JOHOR BAHRU, 14 Ogos – Program Gotong Royong membersihkan Sungai (River Waste Clean-Up) yang berlangsung di Sungai Skudai, Kg. Orang Asli Bakar Batu, Taman Perling merupakan satu usaha bersepadu untuk memelihara alam sekitar dan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap pentingnya kebersihan sungai.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Antarabangsa Pelajar Ekonomi dan Sains Komersial (AIESEC) dengan kerjasama strategik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS), Fakulti Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Tenaga (FKT) dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Uda Utama.
Penyelaras Program River Waste Clean-Up, Wan Nur Faddlyn Daamesya Wan Mahadi berkata, seramai 105 peserta dari pelbagai latar belakang menyertai aktiviti ini dengan penuh semangat dan dedikasi.

“Antara yang terlibat ialah 23 mahasiswa FKT, 6 orang dari UTMCCS, 25 ahli AIESEC serta 50 pelajar dari SMK Bandar Uda Utama. Kehadiran mereka menunjukkan komitmen dari pelbagai lapisan komuniti dalam usaha menjaga dan membersihkan sungai yang menjadi khazanah alam semula jadi,” katanya yang ditemui selepas taklimat kepada peserta program.
Aktiviti pembersihan sungai ini bermula dari awal pagi dengan sesi taklimat dan pembahagian tugas yang turut disertai oleh Timbalan Pengarah UTMCCS, LAr. Dr. Zanariah Jasmani. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk memudahkan proses pengumpulan sampah.

Sepanjang aktiviti berlangsung selama beberapa jam, peserta bekerja keras mengutip sampah termasuk plastik, botol dan bahan buangan lain yang mencemari sungai. Hasilnya, sebanyak 419.8 kilogram sampah berjaya dikumpulkan dan dibawa keluar dari kawasan sungai tersebut.
Selain usaha fizikal, program ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga ekosistem sungai dan menggalakkan amalan kitar semula serta pengurangan penggunaan plastik sekali pakai.

Turut hadir menyertai program ialah Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS, Kiflee Jimpi yang turut serta dalam aktiviti ini dan memberi sokongan moral kepada peserta.
“Program ini mendapat makluman positif dari semua pihak yang terlibat, Ia juga menjadi platform yang efektif untuk memupuk nilai kebertanggungjawaban sosial dan kelestarian dalam kalangan generasi muda.
“Secara keseluruhan, aktiviti gotong royong membersihkan sungai ini tidak hanya berjaya mengurangkan pencemaran tetapi juga mempererat hubungan komuniti serta meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya menjaga sumber air dan alam sekitar secara lestari,” tegasnya lagi.

Diharapkan usaha sebegini akan diteruskan dan dijadikan contoh untuk aktiviti serupa di masa hadapan, demi kelestarian alam dan kesejahteraan komuniti setempat.
Program gotong-royong membersihkan sungai ini berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-6 iaitu Kebersihan dan Pengurusan Air Bersih. Matlamat ini memberi tumpuan dengan memastikan ketersediaan air bersih dan pengurusan air mampan untuk semua serta melindungi sumber air daripada pencemaran.
Selain itu, program ini juga menyumbang kepada beberapa SDG lain seperti SDG 11, Bandar dan Komuniti lestari, SDG 13, Tindakan Terhadap Perubahan Iklim dan SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab.
Secara keseluruhannya, program ini menyokong usaha mencapai pembangunan lestari dengan memupuk kesedaran dan tindakan komuniti dalam menjaga sumber alam, khususnya sumber air dan ekosistem sungai.
