. Perkongsian ini turut merangkumi model kepimpinan yang diamalkan, kaedah membina kompetensi dalam kalangan mahasiswa serta pendekatan kolaboratif yang digunakan dalam melaksanakan program dan pengurusan organisasi. Sesi penyampaian ilmu ini dijalankan melalui pembentangan yang tersusun dan sebuah sesi formal yang memberi ruang pertukaran pandangan secara dua hala, sekali gus memperlihatkan elemen pemindahan ilmu yang jelas dalam program tersebut.

Secara keseluruhan, ASUNA 4.0 bukan sekadar program mobiliti pelajar, tetapi sebuah platform strategik yang mengintegrasikan kolaborasi akademik, keterlibatan komuniti antarabangsa dan aspirasi global UTM. Pendedahan menyeluruh sepanjang program berjaya memperkaya perspektif peserta, meningkatkan keyakinan diri serta membuka peluang kerjasama masa hadapan bersama institusi dan agensi antarabangsa. Program ini mencerminkan komitmen UTM dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan sekali gus mengangkat universiti sebagai institusi pendidikan berimpak global.