September 27, 2025

UTM Hulur Sumbangan & Sokongan Kepada Bakal Mahasiswi

BATU KURAU, 25 Sept. – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkesempatan menziarahi Saudari Siti Nurjahirah binti Mohd Hassan di kediamannya di Redang Panjang, Batu Kurau, Perak. Beliau merupakan lepasan matrikulasi yang bakal mendaftar sebagai pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di UTM pada 28 September ini.

Saudari Nurjahirah, anak keempat daripada lima beradik, berasal daripada keluarga yang sederhana. Ayahnya bekerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan, manakala ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa. Kakaknya yang bekerja di Pulau Pinang menetap di kampung untuk menjaga ibu yang kini berkerusi roda serta membantu menguruskan cucu sulung keluarga. Abangnya pula sedang mengikuti pengajian tahun akhir dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Meskipun berdepan cabaran kewangan, Saudari Nurjahirah tetap menunjukkan semangat luar biasa untuk melanjutkan pelajaran. Kejayaan beliau di peringkat matrikulasi membuktikan potensi besar untuk terus cemerlang sebagai mahasiswa UTM.

Dalam kunjungan tersebut, Naib Canselor turut menyampaikan sumbangan daripada pihak UTM sebagai tanda sokongan agar Saudari Nurjahirah dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian.

“UTM bertekad memastikan pelajar seperti Adik Nurjahirah sentiasa mendapat sokongan sewajarnya – melalui bantuan zakat, Program Bantuan Makanan Because We Care Chancellor Fund (BWCCF), kemudahan penginapan serta pelbagai inisiatif kebajikan yang lain,” ujar beliau.

Naib Canselor turut menyeru mana-mana pelajar yang memerlukan agar tidak segan untuk menghubungi pihak universiti.

“Insya-Allah, UTM sentiasa bersedia membantu demi memastikan tiada anak bangsa yang tercicir dalam mengejar ilmu,” tambah beliau.

UTM mendoakan agar langkah awal Saudari Nurjahirah menempuh perjalanan ilmu di universiti kelak diberkati, menjadi inspirasi kepada rakan-rakan mahasiswa, dan akhirnya pulang sebagai graduan yang membawa sinar kebahagiaan kepada keluarga, masyarakat, dan negara.

Serahan sumbangan oleh Naib Canselor kepada Saudari Nurjahirah
Berita ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Naib Canselor

Explore More