JOHOR BAHRU, 8 Okt. — Projek inovasi pengajaran dan pembelajaran yang dibangunkan oleh sekumpulan pensyarah dan pelajar dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah berjaya meraih Pingat Emas dalam pertandingan Inovasi Pembelajaran Akademia Baharu (NALI) 2025.
Projek yang dinamakan “Integrasi Inovasi: Pendekatan Berpusatkan Pelajar dalam Kursus Bimbingan dan Kaunseling” ini diketuai oleh Dr. Nur Azmina Paslan, bersama Prof. Madya Dr. Mastura Mahfar, Dr. Fauziah Zaiden, Dr. Jamaludin Ramli, serta penyelidik bersama Fatimah Solehah Mukram.
Kejayaan pasukan ini sekali lagi membuktikan keupayaan FEST UTM dalam memperkenalkan pendekatan pembelajaran inovatif yang selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Inovasi ini memberi tumpuan kepada strategi pembelajaran aktif berasaskan pendekatan double-loop learning, iaitu satu kaedah yang mendorong pelajar meneroka, menilai semula, menambah baik dan mengembangkan pemahaman mereka melalui proses refleksi mendalam. Pendekatan ini turut memperkukuh aspek pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah dalam konteks sebenar.
Pelaksanaan projek melibatkan pelbagai kaedah interaktif seperti simulasi praktikal, aktiviti main peranan, perbincangan kumpulan serta penggunaan teknologi digital berimpak tinggi seperti Padlet, Kahoot, Mentimeter, Slido, Canva dan platform rakaman video. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik, tetapi juga memperluas keterlibatan pelajar secara aktif dalam persekitaran kolaboratif dan berasaskan pengalaman sebenar.

Melalui kaedah inovatif ini, pelajar bukan sahaja memperoleh kemahiran akademik, malah turut membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta keupayaan kaunseling secara autentik. Dapatan kajian menunjukkan penerapan teknologi digital dalam kursus tersebut meningkatkan tahap motivasi dan minat pelajar secara signifikan di samping memupuk kreativiti serta kemahiran penyelesaian masalah dalam situasi sebenar.

Projek ini menepati komponen utama penilaian NALI yang menekankan aspek keaslian, kreativiti, inovasi, kebolehgunaan dan impak, menjadikannya model pengajaran yang efektif serta berpotensi untuk diterapkan di pelbagai institusi pendidikan. Ia turut menyokong agenda Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) melalui penyediaan strategi pengajaran yang fleksibel, inklusif dan responsif terhadap pelajar dengan pelbagai latar belakang.
Menariknya, inovasi ini turut berpotensi dikembangkan dalam bentuk modul Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) interaktif melalui platform Massive Open Online Course (MOOC) dan Micro-credential, sekali gus membuka peluang kepada pensyarah dan pelajar dari pelbagai institusi untuk mengadaptasi model ini dalam konteks masing-masing. Pembangunan lanjut turut disasarkan ke arah pembentukan perisian latihan profesional bagi institusi pendidikan dan organisasi pembangunan kemahiran insaniah.

Menurut Ketua Projek, Dr. Nur Azmina Paslan, kejayaan ini membuktikan bahawa inovasi dalam pengajaran bukan sekadar memperbaharui teknik penyampaian, tetapi membina pengalaman pembelajaran yang bermakna dan berimpak jangka panjang terhadap pembangunan sahsiah serta profesionalisme pelajar.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar mampu memperkukuh kompetensi bakal Guru Pembimbing dalam mendepani cabaran semasa termasuk isu kesihatan mental dan kesejahteraan emosi.
Secara keseluruhan, dengan visi “Bimbingan dan Kaunseling Berasaskan Inovasi, Menyemai Daya Tahan & Menyubur Empati,” projek ini diyakini akan terus memberi sumbangan besar dalam memperkasa ekosistem pendidikan negara melalui gabungan inovasi, teknologi dan nilai kemanusiaan.