October 2, 2025

Delegasi FEST UTM cipta kejayaan dalam program antarabangsa di Malang

MALANG, 18 Julai – Usaha pengantarabangsaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapat suntikan tenaga baharu melalui sokongan padu pelbagai pihak industri, menjadikan Universitas Negeri Malang platform strategik bagi memperkasa mahasiswa di persada global. Deligasi seramai 21 orang pelajar pra dan pasca siswazah daripada program Pendidikan Fizik dan Kimia telah selesai mengikuti program pengantarabangsaan yang dikendalikan oleh Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Negeri Malang (UM).

Penglibatan ini melibatkan tiga agenda program utama iaitu International STEM Exhibition Camp, International Short Course on Promoting Relevant Education in Science and Sustainability (PRESS) oleh Erasmus+ dan International Competition on Science Learning Innovation (ICOSLI 2025). Program outbound mobility yang berlangsung selama tiga hari ini merupakan program pertama Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) UTM bagi tahun 2025.

FEST telah berjaya mengumpul RM7,000 sebagai dana tambahan kepada dana UTM International dan fakulti bagi pelaksanaan aktiviti pengantarabangsaan ini. Tajaan yang diterima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Yayasan Iskandar Puteri Penyayang, Jalen Sdn. Bhd., CBH Recycle, BHPetrol, dan beberapa lagi rakan industri bukan sahaja membiayai penglibatan delegasi UTM ke Indonesia, malah memperkukuh lagi misi universiti dalam memperluas jaringan mobiliti pelajar dan mendukung agenda pemerkasaan komuniti pendidikan serantau.

Kegiatan International STEMCamp Exhibition yang diadakan pada 16 Julai ini julung kali diadakan oleh FEST. Program ini diketuai oleh Dr. Nor Farahwahidah Abdul Rahman dari UTM, dengan kerjasama daripada Dr. Erni Yulianti dari UM sebagai satu peluang pemindahan ilmu UTM kepada UM bagi menjayakan aktiviti STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dengan komuniti setempat.

Terdapat sepuluh reruai aktiviti STEM yang dikendalikan oleh mahasiswa iaitu empat daripada panel Pendidikan Fizik (UTM), tiga daripada panel Pendidikan Sains (UM), dua daripada panel Pendidikan Kimia (UTM) dan satu daripada panel Pendidikan Fizik (UM). Aktiviti ini melibatkan 120 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Pertama (SMP) Laboratium UM, SMP Negeri 3 Malang dan SMP Negeri 4 Kendiri dan dirasmikan oleh Dekan FMIPA, UM iaitu Prof. Dr. Hadi Suwono. Sambutan hangat kepada program ini telah membuka mata pihak UM untuk meneruskan lagi International STEMCamp Exhibition akan datang.

Ucapan pembukaan oleh Ketua Program International STEMCamp Exhibition, Dr. Nor Farahwahidah dari UTM

Pada hari kedua, mahasiswa UTM turut berpeluang mengikuti kursus pendek eksklusif yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Ingo Eilks, ketua penyelidik geran Erasmus+, yang berkongsi pendekatan terkini dalam pendidikan alam sekitar dan kemampanan bagi bakal guru.

Lebih membanggakan, delegasi UTM telah mencipta kejayaan cemerlang di pentas antarabangsa apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa dalam pertandingan International Competition on Science Learning Innovation (ICOSLI) 2025. Kemenangan ini bukan sekadar pengiktirafan kepada bakat dan daya cipta mahasiswa, tetapi juga bukti bahawa produk pembelajaran hasil inovasi FEST mampu bersaing di peringkat global.

Antara produk yang dipertandingkan merangkumi modul berasaskan augmented reality, eksperimen menggunakan Arduino Uno, serta komik elektronik yang direka bentuk untuk meningkatkan pemahaman konsep-konsep Fizik secara kreatif dan bermakna.

Panel Pendidikan Fizik meraih kemenangan terbanyak dengan tiga pingat menerusi projek-projek berikut, Gold Award dengan Modul Pembelajaran Berasaskan Pendekatan Culturo-Techno-Contextual (CTCA) untuk Meningkatkan Visualisasi dalam Topik Haba bagi Sains Sekolah Rendah, Silver Award dengan Pembangunan Kit Pembelajaran Eksperimen Berasaskan Arduino Uno dengan Integrasi Model IDEAL dalam Penyelesaian Masalah Topik Kanta, serta Bronze Award dengan Peranan Humor dalam Pembelajaran Topik Daya dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah. Manakala bagi Pendidikan Kimia, Gold Award dengan Modul Pengajaran Berteraskan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM) bagi Meningkatkan Pemahaman Konseptual Pelajar dalam Persamaan Kimia.

Anugerah Emas bagi pelajar pascasiswazah Pendidikan Fizik (Nur Amira Soleha Nor Aminni, Ashmimi Maisara Asha’ari & Nurul Faizah Ahmad)
Anugerah Perak bagi pelajar prasiswazah Pendidikan Fizik (Muhammad Syazwan Mohd Zaironi, Amira Aina Nawawi, Georgyna Chiong)
Anugerah Gangsa bagi pelajar pascasiswazah Pendidikan Fizik (Nur Hasyifa Chek Hassan, Nur Anissha Najwa Mohd Yusrinor, Muhammad Shakirin Mohd Fazarin)
Anugerah Emas bagi pelajar prasiswazah Pendidikan Kimia (Han Shin Ni, Nur Anis Syafiqa Abdul Rashid, Iman Adlina Samsudin, Miza Faiqah Suhaimi, Balqis Mohd Azman)

Penganjuran program mobiliti antarabangsa seperti ini bukan sahaja memperluas horizon mahasiswa dari segi pengetahuan dan keterampilan global, malah memperkukuh keupayaan UTM sebagai peneraju pendidikan tinggi yang relevan dan responsif terhadap keperluan serantau. Kejayaan delegasi FEST dalam aktiviti pembelajaran berimpak tinggi dan pertandingan inovasi membuktikan bahawa mahasiswa UTM berpotensi besar untuk mencipta perubahan melalui pendekatan pedagogi inovatif, kolaborasi rentas negara, dan integrasi teknologi dalam pendidikan sains.

Sokongan berterusan daripada pihak industri, badan kebajikan, dan agensi penajaan adalah sangat penting bagi memastikan kesinambungan program seumpama ini, yang bukan sahaja mengangkat nama UTM di peringkat antarabangsa, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada pembangunan modal insan yang berdaya saing dan berpaksikan nilai kemanusiaan. FEST komited untuk memperluas inisiatif ini ke negara rantau Asia Tenggara lain dan mengukuhkan lagi jaringan strategik demi kemajuan pendidikan sains dan teknologi di rantau ini.

Explore More