January 4, 2026

UTM dan SRIAS Senawang pupuk minat STEM melalui program robotik dan percetakan 3D

SENAWANG, 29 Okt – Program Hari Robotik Reka Cipta 3D dengan tema “Murid Celik, Teknologi Hebat!” berlangsung meriah di Sekolah Rendah Islam As-Sa’idiyyah (SRIAS), Senawang, sebagai inisiatif memperkasa minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran berasaskan inovasi, robotik dan percetakan 3D.

Program hasil kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan SRIAS Senawang ini menghimpunkan hampir 200 murid yang terdiri daripada 190 murid SRIAS dan lapan murid jemputan dari Sekolah Kebangsaan Bongek, Rembau, selain disertai guru-guru kedua-dua sekolah. Suasana program penuh keceriaan dengan pelbagai aktiviti interaktif dan demonstrasi yang memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada para peserta.

Murid pelbagai tingkatan menyertai sambutan “Hari Robotik & Reka Cipta 3D – Murid Celik, Teknologi Hebat!” di Dataran SRIAS

Sepanjang program, pelbagai pertandingan dan bengkel interaktif dijalankan, termasuk aktiviti menggunakan robot ZOOM:BIT dan AiRobotik yang menguji daya kreativiti serta kemahiran menyelesaikan masalah murid. Peserta terdiri daripada murid Tahun 4 hingga Tahun 6, termasuk 25 ahli Kelab Robotik SRIAS, menonjolkan semangat tinggi dalam meneroka teknologi automasi dan asas pengaturcaraan dengan bimbingan tenaga pakar.

Barisan robot ZOOM:BIT disediakan untuk demonstrasi pengaturcaraan yang memperkenalkan konsep penderia dan pergerakan asas kepada murid

Selain itu, bengkel reka bentuk dan cetakan 3D turut menarik perhatian apabila murid diberi peluang menghasilkan rekaan sendiri menggunakan pencetak 3D sekolah. Antara hasil kreatif yang dihasilkan termasuk pen bekas, rantai kunci, dan pelbagai barangan lain yang kemudiannya dijual. Aktiviti ini berjaya mengutip lebih RM2,000, sekaligus membuktikan keberkesanan pembelajaran berasaskan projek dalam membentuk semangat keusahawanan dan daya cipta sejak di bangku sekolah.

Murid SRIAS dan SK Bongek beraksi di gelanggang cabaran sambil mengawal robot AiRobotik untuk melengkapkan tugasan

UTM turut memainkan peranan penting melalui penglibatan beberapa tenaga pakar seperti Dr. Aishah Rosli dari UTM Skudai, Dr. Noor Ayuma Mat Tahir dari UTM MJIIT, serta Dr. Ahmad Akmaluddin Mazlan dari USIM bersama dua pelajar beliau sebagai fasilitator. Turut membantu menjayakan program ini ialah enam pelajar pascasiswazah Persatuan Siswazah Pascasiswazah (PGSS) Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UTM yang bertanggungjawab dalam penyelarasan aktiviti robotik dan bimbingan teknikal.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Prof. Dr. Kahar Osman, bekas pensyarah UTM Skudai yang juga bertindak sebagai penasihat program. Beliau menegaskan bahawa pendedahan awal terhadap teknologi canggih amat penting dalam melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja celik teknologi, malah mampu berdaya saing dalam era digital yang pesat berkembang.

Barisan pensyarah, penasihat, fasilitator dan guru SRIAS bergambar kenangan selepas majlis penutup program

Guru-guru SRIAS turut melahirkan penghargaan atas usaha ini yang bukan sahaja menanam minat murid terhadap STEM, malah memperkukuh kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi, kolaborasi dan pemikiran kritikal. Murid pula menunjukkan keterujaan mengendalikan robot sebenar serta menyaksikan idea mereka direalisasikan melalui pencetak 3D.

Penganjuran Hari Robotik Reka Cipta 3D ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperluas jalinan kerjasama universiti-sekolah bagi melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif, berinovasi dan celik teknologi. Usaha seperti ini juga sejajar dengan aspirasi UTM untuk memperkasa komuniti melalui pendidikan berimpak tinggi yang menggabungkan inovasi, pembelajaran berasaskan projek dan teknologi digital bagi melahirkan modal insan yang kompeten untuk masa hadapan.

Explore More

UTM Open Day