GERIK, 8 Ogos – Suasana Kampung Plang, Gerik, Perak, hari ini cukup meriah dengan pelancaran rasmi Kampung Angkat Madani pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YBhg Dato’ Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang turut dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti di kampung ini.
Kampung Plang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Gerik, dikelilingi kehijauan hutan simpan dan kawasan pertanian penduduk. Suasana kampung yang damai serta masyarakatnya yang mesra menjadikan ia lokasi sesuai untuk melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti secara inklusif.
Bagi Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, pelaksanaan program ini amat bermakna kerana beliau sendiri berasal dari Kampung Padang, Gerik, yang tidak jauh dari lokasi program.
Menurut beliau, inisiatif ini memberi peluang kepada universiti untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan masyarakat luar bandar di daerah kelahirannya.
“Bagi saya, ini bukan sekadar projek pembangunan fizikal, tetapi usaha membina jaringan hubungan, mengukuhkan silaturahim, dan memberi impak yang berterusan kepada komuniti,” ujar beliau ketika ditemui selepas majlis pelancaran.
Program Kampung Angkat Madani di Kampung Plang berlangsung selama lima hari, dari 6 hingga 9 Ogos 2025, dengan penglibatan aktif warga UTM dan komuniti setempat.
Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk program anak angkat yang membolehkan warga UTM tinggal bersama keluarga angkat di kampung, sukan rakyat yang menghidupkan permainan tradisional dan aktiviti riadah, gotong-royong membersihkan kawasan kampung, kenduri rakyat yang menyatukan penduduk setempat, serta program Ziarah Kasih ke rumah warga emas dan keluarga memerlukan.
Penduduk kampung menyambut baik inisiatif ini, malah ramai yang menyatakan rasa terharu kerana kampung mereka dipilih sebagai lokasi pertama program Kampung Angkat Madani UTM.
Pelaksanaan inisiatif ini selari dengan aspirasi UTM untuk menjayakan agenda pembangunan inklusif negara berteraskan nilai Kerana Tuhan Untuk Manusia, dan Menginovasi Penyelesaian Lestari.
UTM komited untuk memastikan hubungan yang terjalin akan terus diperkukuh dan manfaat program ini dapat dinikmati secara berterusan oleh komuniti Kampung Plang.
Impak dari program ini akan memastikan inisiatif yang UTM ambil akan memperkasa komuniti dan seterusnya mencipta transformasi untuk masyarakat.