October 4, 2025

UTM capai kebolehpasaran graduan 100 peratus selama dua tahun berturut-turut

JOHOR BAHRU, 21 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatatkan pencapaian yang membanggakan apabila berjaya mencapai kadar kebolehpasaran graduan (GE) sebanyak 100 peratus selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2023 dan 2024. Prestasi cemerlang ini menandakan keberkesanan usaha universiti ini di dalam memastikan graduan yang dikeluarkan mampu mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian. Pengarah Pusat Kerjaya UTM (UTMCC), Dr. Suhaila Mohamad Yusuf berkata pencapaian ini adalah hasil daripada pelbagai inis iatif strategik yang dilaksanakan oleh pusat tersebut dengan sokongan padu melalui sinergi bersama fakulti, Sekolah Pengajian Prasiswazah serta unit lain di UTM.

Sesi pertemuan (engagement) dengan pihak industri anjuran UTMCC. Sesi ini bertujuan untuk membolehkan pihak mahasiswa khasnya tahun akhir untuk berhubungan terus dengan pihak majikan industri dan mengetahui keperluan semasa alam pekerjaan

Dr. Suhaila berkata, salah satu langkah utama adalah memastikan setiap graduan yang tamat pengajian mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG). Sistem ini membolehkan pihak universiti memantau perjalanan kerjaya graduan mereka dan mendapatkan maklumat tepat mengenai status pekerjaan selepas tamat pengajian.

“UTM mempunyai modul khas berbentuk ‘career readiness’ yang dinamakan Talent & Competency Management (TCM), iaitu kursus wajib yang perlu diikuti oleh semua pelajar tahun akhir bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran kerjaya sebelum bergraduasi. Antara pengisian yang diberikan adalah bengkel penulisan resume, latihan temuduga serta latihan kemahiran yang memberi pendedahan praktikal kepada pelajar berkenaan dengan keperluan memasuki alam pekerjaan.

“Tidak berhenti sekadar melahirkan graduan cemerlang, UTM turut memperkenalkan program upskilling bernilai tambah tinggi yang direka seiring dengan permintaan industri. Inisiatif ini memastikan graduan yang masih mencari pekerjaan dilengkapi kemahiran terkini yang benar-benar dicari majikan,” katanya.

Melalui pendekatan ini, graduan tidak hanya bergantung kepada pengetahuan akademik sahaja, tetapi juga mempunyai kemahiran praktikal yang diperlukan oleh majikan pada masa kini.

Karnival Kerjaya anjuran UTMCC. Program ini menjemput rakan-rakan kolaborasi strategik dari industri untuk menjalankan temuduga kerjaya serta memberikan pendedahan ringkas mengenai prospek kerjaya di syarikat masing-masing

Beliau diwawancara di pejabatnya sempena Hari Belia Antarabangsa (International Youth Day) 2025 oleh Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS).

Menurutnya lagi, UTM juga aktif menjalinkan kerjasama dengan industri dan pihak berkepentingan lain.

“Melalui program kerjasama ini, pelajar berpeluang menjalani latihan industri dan mendapatkan pengalaman kerja secara langsung sebelum menamatkan pengajian. Usaha ini terbukti berkesan kerana ia memberikan graduan kelebihan kompetitif dan meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian,” katanya.

UTM turut memperkenalkan program upskilling bernilai tambah tinggi yang direka seiring dengan permintaan industri. Inisiatif ini memastikan graduan yang masih mencari pekerjaan dilengkapi kemahiran terkini yang benar-benar dicari majikan. Dr. Suhaila (dua kanan) menyertai sesi ini bagi memantau sendiri keberkesanan program ini dalam menyediakan graduan yang bakal memasuki alam pekerjaan

Dr. Suhaila turut menekankan bahawa peranan kerjasama antara universiti dan industri amat penting dalam memastikan  kadar kebolehpasaran graduan dapat dikekalkan dalam paras yang tertinggi.

“UTM sentiasa mengemas kini kurikulum mengikut keperluan semasa industri dan memastikan pelajar dilengkapi dengan kemahiran yang relevan. Selain itu, pihak universiti turut memperkukuh jaringan dengan syarikat-syarikat utama dan agensi pekerjaan bagi memudahkan penempatan graduan.

“Sebagai kesimpulannya, segala usaha ini membuktikan bahawa UTM amat komited dalam memastikan graduan yang dikeluarkan bukan sahaja berilmu tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan,” ujarnya menutup perbualan.

Pencapaian ini diharap menjadi inspirasi kepada institusi pendidikan tinggi lain untuk meningkatkan mutu dan keberkesanan program mereka dalam membentuk graduan yang berkualiti tinggi.

Kolaborasi strategik antara UTMCC, fakulti dan industri dalam sektor penempatan graduan selepas tamat pengajian, Kolaborasi ini membolehkan pihak industri mengenal pasti bidang pengajian/graduan yang sesuai untuk dipadankan dengan kekosongan jawatan di syarikat masing-masing

Hari Belia Antarabangsa ialah hari yang disambut setiap tahun pada 12 Ogos untuk memperingati dan menghormati sumbangan golongan muda di seluruh dunia. Sambutan Hari Belia ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi generasi muda dan mempromosikan penglibatan mereka dalam pembangunan sosial, ekonomi dan politik. Setiap tahun, tema yang berbeza dipilih untuk mengetengahkan isu penting yang berkaitan dengan belia seperti pendidikan, pekerjaan, kesihatan mental dan hak asasi manusia.

Tahap kebolehpasaran pekerjaan yang tinggi untuk sesebuah universiti adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-4 (Pendidikan Berkualiti) dan Ke-8 (Kerja Layak dan Pertumbuhan Ekonomi). SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dalam menggalakkan pendidikan berkualiti tinggi dan relevan untuk menyediakan graduan yang bersedia menghadapi alam pekerjaan. Manakala SDG 8 (Pekerjaan  yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi) memberi fokus kepada penciptaan peluang pekerjaan yang berkualiti dan memastikan graduan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang stabil. Tahap kebolehpasaran kerja yang tinggi menunjukkan keberkesanan universiti dalam menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam pasaran kerja, selaras dengan matlamat tersebut.

Explore More