KULAI, 28 Okt – Program Bengkel Perpindahan Ilmu STEM Pelestarian Landskap Menerusi Teknologi Simenfero Menggunakan Bahan Buangan Terpakai yang dianjurkan oleh Kelab Riverdale Kolej Rahman Putra (KRP) berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit, Kulai.
Program ini menjadi simbol kerjasama erat antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah berkenaan dalam usaha memperkukuh pendidikan inklusif berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Bengkel berkenaan ditaja oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM dan dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa pertama bermula pada 25 Oktober di Kolej Rahman Putra, UTM, melibatkan aktiviti pemanas badan oleh mahasiswa KRP yang bertindak sebagai urus setia. Pada peringkat ini, mereka menyiapkan produk separa siap bagi kegunaan sesi praktikal di sekolah. Fasa kedua pula berlangsung pada 28 Oktober di SMK Kelapa Sawit dengan penglibatan seramai 26 murid PPKI serta 18 mahasiswa KRP sebagai tenaga pelaksana utama.

Menurut Pengarah Program, Ammar Raziq Shahrizal, bengkel ini berhasrat membudayakan pendidikan STEM dalam kalangan murid berkeperluan khas melalui pendekatan hands-on yang menyeronokkan, selamat dan kreatif.
“Kami ingin merapatkan jurang antara teori akademik dan aplikasi praktikal, di samping memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika ditemui.
Barisan fasilitator program diketuai oleh Ts. Mohd Hazri Ishak, dibantu lima fasilitator berpengalaman iaitu Mohd Haidi Samsuri, Zamree Rahmat, Mohd Kamarul Ashraf Rahmat, Mohamad Firdaus Zainaluddin dan Nurizzham Jamil.
Program dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan menyeluruh sebelum peserta mengikuti demonstrasi bancuhan pasir dan pembuatan produk simenfero. Inovasi ini menggabungkan elemen bahan buangan seperti habuk kayu kasar sebagai bahan tambahan dalam bancuhan simen. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan kemahiran teknikal asas, malah mengajar murid tentang pengurusan bahan buangan dan pentingnya konsep kelestarian dalam kehidupan seharian.
Hasil daripada bengkel ini, peserta berjaya menghasilkan dua set meja landskap simenfero dan lapan set cendawan mini hiasan yang kemudiannya ditempatkan di laman PPKI sekolah sebagai kemudahan kekal dan simbol kejayaan kolaborasi universiti–komuniti.
Kejayaan program turut disaksikan oleh Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Siti Aini Hamzah, GPK Pendidikan Khas, YM Ungku Natassa Ungku Mohamad Najib, serta Guru PPKI merangkap penyelaras program, Mohamad Fazrul Rizman Bahsri. Turut hadir ialah Muhammad Hanafi Md Sah, pegawai pemantau daripada CCIN UTM.
Menurut Siti Aini, program ini memberikan impak besar terhadap perkembangan sahsiah dan kemahiran murid PPKI.
“Kami amat terharu menyaksikan semangat kerjasama antara mahasiswa UTM dengan murid-murid kami. Produk yang dihasilkan bukan sahaja bermutu tinggi, malah mempunyai nilai sentimental yang mendalam bagi sekolah,” ujarnya.


Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program seumpama pada masa hadapan, khususnya yang melibatkan pelajar berkeperluan khas.
“Impian kami adalah melihat setiap murid berkeperluan khas mendapat peluang sama rata untuk menikmati pendidikan STEM yang berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa,” tambah Ammar Raziq.
Kejayaan bengkel ini membuktikan bahawa dengan pendekatan yang betul, pendidikan inklusif mampu melahirkan generasi celik teknologi, berdaya saing, dan peka terhadap kelestarian alam sekitar.