Hampir setiap hari kita membaca atau mendengar berita tentang rakan sekerja, sahabat handai atau anak didik yang memenangi hadiah, pingat atau penghargaan atas hasil inovasi mereka dalam pelbagai pameran sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Persoalan tentang potensi pengkomersialan atau kejayaan meraih kemenangan bukanlah fokus utama yang ingin diketengahkan. Sebaliknya, semangat untuk berkongsi hasil inovasi dengan khalayak menjadi aspek yang jauh lebih penting. Para pempamer bukan sahaja berharap hasil inovasi mereka dipamerkan kepada pengunjung, malah mereka berharap dan ingin melihat hasil inovasi tersebut dimanfaatkan demi kebaikan masyarakat termasuklah murid sekolah dan masyarakat.
Pelbagai pameran inovasi dianjurkan di pelbagai peringkat dengan akronim dan konsep yang menarik. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) misalnya, Inovasi Pembelajaran Akademik Baharu (NALI) diadakan setiap tahun sebagai platform untuk ahli akademik, bukan sahaja dari UTM tetapi juga dari universiti seluruh Malaysia, berkongsi inovasi pengajaran mereka. Inovasi ini bukan sahaja memperkaya kaedah penyampaian kuliah malah memberi impak positif terhadap pembangunan pelbagai atribut mahasiswa. Lebih luas daripada itu, hasil inovasi pengajaran ini dapat memberikan nilai tambah sekiranya dikongsikan melalui platform yang berupaya meningkatkan capaian dan kesannya.
Dari aspek penyelidikan, Pameran dan Pertandingan Seni dan Teknologi Perindustrian (INATEX) yang dianjurkan setiap tahun oleh UTM menyediakan ruang bagi penyelidik mempamerkan hasil penyelidikan dan pembangunan mereka kepada masyarakat serta pihak industri sekali gus membuka peluang untuk pengkomersialan. Selain itu, setiap fakulti di UTM juga menganjurkan pameran tersendiri bagi menggalakkan penglibatan mahasiswa. Sebagai contoh, bertepatan dengan slogan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) iaitu “Menginovasi Pendidikan, Membentuk Masa Depan”, FEST menganjurkan Hari Inovasi FEST yang terbuka kepada semua mahasiswa, manakala Final Year Project (FYP) Symposium yang dianjurkan oleh Sekolah Pengajian Pra Siswazah memberi peluang kepada mahasiswa tahun akhir mempamerkan potensi mereka melalui projek penyelidikan.
Inovasi tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut penyelesaian isu berskala besar di peringkat negara. Sebaliknya, setiap bentuk inovasi walaupun dihasilkan oleh murid sekolah rendah atau menengah wajar diraikan. Semangat dan budaya berinovasi perlu dipupuk agar terus berkembang subur. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2024 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) iaitu di tangga ke-33 daripada 133 buah negara merupakan kedudukan terbaik sejak tahun 2016 dan meningkat berbanding tiga tahun sebelum ini.
Malah, pembangunan pemikiran kreatif dan inovatif telah ditekankan seawal peringkat Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahun Satu dan diteruskan di peringkat Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang memberi penekanan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Kejayaan enam pasukan inovasi Malaysia di Regeneron International Science and Engineering Fair (ISEF) 2025 di Ohio, Amerika Syarikat, pada 10 hingga 16 Mei 2025 yang lalu, membuktikan potensi besar generasi muda negara. Dengan penyertaan 14 murid sekolah menengah dalam lima kategori iaitu System Software, Cellular and Molecular Biology, Environmental Engineering, Material Science dan Energy: Sustainable Materials and Design, Malaysia berjaya meraih dua pingat Grand Awards dalam kategori Environmental Engineering serta satu Special Award dalam kategori System Software. Kejayaan ini satu daripada banyak lagi kejayaan lain yang dilakar oleh murid yang dipaparkan dalam media massa. Kejayaan sebegini wajar diraikan bukan sahaja di peringkat antarabangsa bahkan di semua peringkat termasuk sekolah, daerah dan negeri. Momentum semangat untuk berinovasi ini semakin sebati dalam jiwa rakyat Malaysia selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan potensi murid secara holistik yang perlu diserlahkan ke tahap yang optimum.
Budaya inovasi dalam kalangan mahasiswa universiti amat penting kerana mereka bakal melangkah ke alam pekerjaan yang mencabar. World Economic Forum 2025 menekankan atribut penting yang diperlukan tenaga kerja masa kini antaranya kemahiran kognitif, efikasi kendiri dan kemahiran interpersonal yang berada dalam lima kedudukan teratas. Majikan mengutamakan pekerja yang tangkas, inovatif dan kolaboratif dengan daya penyelesaian masalah yang tinggi serta ketahanan peribadi yang kukuh.
Inovasi dalam kalangan mahasiswa juga tidak terhad kepada penghasilan produk semata-mata. Ia merangkumi sumbangan idea dalam perbincangan kumpulan, penulisan akademik formal mahupun tidak formal serta pelaksanaan proses yang membawa nilai tambah. Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dan World Economic Forum sama-sama menegaskan bahawa inovasi melibatkan penciptaan serta pelaksanaan idea, proses atau penyelesaian baharu yang memberi nilai dalam pelbagai domain. Sejajar dengan slogan UTM “Menginovasi Penyelesaian Lestari”, inovasi seharusnya menghasilkan penyelesaian yang bukan bersifat sementara tetapi berterusan, mampan dan dapat diaplikasikan secara meluas merentasi masa dan tempat. Budaya inovasi yang dipupuk di semua peringkat pendidikan dan masyarakat akan memastikan Malaysia terus melahirkan modal insan yang kreatif, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta kesejahteraan sejagat.
Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM