October 4, 2025

JOHOR BAHRU, 16 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi memperkukuh usaha membina keseimbangan antara kecergasan jasmani dan kekuatan rohani melalui penganjuran SPACE Sport Day 2025. Program tahunan ini menjadi wadah penting bukan sahaja untuk menguji ketahanan fizikal, malah turut menyemai kepimpinan, disiplin dan semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa.

Acara gilang-gemilang yang berlangsung di Stadium dan Kompleks Arena UTM ini menghimpunkan lebih 1,100 pelajar Asasi dan Diploma UTM SPACE, menjadikannya antara acara terbesar dalam takwim ko-kurikulum universiti. Penganjuran kali ini diterajui oleh Kolej 9 & 10 dengan sokongan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) serta Fakulti SPACE, sebagai kesinambungan daripada Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) SPACE 2025. Matlamatnya adalah menyemarakkan budaya kesukanan, menggalakkan gaya hidup aktif dan mempererat ukhuwah warga kampus.

Pelajar SPACE UTM Johor Bahru aktif menyertai acara sukaneka sempena SPACE Sport Day 2025

Sesi senamrobik beramai-ramai menjadi pemanas acara sebelum majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penglibatan mahasiswa dalam sukan adalah medan penting untuk membina sahsiah. “Penglibatan aktif dalam sukan ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menitikberatkan keseimbangan antara intelek, emosi, rohani dan jasmani. Sukan melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berintegriti, berdaya saing dan bersahsiah tinggi, seiring dengan aspirasi enVision UTM 2025 serta visi universiti menjadi bertaraf dunia,” ujar beliau.

Tirai pertandingan dibuka dengan acara Fun Run sejauh 3 kilometer yang membawa peserta menyusuri laluan sekitar kampus. Larian ini bukan sekadar menguji stamina, malah menjadi simbol langkah bersama dalam membina komuniti yang bersatu dan bertenaga.

Acara Fun Run 3KM membuka tirai pertandingan

Selepas larian, acara sukan utama seperti bola jaring, bola tampar campuran, futsal dan sukaneka berlangsung serentak. Sorakan penyokong bergema di segenap penjuru, mewujudkan suasana penuh keakraban dan semangat kesukanan. Acara sukaneka yang kreatif seperti bola beracun, larian dalam kain pelikat, passing bola ping pong serta isi air dalam cawan dan botol bukan sahaja menguji kerjasama, malah mengeratkan hubungan sesama peserta.

Penglibatan aktif pelajar dalam SPACE Sport Day 2025 mencerminkan semangat kesukanan dan kebersamaan warga UTM

Pengarah program, Muhammad Hafizuddin Ripin, menyatakan bahawa SPACE Sport Day bukan sekadar medan kecergasan, malah ruang untuk pelajar mengasah kemahiran insaniah. “Setiap aktiviti dirancang agar mahasiswa dapat belajar tentang kepimpinan, komunikasi berkesan dan toleransi, nilai-nilai penting yang membentuk mereka sebagai insan holistik pasca universiti,” katanya.

Penglibatan Majlis Felow, staf kolej serta sukarelawan turut memainkan peranan besar dalam memastikan kelancaran acara. Kehadiran mereka bukan sahaja membantu dari segi teknikal, malah mengukuhkan hubungan erat antara pelajar dan pihak pengurusan. Lebih daripada itu, SPACE Sport Day membawa mesej bahawa kesejahteraan kampus bermula dengan tubuh yang sihat, minda yang cerdas dan komuniti yang saling menyokong.

Program ini turut mencapai objektifnya dalam menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa, meningkatkan kecergasan dan gaya hidup sihat, memperkukuh hubungan silaturahim antara pelajar, felow serta staf kolej, di samping memberi ruang kepada pelajar mengasah kemahiran insaniah melalui aktiviti berstruktur.

Pihak penganjur turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang menjayakan program ini serta berharap agar SPACE Sport Day kekal menjadi tradisi tahunan yang bukan sahaja mengukuhkan budaya hidup sihat, malah membina jati diri mahasiswa UTM SPACE sebagai generasi berilmu, berdisiplin dan berdaya saing, siap memimpin masa depan dengan jasad yang cergas serta minda yang cerdas.

Explore More