October 11, 2025

Program KTP RIG 2025 UTM perkasa komuniti sekolah dengan AI

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) menganjurkan program komuniti bertajuk Transformasi Pendidikan melalui Kesedaran dan Kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) dalam Komuniti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak dengan sub-projek Penggunaan Alatan AI di Kalangan Guru dalam Pengajaran dan Penyediaan Bahan Pembelajaran. Sesi berasaskan hands-on selama satu hari di Bilik Mesyuarat SMK Padang Tembak ini dihadiri 53 orang guru dan diketuai oleh Ts. Dr. Normaisharah Mamat, dengan penglibatan penceramah dari UTM, Dr. Siti Amirah Othman serta Saiful Zahrin Azmuddin sebagai penceramah industri Ultrack Technology Sdn. Bhd. (TrackerHero).

Sesi penerangan bagi modul-modul yang diberikan
Sesi perkongsian mengenai AI dari industri

Inisiatif ini disokong oleh Geran Inovasi Penyelidikan-Program Pemindahan Ilmu (KTP-RIG) 2025 yang memfokuskan penyelesaian isu kekangan masa menyediakan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan keperluan kandungan yang lebih interaktif. Latihan menumpukan kemahiran prompting, pemilihan serta penggunaan alatan AI secara beretika, dan modul mikro meliputi penjanaan bahan pengajaran seperti nota ringkas, bank soalan, rubrik dan imej menggunakan pelbagai alatan AI, penggunaan NotebookLM sebagai pusat rujukan pintar berasaskan dokumen bagi menghasilkan ringkasan, peta minda, podcast dan video, serta penghasilan slaid pintar dan visual atau animasi ringkas yang boleh terus digunakan di bilik darjah dengan alternatif seperti Copilot, Canva, dan Gamma.

Penceramah membantu guru-guru menggunakan alatan AI
Guru-guru menunjukkan penjanaaan realistik imej menggunakan alatan AI

Antara kebaikan kepada guru yang dikenal pasti ialah penjimatan masa persediaan PdP, peningkatan kualiti dan interaktiviti pengajaran, sokongan pembelajaran melalui ringkasan, peta minda dan audio naratif, pengukuhan penilaian formatif melalui rubrik dan bank soalan yang lebih tersusun, serta peningkatan keyakinan dan literasi AI untuk tugasan seharian. Hasil bengkel menunjukkan peserta berjaya menghasilkan Modul Pembelajaran Berasaskan AI yang merangkumi nota, slaid, visual atau animasi dan audio naratif yang siap untuk digunakan.

Libatsama industri (TrackerHero) bagi menyampaikan pengenalan kepada AI

Kesan positif turut dizahirkan melalui komen salah seorang peserta, iaitu Siti Rohani Yusoff. “Pengalaman baru dan menerima sesuatu yang baru yang boleh diaplikasi dalam PdP.” Seorang lagi peserta, Roslina Yusof berkongsi, “Setelah menyertai program ini, saya berasa sangat beruntung kerana berpeluang mempelajari pelbagai aplikasi dan potensi penggunaan alatan AI dalam pengajaran. Program ini membuka minda saya bahawa AI bukan sekadar teknologi baharu, tetapi juga satu instrumen yang mampu menjadikan proses PdP lebih interaktif, kreatif dan menjimatkan masa.”

UTM kekal komited memperluas pemindahan ilmu dan kerjasama industri bagi memperkasa komuniti sekolah melalui adopsi AI yang bertanggungjawab serta berimpak.

Oleh Ts. Dr. Normaisharah Mamat dan Dr. Siti Maherah Hussin

Explore More