ISKANDAR PUTERI, 16 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkasa komuniti menerusi program latihan berasaskan kemahiran dengan pendekatan teknologi semasa. Terbaharu, seramai 35 peserta wanita dari kawasan sekitar Iskandar Puteri telah menyertai Kursus Asas Keusahawanan: Pemasaran Digital menggunakan Platform Sosial Media, anjuran bersama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) dan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM.
Majlis penutupan program yang diadakan di Dewan Seminar YPIP telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Pandak Haji Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada UTM dan YPIP atas usaha berterusan membangunkan potensi masyarakat setempat.
“Kami di MBIP (Majlis Bandaraya Iskandar Puteri) amat menghargai kerjasama strategik seperti ini. Latihan keusahawanan digital bukan sekadar meningkatkan kemahiran, malah memperkukuh jati diri dan daya saing komuniti khususnya wanita dalam era ekonomi digital. Usaha ini sangat signifikan dalam menjayakan aspirasi Johor sebagai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” ujar Datuk Pandak.

Kemahiran Digital Sebagai Aset Komuniti Mampan
Program intensif sehari itu telah dikendalikan oleh Dr. Muhammad Khair Noordin dari UTM dan memberi fokus kepada strategi pemasaran digital melalui platform WhatsApp, Telegram, TikTok, Facebook dan Threads. Antara kandungan yang ditekankan termasuklah pembinaan profil pelanggan ideal (ICP), penulisan mesej jualan yang berkesan, penggunaan chatbot, dan pembangunan aliran mikro (micro-funnel) dari kesedaran pelanggan hingga ke penutupan jualan. Peserta turut diajar untuk menetapkan matlamat perniagaan, merangka kandungan bernilai, serta menggunakan alat digital untuk meningkatkan interaksi dengan pelanggan secara sah dan patuh kepada garis panduan etika digital.
“Latihan ini memberi saya perspektif baharu dalam menguruskan perniagaan kecil. Saya kini tahu bagaimana untuk menggunakan media sosial secara strategik, mengurus pelanggan, dan membuat jualan tanpa perlu bergantung kepada kos iklan yang tinggi,” kata Rina, salah seorang peserta daripada Taman Universiti.

Perpaduan Komuniti Melalui Ilmu & Digitalisasi
Apa yang lebih membanggakan, program ini telah mengumpulkan peserta pelbagai kaum dan latar belakang dalam satu sesi pembelajaran kolaboratif harmoni yang mencerminkan semangat perpaduan komuniti Madani Sejati yang inklusif dan progresif.

Menurut ketua program, Prof. Madya Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali, pembangunan komuniti wanita adalah tonggak penting dalam strategi pengupayaan sosioekonomi setempat.
“Latihan TVET hari ini perlu berkembang seiring dengan perubahan landskap sosial dan ekonomi. Komuniti masa kini memerlukan kemahiran yang bersifat adaptif seperti literasi digital, pengurusan data, penggunaan platform teknologi, dan keusahawanan kreatif untuk terus relevan dalam dunia yang semakin berpusat kepada teknologi. Latihan sebegini bukan sahaja melengkapkan individu dengan kemahiran teknikal, tetapi juga membina keupayaan mereka untuk mencipta peluang, meningkatkan taraf hidup, dan menjadi agen pembangunan di peringkat akar umbi,” jelas beliau.
Program seumpama ini juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara kaum melalui kolaborasi lintas komuniti, serta mendukung agenda perpaduan nasional yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI. Tambahan pula, ia seiring dengan hala tuju negeri Johor yang sedang melangkah ke fasa baharu sebagai JS-SEZ, yang memerlukan rakyat tempatan yang cekap, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat serantau.
Adalah diharapkan agar program latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak seperti ini dapat diteruskan dan diperluas ke komuniti-komuniti lain sebagai satu ekosistem pembangunan bersepadu antara universiti, kerajaan tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat. Kejayaan ini menjadi bukti bahawa pelaburan dalam pendidikan kemahiran bukan sahaja mengubah individu, tetapi juga membina masyarakat yang lebih progresif dan bersatu.