KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) hari ini mengiktiraf sumbangan cemerlang Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang juga mantan Naib Canselor UTM ke-5, dalam bidang kejuruteraan menerusi penganugerah berprestij, Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2025. Pengiktirafan berkenaan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusuf sempena Makan Malam Penganugerahan dan Penghargaan LJM 2025 yang berlangsung di The Vertical, Connexion Conference and Event Centre, Kuala Lumpur.
Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2025 diwujudkan bagi mengiktiraf jurutera yang bukan sahaja menyumbang dalam pembangunan bidang kejuruteraan, malah turut memberikan khidmat bakti luar biasa dalam pembangunan negara.
Dato’ Seri Zaini Ujang, menerajui Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari tahun 2008 hingga 2013, pernah mencatat sejarah sebagai Naib Canselor termuda universiti ini yang kemudiannya terus melakar perjalanan karier yang cemerlang apabila dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) di beberapa kementerian utama negara, antaranya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Kesihatan Malaysia; sebelum bersara sebagai KSU Kementerian Pendidikan Tinggi pada 1 Mac 2025.
Selain kepimpinan dalam sektor kerajaan dan akademia, beliau turut diiktiraf sebagai pakar dalam bidang kejuruteraan alam sekitar. Sebagai Jurutera Profesional, Dato’ Seri Zaini Ujang banyak menyumbang kepakaran dalam bidang rawatan air dan sisa, di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif lestari yang menyokong agenda hijau negara.
Memulakan kerjaya sebagai Penolong Pensyarah UTM pada tahun 1988, beliau melanjutkan pengajian ke Newcastle University, United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar sehingga memperoleh Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Sekembalinya ke tanah air pada 1996, beliau menyertai Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA), UTM. Tidak lama kemudian, beliau diberi kepercayaan sebagai pegawai khas di Pejabat Menteri Pendidikan, di mana beliau terlibat dalam perancangan penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta penggubalan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
Sumbangan beliau tidak terhad dalam bidang pentadbiran dan akademik semata-mata. Beliau merupakan penulis prolifik dengan lebih 51 buku, 300 kertas akademik dan 2,000 artikel media massa, selain mendaftarkan 21 harta intelek. Keunikan beliau terserlah apabila turut bergiat aktif sebagai penyair dengan karya bertemakan alam, menjadikannya tokoh yang menyatukan sains, teknologi, dan seni dalam satu kepribadian.
Dalam ucapan ringkasnya, Dato’ Seri Zaini menzahirkan penghargaan atas penganugerahan ini yang dianggap sebagai simbolik komitmen dan dedikasi seluruh ahli bidang kejuruteraan khususnya di negara ini.

“Pengiktirafan ini saya dedikasikan kepada seluruh warga kejuruteraan, akademia terutamanya UTM, dan pentadbiran awam, yang telah bersama-sama saya membangunkan negara membangunkan kepakaran dalam pelbagai disiplin kejuruteraan. Saya berharap lebih ramai anak muda menceburi bidang kejuruteraan kerana impaknya besar kepada kemajuan negara,” katanya.
Penganugerahan Tokoh Kejuruteraan Negara 2025 kepada Dato’ Seri Zaini menjadi bukti nyata terhadap jasa, kepakaran dan dedikasi beliau yang melangkaui batas bidang kejuruteraan, seterusnya meletakkan Malaysia pada landasan kukuh dalam pembangunan teknologi, pendidikan, dan kelestarian negara.
Untuk rekod, Dato’ Paduka Ir. Hj. Prof. (Dr) Keizrul Abdullah merupakan penerima Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara bagi tahun 2024.