ISKANDAR PUTERI, 20 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan usaha memperkasakan komuniti setempat melalui pelaksanaan dua siri Kursus Asas Jahitan Skirt, hasil kerjasama erat antara Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) di bawah Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju bersama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) serta Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Latihan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik pembangunan komuniti yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali, pensyarah dari Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, FEST, UTM. Beliau menyatakan bahawa projek ini bukan sahaja memfokuskan kepada latihan teknikal semata-mata, malah menyokong aspirasi negara dalam meluaskan akses kepada pendidikan berasaskan kemahiran seperti yang digariskan dalam Blueprint TVET Madani Malaysia.
“Kami di UTM komited menyokong agenda nasional melalui pemerkasaan komuniti menerusi latihan kemahiran berimpak tinggi. Dengan semangat libatsama dan kolaborasi bersama pihak seperti Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, kami ingin membawa elemen TVET terus ke komuniti, khususnya wanita dan belia wanita yang berpotensi untuk berdikari secara ekonomi,” ujar beliau.


Majlis penutup kursus turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Pandak Haji Ahmad bersama beberapa orang Ahli Pemegang Amanah Yayasan Penyayang Iskandar Puteri yang telah sudi merasmikan majlis penutup kursus tersebut. Dalam ucapan beliau, Datuk Pandak menzahirkan penghargaan terhadap usaha UTM dan menegaskan komitmen pihak MBIP dalam memacu pembangunan komuniti setempat.
“Majlis Bandaraya Iskandar Puteri amat menyokong inisiatif seperti ini yang secara langsung menyumbang kepada kesejahteraan penduduk setempat. Kami percaya, pembangunan komuniti yang mampan tidak akan berjaya tanpa sokongan institusi seperti UTM yang memiliki kepakaran dan keupayaan dalam membimbing masyarakat melalui latihan kemahiran berstruktur dan berkualiti. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak UTM atas inisiatif ini yang cukup bermakna,” kata beliau.

Kedua-dua siri latihan yang dilaksanakan pada 5 dan 19 Julai 2025 di UTM telah disertai oleh 30 peserta wanita dari komuniti MBIP pelbagai bangsa yang menerima pendedahan menyeluruh kepada teknik asas menjahit skirt, termasuk penggunaan mesin jahit, peralatan, serta teknik pemotongan dan penyambungan fabrik. Peserta juga menerima kit latihan, makanan, serta sijil penyertaan. Peserta diberikan bahan kursus secara percuma yang telah ditaja oleh pihak Yayasan Penyayang Iskandar Puteri.
Inisiatif ini telah direka bentuk untuk memenuhi keperluan komuniti wanita dari kumpulan B40 di sekitar Iskandar Puteri, yang rata-ratanya mencari peluang untuk menjana pendapatan tambahan dari rumah. Pendekatan latihan bersifat praktikal ini selari dengan matlamat Madani Sejati iaitu pembangunan inklusif dan mampan yang berteraskan nilai kemanusiaan. Penganjuran program ini turut memperlihat bagaimana konsep TVET komuniti boleh dijayakan melalui sinergi antara institusi pengajian tinggi, pihak berkuasa tempatan, dan organisasi bukan kerajaan. UTM berharap agar model kerjasama sebegini dapat diperluas ke bidang kemahiran lain sebagaimana dirancang dalam fasa seterusnya projek ini sepanjang tahun 2025.


Menurut laporan keberkesanan yang dikemukakan, majoriti peserta menyatakan minat untuk menjadikan kemahiran yang diperoleh sebagai sumber pendapatan, sama ada secara sambilan mahupun sepenuh masa. Beberapa peserta turut menyatakan hasrat untuk mendaftar ke program keusahawanan selepas ini, menandakan impak program melebihi sekadar latihan teknikal. Program ini bukan sahaja membekalkan ilmu kemahiran hidup, tetapi juga memberi impak kepada peningkatan kualiti hidup komuniti secara keseluruhan. Ia menjadi bukti jelas bahawa pendekatan latihan berasaskan TVET mampu menjadi pemangkin kepada transformasi sosial dan ekonomi komuniti secara lestari.