October 5, 2025

Bengkel Azolla UTM-MJIIT promosi pertanian mampan

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) telah menganjurkan Bengkel Projek Komuniti Pemindahan Ilmu dan Teknologi Penanaman Azolla selama dua hari, bermula 20 hingga 21 Ogos 2025. Program yang melibatkan pelajar, guru dan ibu bapa dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kepong ini memberi tumpuan kepada aplikasi Azolla sebagai sumber inovatif bagi pertanian lestari dan penjanaan pendapatan komuniti.

Pelajar SK Kepong mula menaiki bas ke UTM cawangan Kuala Lumpur

Bengkel yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad selaku Ketua Projek ini telah menghimpunkan seramai 37 peserta terdiri daripada pelajar pendidikan khas, guru dan ibu bapa SK Taman Kepong di MJIIT UTM Kuala Lumpur. Dengan kebenaran pergerakan pelajar yang diluluskan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, YBhg. Megat Affandi Ismail, peserta berpeluang mengikuti latihan penanaman Azolla di Makmal Biomass sebagai aktivti hari pertama bagi memperkukuh pemahaman terhadap teknologi ini.

Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad sebagai Ketua Projek menerangkan tentang perjalanan projek satu hari di UTM

Seramai 72 peserta terdiri daripada murid Pendidikan Khas dan guru SK Taman Kepong mengikuti sesi praktikal menggunakan sistem integrasi penanaman Azolla dan ternakan ikan tilapia merah yang dibangunkan di sekolah berkenaan bagi aktiviti hari kedua. Melibatkan empat tong ternakan ikan dan empat tapak penanaman Azolla berskala komersial, sistem ini dirangka bagi memberi pengalaman pembelajaran menyeluruh serta membuka peluang penjanaan pendapatan kepada komuniti penerima manfaat sekolah tersebut.

Pelajar dengan bantuan guru melepaskan ikan ke dalam kolan untuk ternakan

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan kepada pengenalan dan potensi Azolla dalam pertanian dan makanan ternakan ikan. Azolla adalah “tumbuhan super” kecil yang mempunyai manfaat besar. Ia bukan sekadar tumbuhan air biasa, tetapi merupakan baja biologi, makanan berkhasiat, dan pembersih air semula jadi yang berpotensi untuk menyokong pertanian organik, akuakultur, dan penternakan yang mampan serta mesra alam. Peserta juga mempelajari teknik praktikal untuk menanam dan mengekalkan Azolla, cabaran serta penyelesaian dalam penghasilan Azolla, dan juga sesi praktikal menghasilkan pelet ikan daripada Azolla. Inisiatif ini selaras dengan SDG 2: Menghapuskan Kelaparan dengan mempromosikan Azolla sebagai sumber makanan ternakan dan baja bio yang inovatif, mampan dan menjimatkan kos bagi meningkatkan produktiviti pertanian dan keselamatan makanan.

Program ini telah diasmikan oleh Prof. Madya Dr. Shahrum Shah Abdullah (Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi, Komersialisasi, & Jaringan, MJIIT UTM Kuala Lumpur) bersama Hajah Nor Asmaruzie Mohd Zain, Guru Besar SK Taman Kepong.

Prof. Madya Dr. Shahrum Shah bAbdullah, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi, Komersialisasi, & Jaringan) dari MJIIT UTM Kuala Lumpur, ketika menyampaikan ucapan perasmian

Program ini juga menyaksikan Penulisan Modul mata pelajaran Kemahiran Hidup (Pendidikan Khas) berkenaan Azolla, baja bio dan ternakan ikan, yang berfungsi sebagai terapi kepada murid berkeperluan khas berkefungsian rendah. Modul ini turut merangkumi amali tentang keusahawanan yang dipelajari dalam kelas. Norbaizura Othman, Penolong Kanan Pendidikan Khas, turut serta bersama guru-guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan pasukan ibu bapa. Aktiviti ini menyumbang secara langsung kepada SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui perkongsian pengetahuan dan kemahiran praktikal yang inklusif dengan melibatkan guru, ibu-bapa dan murid pendidikan khas (PPKI).

Program ini turut mendapat sokongan dariapda Kementerian Kewangan (MOF) melalui Geran Komuniti @ UniMADANI. Dengan sokongan ini, projek Azolla berasaskan komuniti ini telah berjaya dilaksanakan bagi mempromosikan pertanian lestari dan penjimatan kos. Program ini juga mendukung SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab dengan mempromosikan Azolla sebagai sumber yang mampan untuk pertanian, mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia dan menggalakkan amalan pertanian yang mesra alam.

Inisiatif ini merupakan satu langkah kecil yang berpotensi membawa impak besar ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari. Rata-rata peserta memberikan respons yang positif terhadap program ini.

“Sangat bagus aktiviti penanam Azolla dan memberi ikan makan kerana ini ialah satu terapi pada pelajar pendikan khas kami,” Hajah Nor Asmaruzie, Guru Besar SK Taman Kepong.

“Sistem manual ternakan ikan kami telah diganti dengan sistem yang lebih baik oleh pihak MJIIT, UTM dengan kurangnya tenaga dan masa pengendalian kepada program ternakan ikan di sekolah kami,” Norbaizura Othman, Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Taman Kepong.

      “Sangat bermanfaat pengalaman membiakkan Azolla dan memberi ikan makan, anak saya sangat suka,” Ridzwan Abu Bakar (Bapa pelajar).

       “Seronok sangat dapat naik bas UTM dan datang ke UTM dan belajar cara nak tanam Azolla,” Umar Ridzwan (pelajar).

“Anak saya, Anas sangat teruja dengan aktiviti di bengkel penaman Azolla ini bersama dapat memberi ikan makan serta menabur azolla kepada pokok bagi menambah kesuburan pokok,“ Nor Emylia Zakaria (ibu kepada Anas).

Pasukan projek telah diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad, disokong oleh Prof. Madya Dr. Shaza Eva Mohamad, Dr. Fatin Syahirah Othman, Dr. Nurul Zainab Along, Ir. Ts. Dr. Mariam Firdhaus Mad Nordin, Dr. Mohamad Amiruddin Ismail, Hairul Lail Ismail, Abd Muttalib Samad, serta pelajar program PhD dan degree MJIIT, UTM Kuala Lumpur iaitu Vikneshvaran Tanabalam, Muhammad Ikhwan Afify, Nur Ayunni, dan Mahesh Kumara.

Usaha mereka ditambah lagi dengan sumbangan bernilai para sukarelawan, iaitu Mohd Shaiful Zainal, Amirul ‘Aizad Salehuddin, Mohammad Naqiuddin Nadzri, Muhammad Islah Sulaiman, Ahmad Fitri Ahmad Faozi, Ahmad Hazwan Azhari, Muhammad Farhan Ahmad Fauzi, Mohd Sizal Sidek, Muhammad Hazrul Azhar Abd Rahman, dan Syed Mohd Azlan Syed Othman. Komitmen dan kerjasama berpasukan mereka memastikan kelancaran dan kejayaan program ini.

Pelajar SK Kepong bersama-sama staf UTM di hadapan MJIIT sebelum perasmian
Hajah Nor Asmaruzie Mohd Zain, Guru Besar SK Taman Kepong menyampaikan ucapan penghargaan kepada MJIIT, UTM
Guru membantu pelajar menyediakan medium pembiakan Azolla
Pelajar belajar membuat palet ikan daripada Azolla
Penyampaian hadiah oleh Hairul Lail, staf sokongan MJIIT kepada pemenang teka silang kata
Dari kiri : Prof. Madya Dr. Shahrum Shah, Prof. Madya Dr, Shaza Eva Mohamad, Hajah Nor Asmaruzie, Norbaizura Othman, Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad, dan Siti Norashikin sedang melihat Azolla yang diternak
Pelajar menuai Azolla untuk membuat makanan ikan
Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad (tengah, baju merah), bersama staf sukarelawan dan staf sokongan SK Kepong memastikan kolam ikan dan tangki ternakan Azolla adalah selamat

Explore More