JOHOR BAHRU, 12 Ogos – Brisk Walk Perdana sejauh 1.5 kilometer yang disertai hampir 1,600 warga kerja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memeriahkan pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat UTM 2025 di Tasik Ilmu, UTM Johor Bahru, pagi ini.
Seawal jam 7.45 pagi, perkarangan Tasik Ilmu dipenuhi peserta berpakaian riadah berkonsepkan patriotik dengan pelbagai kombinasi warna Jalur Gemilang. Suasana bertambah meriah apabila kibaran bendera menyambut setiap langkah peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti senamrobik sebagai pembuka acara, sebelum dilepaskan untuk Brisk Walk Perdana yang melalui laluan dalam kampus.
Pelancaran yang disempurnakan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyifatkan sambutan ini sebagai wadah menyemarakkan semangat patriotisme di samping menggalakkan gaya hidup sihat dan kelestarian dalam komuniti kampus.
“Bulan Kebangsaan memberi kita ruang merenung kembali erti kemerdekaan serta tanggungjawab mempertahankannya. Tema ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’ selari dengan peranan UTM sebagai institusi yang membudayakan ilmu dan menyantuni masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, Brisk Walk Perdana bukan sekadar aktiviti riadah, malah simbol komitmen universiti membudayakan kerja sihat dan seimbang.

“Aktiviti sebegini mengukuhkan semangat komuniti, mempererat sinergi serta membudayakan gaya hidup sihat demi kesejahteraan bersama,” jelasnya.
Sambutan kali ini mencatatkan penyertaan tertinggi daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) seramai 268 orang, diikuti Jabatan Pendaftar (189 orang), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (146 orang), UTM Digital (104 orang) dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (98 orang) yang menyaksikan masing-masing membawa pulang wang tunai RM200 sebagai penghargaan atas sokongan padu terhadap program ini.

Majlis turut menyaksikan pertandingan Pakaian Terbaik Merdeka yang dimenangi Roslin Yasak dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal bagi kategori lelaki ,manakala Azlyna Yunus dari Jabatan Canseleri bagi kategori wanita yang membawa hadiah kemenangan sebanyak RM100.


Acara turut dimeriahkan dengan gimik pelancaran Bulan Kebangsaan UTM 2025 menerusi pelepasan belon ke udara sebagai simbol perpaduan, semangat cintakan negara dan penghargaan terhadap pengorbanan pejuang tanah air. Persembahan bertemakan kemerdekaan yang terdiri daripada deklamasi sajak oleh Nur Aliza Hanafi, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM Kuala Lumpur, dan persembahan pancaragam daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim (SIGS) turut menghidupkan lagi suasana sambutan kali ini, serta 24 cabutan bertuah yang menambah keterujaan peserta yang hadir.
Warna-warna Jalur Gemilang mendominasi perkarangan Tasik Ilmu apabila peserta hadir dengan pakaian riadah berkonsepkan patriotik. UTM melihat penyertaan aktif warga kampus sebagai bukti kukuh semangat cintakan negara masih subur.
UTM yakin penyertaan aktif warga kampus dalam penganjuran kali ini mampu menyuburkan lagi semangat cintakan negara, di samping mempromosikan gaya hidup sihat dan lestari.
Usaha ini juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3) yang menekankan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan untuk semua.
Dengan gabungan semangat kemerdekaan dan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan, UTM mahu seluruh warganya terus memelihara kekitaan dan kebersamaan demi membina masa depan negara yang lebih gemilang.