July 10, 2025

Program KKN Antarabangsa UTM-USK kukuhkan khidmat komuniti serantau

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh khidmat komuniti serantau apabila menjadi tuan rumah kepada Program Kuliah Kerja Nyata (KKN) Antarabangsa dengan kerjasama Universitas Syiah Kuala (USK). Program ini berlangsung selama 20 hari bermula 6 hingga 23 Julai 2025 bertempat di Hulu Langat, Selangor.

Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat, Pengarah Pentadbiran, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang mewakili Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur. Majlis turut diserikan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Pengerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat.

Ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat
Ucapan perasmian oleh Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat

Dalam ucapannya, Dr. Asnul merakamkan penghargaan kepada pihak USK kerana memilih Malaysia sebagai destinasi pelaksanaan program berimpak tinggi ini, yang merupakan kesinambungan kepada Program International Service Learning (ISL) UTM di Aceh pada bulan Jun lalu.

Beliau menyifatkan Program KKN Antarabangsa ini sebagai platform berharga untuk melahirkan graduan berwawasan global yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki empati, integriti, kepimpinan, dan kepekaan sosial. Melalui penglibatan secara langsung dalam komuniti, para peserta dapat memupuk semangat kerjasama, menghargai kepelbagaian budaya, dan meneroka penyelesaian inovatif serta lestari terhadap pelbagai isu masyarakat.

“Program KKN ini bukan sahaja membuka peluang kepada mahasiswa untuk mempraktikkan ilmu dalam konteks sebenar masyarakat, tetapi juga menjadi platform penting dalam memupuk nilai empati, kepimpinan, dan kesedaran global,” katanya.

Beliau turut menyeru agar semua mahasiswa memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan membawa pulang ilmu serta inspirasi yang boleh diaplikasikan dalam konteks negara masing-masing.

Antara pengisian utama program termasuk aktiviti pembangunan komuniti, sesi perkongsian ilmu, modul kesedaran kesihatan, pemindahan teknologi berskala kecil, serta program pemerkasaan ekonomi setempat.

Menurut Dr. Dra Sulastri, M.Si, Wakil Ketua Bidang Pengabdian, Lembaga Penelitian dan Pengabdian kepada Masyarakat (LPPM) yang mewakili USK, program ini merupakan sebahagian daripada usaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dalam skala antarabangsa, selari dengan matlamat pengantarabangsaan pendidikan tinggi Indonesia.

Ucapan oleh Dr. Dra Sulastri, M.Si yang mewakili Universitas Syiah Kuala

Majlis turut diserikan dengan tayangan video korporat UTM dan USK, kompilasi kejayaan program KKN 2024, penyampaian cenderamata, serta sesi bergambar bersama mahasiswa dan delegasi universiti.

 Sesi bergambar bersama tetamu kehormat, mahasiswa dan delegasi dari USK

UTM melalui Sekolah Pengajian Prasiswazah menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi serantau dalam usaha mencipta impak positif kepada komuniti dan mendukung aspirasi pendidikan global.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Dr. Rasheed Mohamed Kutty, Pengurus Sekolah Pengajian Prasiswazah, dan Ibu Ria Ervilita, S.Pd., M.Sc, Pengurus Perancangan Projek dan Kerjasama USK.

Pada kesempatan ini juga, Yang Berusaha Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu, turut berkesempatan beramah mesra dengan mahasiswa dan wakil USK. Prof. Intan sebelum ini merupakan Pengerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah dan antara individu yang berperanan penting dalam memperkukuh kolaborasi bersama USK melalui lawatan kerja UGS pada awal tahun ini serta lawatan kerja bersama KPT bulan lalu.

Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus beramah mesra bersama mahasiswa dan wakil Universitas Syiah Kuala

Explore More